Tuesday

Gemuk Penakut

Monolog ini telah dibacakan oleh Zoul Yazix di acara Puisi Satu Petang sebelum beliau dipukul oleh sekumpulan orang orang gemuk yang tidak bahagia.

Nama kita Zul. Kita orang gemuk. Definisi orang gemuk ini badannya besar, ukur lilit perut mereka pula biasanya sekali ganda daripada dada. Peha jangan cakap lah, kalau buat korban, boleh ganti seekor kambing. Orang gemuk lelaki pula wajib ada manboob, kadang kadang boleh jadi lagi besar daripada girls boob. Perut pula saing saing orang pregnant. 

Nama kita Zul, dan kita orang gemuk. Kata orang, orang gemuk ini sensitive sejak lahir. Hati mereka katanya rapuh, jiwa mereka mudah tersentuh. Tapi sebenarnya, orang orang di luar sana yang membentuk sensitiviti orang gemuk ini. Kita orang gemuk, kita tidak sensitive sejak lahir, tapi kita sensitive sejak gemuk. 

Waktu kita sekolah rendah dulu, kita ni tak adalah gemuk sangat. BMI pun ngam ngam saja. Tapi sebab badan kita besar dan perut kita berlaga dengan butang baju sekolah, kawan kawan semua kata kita gemuk. Waktu sekolah rendah dulu, kalau tak ejek guna nama bapak, sifat fizikal la yang jadi mangsa. Ada yang jongang, ada yang tak ada gigi, ada yang kurus sampai waktu main lompat tiang pun boleh confuse mana satu member mana satu tiang. Kita? Nama ayah kita payah nak sebut, jadi badan gemuk kita la jadi mangsa. Gemuk gemuk gemuk. Dan yang paling tak best sekali, setiap kali main bola sepak mesti kena jadi keeper, tak boleh jadi striker. Dengan alasan kalau orang rembat bola, boleh tahan dengan perut. Untung untung melantun masuk gol sebelah sana. 

Ingatkan benda ni tamat bila masuk sekolah menengah. Kita dulu dapat 5A waktu UPSR, jadi dapat lah masuk sekolah menengah yang power sikit. Ingatkan masuk sekolah budak budak cerdik ni boleh la berbahagia tanpa dihantui perkataan gemuk. Tapi sebenarnya mulut budak budak cerdik ni lagi celaka. Jenis suka cari sinonim perkataan gemuk. Ada yang panggil fatty acid, ada yang panggil Big Mac, dan ada juga yang panggil Bob Kuman. Ini lagi satu benda, asal badan besar je orang panggil bob. Kita syak perkataan Bob ini asalnya daripada perkataan boob. Sebenarnya time time sekolah menengah ini lah kita dah mula ada feeling pada makwe. Kita ingat lagi makwe yang kita minat dulu namanya Ainin Sofia, lawa orangnya, wajahnya ayu, senyumnya manis, matanya persis Avril Lavigne. Tapi sebab kita gemuk, kita tak konfiden langsung nak mengorat Ainin Sofia tu. Nanti apa lah kata Ainin Sofia tu. Dah la gemuk, muka hitam, perut dah sama naik dengan pengetua sekolah. 

Bila masuk universiti, kita dah pasang niat, kita tak nak jadi orang gemuk yang diejek lagi. Kita nak jadi orang gemuk yang bahagia. Jadi kalau orang ejek gemuk kita buat tak layan saja. Taktik ni cikgu kaunseling kita ajar dulu, kata cikgu tu orang kalau ejek kita ni dia mahukan respon, kalau dia tak dapat respon lama lama dia akan bosan. Lagi satu cara nak tambah konfiden kita, kita tukar nickname. Kita tukar nama kita jadi Kechik. Sumpah, kawan kawan dan sesetengah pensyarah panggil kita Kechik. Untung untung boleh jadi doa ye dak? Masa ni, level confident kita dah sampai ke tahap yang memuaskan. Kita dah tak berapa peduli sangat dah apa orang cakap, walaupun kadang kadang kita kena mengaku yang kita terasa dengan cara orang layan kita sebagai orang gemuk. Bayangkan bila naik lrt atau komuter, masuk masuk pintu tu semua orang tengok kita, lepas tu muka masing masing mesti cuak tengok kiri kanan, bimbang kita pergi duduk menyempit dekat sebelah. Bimbang nanti bau busuk peluh orang gemuk melekat dekat badan. Lagi satu bila naik lif. Pernah suatu hari kita nak naik lif, lepas tu ada sorang makwe dalam lif. Nampak saja kita nak masuk dalam lif terus mata dia terbeliak. Dia pandang kita, lepas tu pandang atas. Pandang kita, pandang atas. Rupa rupanya dia pandang tanda “maximum weight: 1800 LBS”. 

 Tapi, Tuhan itu maha adil. Bila ada kekurangan dan kelemahan ini, kita boleh tahu, siapa yang ikhlas dengan kita, siapa yang betul boleh terima kita. Kita ada kawan yang tak peduli pun kau gemuk ke, hitam ke, muka macam Imran Ajmain ke, semua depa kawan. Dan yang paling untung, kita jumpa seorang makwe buta nama Pelangi. Dia buta sebab dia jadi makwe kita. Orangnya lawa, kurus dan sekali petik jari boleh tersungkur Brad Pitt di kaki. Tapi sebab dia buta, dia pilih kita. Katanya, kalau kita boleh terima dia seadanya, kenapa pula dia tak boleh terima kita. Pernah suatu hari kita tanya dia, tak kisah ke ada boyfriend gemuk? Dia kata gemuk? awak tak gemuk lah, awak cuma besar. Dia suka ada boyfriend besar ni, boleh buat penghadang angin time jalan jalan dekat taman, boleh jadi objek anti ragut waktu jalan dekat kaki lima, dan agak agak bosan boleh main sembunyi sembunyi dekat belakang badan. Ya, nama dia Pelangi dan dia buta. 

Semua orang ada kekurangan masing masing, apa yang membezakan kita adalah cara bagaimana kita nak berdepan dengan kelemahan tersebut. Macam kita, walaupun kekurangan itu masih ada, tapi kita terima dengan hati yang terbuka. Apa yang Tuhan bagi, mesti ada untung di kemudian hari. Apa apa pun, hidup ini terlalu singkat untuk kita risau tentang berat badan!

Hai! Nama kita Kechik, dan kita orang besar!


Wednesday

Review filem: Ombak Rindu.


Mengisahkan Izzah (Maya Karin), gadis yatim piatu yang ditinggalkan ibu dan ayahnya di tepi kedai dobi layan diri berhampiran restoran makanan segera McDonald di Shah Alam kerana tidak pandai mengeja. Justeru itu ayah saudaranya, Taha secara tidak sengaja telah memelihara Izzah sampai beliau membesar menjadi seorang model lawa yang dipakaikan baju baju kampung yang orang kampung sekarang pun tak pakai dah. Pada masa yang sama, Pak Cik Taha banyak berhutang kerana ketagih main Texas Holdam Poker di fesbuk lantas memaksa Izzah untuk bermain fesbuk 24 jam sehari sementara beliau keluar mencari kerja.

Disitulah Izzah berkenalan dengan seorang samseng siam bernama Hariz (Tony Jaa) setelah sama sama menyertai page pencarian Gadis Kampung Lawa Macam Model dan Lelaki Samseng Handsome. Hariz telah menegur cara Izzah mengeja perkataan rinduw dengan menambahkan huruf W, tetapi Izzah tidak mempedulikannya dengan membalas "Sayew x peduliw lerw. Kewl kot ejew macam niew". Disebabkan rasa marah yang meluap luap, Hariz telah membuang Izzah daripada senarai rakan fesbuknya. Namun begitu, Izzah menyedari yang beliau mencintai Hariz setelah terdengar lagu Cinta Muka Buku di Youtube, tapi segalanya telah terlambat apabila Izzah mahu menambah Hariz kembali di fesbuk, Hariz sudah pun in relationship with  Mila Amylia, anak Tan Sri Rashdan yang suatu ketika dahulu popular dengan entry blog "Saya tak ada dara, saya okay". 

Hariz memberi syarat kepada Izzah supaya mengubah ejaan  perkataan yang entah apa apa tersebut jika mahu berkawan dengannya jika tidak, Izzah mungkin maut terkena serangan Lutut Gangster Siam milik Hariz. Sementara Mila Amylia, anak Tan Sri Rashdan turut menggunakan ejaan yang bukan bukan di belakang Hariz.

Dapatkah Hariz menemui gadis yang mampu mengeja dengan betul di zaman ini? Saksikan Ong Bak Rinduw di pawagam berhampiran anda.

Friday

Konek untuk dijual.

Sedang duduk menikmati makan malam bersama teman teman serumah tiba tiba datang seorang budak lelaki berbaju melayu lusuh datang berdiri di sebelah meja. Kata aku, maaf dik abang tak beri sedekah di mapley. Tapi budak lelaki tersebut masih berdiri tegak tidak berganjak.Tiba tiba budak lelaki tersebut bersuara.

Maaf bang, adik juga tak minta sedekah di mapley. Atau di mana mana tempat sekali pun. Adik datang berniaga. Mata aku melilau mengelilingi tubuh badan kurus budak lelaki tersebut. Entah apa barang nak diniagakannya. Tisu? Kerepek kentang? ataupun buku buku agama nipis untuk pencari makrifat?

Nah, kata budak lelaki tersebut sambil mengeluarkan satu beg plastik hitam dan menonggengkannya di atas meja. Berketul ketul konek lelaki bertaburan atas meja. Bermacam macam saiz, berbagai bagai warna. Malah ada yang kelihatan seperti masih belum bersunat. Dengan muka polos, budak lelaki tersebut membahagikan konek konek tersebut kepada tiga bahagian. Yang ini konek orang orang bisu bang, jenis tak mempertahankan walaupun mampu. Jenis diam walaupun perlu bersuara. Konek ini harganya paling murah, kerana jenis ini boleh didapati dengan mudah. Yang ini pula konek orang orang bodoh. Jenis orang orang tahu mengikut telunjuk saja. Tidak ada pendirian tetap. Konek jenis ini harganya berpatutan. Dan ini pula konek orang orang yang tidak amanah. Kepercayaan diberi orang mereka tukarkan kepada kekayaan personal. Orang orang ini koneknya susah di dapati kerana kebanyakkan mereka memang sudah tidak berkonek sejak kecil. Barang rare bang, harganya sedikit mahal. 

Semua di meja mengangguk angguk mendengar penjelasan budak lelaki berbaju melayu lusuh tersebut. Tangan masing masing berada di bawah meja memegang konek sendiri. Bimbang luruh dan menjadi barang dagangan budak lelaki tersebut. Lalu aku bertanya, dik, konek konek ni dapat mana? Menarik nafas panjang dan melepas sedikit keluhan suram, budak tersebut berkata,

 Ini adik kutip dekat bangunan Parlimen bang.

Pari pari susu pekat manis.

Atoknya nak minum teh, terpaksa la neneknya bancuhkan. Masuk dapur neneknya tengok susu dalam peti ais dah habis. Neneknya ambil tin baru, ketuk ketuk dengan pisau.

pap!

Satu lubang terbuka lepas neneknya ketuk belakang pisau. Sewaktu hendak menuang susu pekat manis ke dalam cawan tiba tiba, secara magisnya tin susu pekat manis tersebut berasap ungu. Lalu keluarlah seekor pari pari comel dengan kepak cantik yang diperbuat daripada susu pekat manis berterbangan mengelilingi neneknya

Sambil bernyanyi, si pari pari menerangkan pada neneknya yang dia terperangkap dalam tin susu tersebut sewaktu sedang bermain main di kilang susu nun jauh di utara kampung. Adalah dalam lima purnama dia bermaustatin dalam tin susu tersebut sampai telah bersebati tubuh badannya dengan susu pekat manis. Jadi disebabkan neneknya telah membebaskan pari pari, maka berhak lah neneknya sekeluarga mendapat satu permintaan khas sebagai ganjaran. Minta lah apa sahaja.

Neneknya angkat jari tengah dan mengatakan farkyew kepada pari pari tersebut. Kata neneknya, sepatutnya keluar jin, bukan pari pari. Pari pari cuma tersenyum, katanya jin sekarang sudah pupus, banyak yang berlakon iklan tv. Minta lah cepat, nanti terlambat.

Selepas menarik nafas tiga kali, neneknya mohon pari pari jadi susu pekat manis kembali.

 "aku nak buat teh pun tak senang"

Sunday

Robokop

Gua bangun saja pagi pagi tadi terus pasang niat sahaja aku jadi Robokop sehari di bulan syawal kerana bosan. Dalam miliseken momen selepas niat tersebut selesai dilafazkan tiba tiba badan bertukar menjadi besi berkilau. Dan secara automatik juga kepala gua dilengkapi helmet bertenaga solar dengan beberapa fungsi khas yang hebat seperti kipas kepala dalaman, kaca mata hitam penghadang angin dan juga penapis mulut yang membolehkan gua bernafas dalam air. Gua juga percaya sebagai seorang Robokop, gua punya kekuatan menyamai 13 buah kereta kebal milik kerajaan Amerika Syarikat.

Bertunjangkan kekuatan yang gua ada, dengan konfidennya gua pergi rempuh Balai Polis Arau tengah hari tadi. Tiga buah waja polis parking depan balai meletup serentak. Dikatakan kawasan bandar diraja Arau terputus bekalan elektrik. Burung burung hijrah juga mengambil keputusan untuk tidak singgah di Perlis. Gua kopak sikit pintu balai nampak seorang pakcik polis tengah sibuk main facebook guna komputer riba. Tak habis habis dengan riba, bisik hati gua. Sebagai seorang muslim yang dilahirkan untuk menjadi Robokop, gua mulakan perbualan dengan salam. Terus straight to the point gua cakap dekat pakcik polis tu, gua ni komunis.

Tapi pakcik polis tu garu kepala. Dia tanya gua ni ahli PAS ke? Gua jawab bukan. DAP? bukan juga. Mesti PKR ni kata pakcik polis itu sambil angkat jari telujuk goyang goyang depan muka gua. Gua cakap bukan juga. Muka pakcik polis itu berkerut kerut.

"Tak lawan kerajaan bukan komunis dik" kata pakcik polis tersebut sebelum kembali sambung main facebook.

Monday

Jihad Noir

Astagfirullah.

Tiap kali bila sampai di airport, Ismel akan pakai kaca mata hitam. Dia akan duduk di ruang menunggu dengan baju melayu hitam dan seluar slack kelabu bersama sama kasut hitam Leno yang berkilat disinari mentari pagi.

Dia duduk menghadap ruang yang sentiasa sesak dengan orang ramai. Sesekali kepalanya ditundukkan ketika melihat perempuan perempuan seksi dengan skirt pendek dan peha bergetah putih.

Astagfirullah.

Masanya telah sampai, fikir Ismel. Lalu dia melihat lihat sekitar ruang menunggu tersebut. Mencari orang orang yang yang mempunyai ciri ciri orang yang seagama dengannya. Biasanya memakai kopiah atau memegang buku buku agama dan bagi perempuan pula lebih mudah untuk dicam kerana mereka bertudung.

Ismel kembali teringatkan pesanan ibunya, berjuang di jalan Tuhan kena ikhlas. Tidak boleh dicampur aduk dengan sebab sebab peribadi, politik mahupun dipengaruhi perasaan cinta antara manusia. Kata ibu, anak orang sebelah jihadnya menyerbu gereja. Manakala sepupu Ismel pula jihadnya mengenal pasti anasir murtad yang menghina agama hasil daripada carian google dan gambar printscreen sekerat sekarat. Anak wakil rakyat pula berjihad dengan menjadi blogger maksum menegur anak muda dan kadangkala disertai sedikit sedikit hadis hadis atau kata kata mutiara yang diambil dari internet. Tapi jihad Ismel suci, menyedarkan umat yang terlena, Ismel akan kejutkan semua orang!

Ismel bergerak merapati salah seorang lelaki yang sedang membaca buku La Tahzan. Buku agama yang dibaca semua golongan, agamawan, politikus, lelaki bermimpi dan perempuan perempuan seksi.

Assalammualaikum.

Selepas salam dijawab, segera Ismel tersenyum. Dalam bahasa inggeris, Ismel berikan amaran agar penerbangan lelaki tersebut ke Washington dibatalkan. Pulanglah ke rumah. Dengan muka hairan lelaki tersebut bertanya kenapa?

kullu nafsin zaiqatul maut.

kata Ismel sebelum berlalu pergi meninggalkan lelaki tersebut terpinga pinga. Menaiki penerbangan yang sama, cuma dalam dalam kelas yang berbeza, Ismel di ekonomi manakala lelaki tersebut kelas pertama.

Bismillah.

Kapal terbang terbang American Airlines tersebut meletup dan berkecai 7 minit sejurus selepas berlepas.

Saturday

Surat terpilih untuk orang orang terpilih yang menggemari biji biji kopi terpilih

Kehadapan kawan kawan yang kaya dan berharta,

Hari ini saya datang membawa khabar gembira untuk kalian semua penggemar biji biji kopi terpilih yang didatangkan daripada luar negara untuk dinikmati oleh golongan golongan bijaksana.

Pernah kah kalian mendapat mesej mesej pokemon itu yahudi dan CD percuma Mimpi Ahmad yang dikatakan membawa cubaan memurtadkan orang melayu Islam? Untuk orang Cina, India, atau bangsa lain yang Islam tidak perlu risau, Melayu Islam sahaja yang kurang cerdik tengok CD boleh murtad. Dan Melayu Islam sahaja lah yang paling rajin mentafsirkan nama nama kartun Pokemon. Selain itu kita juga dihidangkan dengan informasi informasi yang menakutkan yakni kononnya Jakim mengeluarkan kenyataan yang Starbucks itu haram!

Sesungguhnya kenyataan itu amat menggusarkan hati kita semua hinggakan masing masing saling berlumba lumba untuk menyebarkan maklumat tersebut dengan niat berbeza beza. Ada niat untuk menyedarkan kawan kawan yang terlanjur menikmati minuman minuman eksklusif Starbucks, ada niat untuk dikenali sebagai orang yang paling terkehadapan dalam membawa berita berita terbaru untuk masyarakat, dan ada juga dengan niat murni berkongsi informasi demi menyelamatkan umat Islam daripada haramnya kopi. Niat apa pun, membawa berita tidak sahih berdasarkan cakap cakap mulut ini ada sesuatu yang dianggap kurang cerdik bagi golongan intelektual yang biasanya hanya ketawa tanpa menegur kesilapan di depan mata.

Tapi percayalah, mana mungkin restoran mewah kegemaran kita bersama tiba tiba menjadi haram kerana sedikit sisa babi dan buah buahan yang dicelup arak. Alhamdullilah kawan kawan, JAKIM dengan cepat/pantas/tangkas tampil membuat kenyataan rasmi yang Starbucks dijamin halal sehingga tahun 2012. Maka selama itu apa sahaja tuduhan/anggapan/dakwaan tentang keraguan status Halal Starbuck wajib/mesti/harus diabaikan tanpa perlu dibuat apa apa kajian atau pemeriksaan semula. Percayalah kepada logo halal Jakim dengan sepenuh hati kalian. Barangsiapa yang ragu ragu, dia tergolong dalam kelompok orang orang yang rugi. Sedangkan kita ini punya status tersendiri yang melayakkan kita menyalurkan lebihan wang di dalam poket pada restoran Starbucks sambil menghirup secawan kopi bermutu tinggi.

Dan untuk yang memilih gerai gerai kecil dalam celah celah lorong rezeki halal dunia akhirat, jangan risau, kopi anda juga selamat cuma malangnya ia sedikit murah.

Klik ->sini <- untuk membaca khabar gembira JAKIM.


Yang benar,
Ahmad Zombi,
Penyimpan Mohor Mohor Besar Biji Kopi.

Wednesday

Kartun Keji #1





Sunday

Sepatutnya gua klik maybe.



"sahaja aku puasa esok hari kerana terklik attending event ajak puasa dekat facebook"


Saturday

Poseur

Gua boleh pulak lupa nak update blog pasal perhimpunan BERSIH. Kira loser la gua ni ye dak?

Friday

28 Hari : Jurnal Rock N Roll

Aku baca buku ini buat kali ke berapa ntah tadi. Sengaja, walaupun buku ini telah pun aku khatam pada hari pertama aku beli dulu. Siapa yang dah baca ini boleh tahu yang sebenarnya buku ini sepatutnya bertajuk 28 Hari : Jurnal Ditinggalkan Makwe Rock N Roll. Berkali kali dalam buku ini Jayzuan cerita dia kena tinggal dengan makwe. Tapi tak hairan lah, sebab hidup dia penuh dengan makwe yang lawa lawa. Tak percaya sila baca dan senaraikan semua makwe yang dia jumpa. Tak adanya yang tak lawa.

Buat aku terfikir, dalam hidup kita tak boleh pilih orang yang kita suka sahaja untuk berada di sekeliling. Bila pemain watak hidup dipilih, kita akan menjangkakan yang mereka akan ikut skrip kita. Dan bila sebaliknya berlaku kita akan rasa kecewa yang teramat teruk. Macam Jayzuan. Teruk sampai jadi gila main gitar dekat Gelanggang Seni KB. Tapi kembara dia memang Rock N Roll. Memang buat kau sangsi, yang betul ke mamat ni tak ada duit boleh pergi mengembara satu semenanjung? Apa gila? Tapi last last memang kena percaya, sebab dia memang miskin dan tak reti malu. Harap ada makwe kaya boleh pergi pinang dia cepat cepat. Kalau boleh sebelum buku 28 Hari : Jurnal Anak Teruna Tua keluar tak lama lagi.

satu lagi baca buku ni macam tonton rancangan Jalan Jalan Cari Makan 10 episod berturut turut. Dan Jayzuan ni memang macam hos rancangan tersebut, makan tak bayar ; member belanja. Aku harap aku dirahmati dengan member yang sejati macam tu. Cuma yang syaitannya bila baca buku ni boleh rasa macam dengar orang bisik dekat telinga "keluarlah daripada rumah, pergi lah mengembara". Begitulah dasyatnya penangan syaitan rock n roll ini.

dan jadah apanya aku buat review buku lama Jayzuan pagi pagi buta ni walaupun dah keluar buku baru bertajuk Anarki di Kuala Lumpur? ha, itu lah aku cakap tadi,

syaitan.

Wednesday

Maisarah gadis comel yang tidak dapat tidur malam akibat berdendam.

Malam itu Maisarah pandang langit. Gelap, sunyi, sejuk tapi meriah dengan bintang bintang yang bertukar warna hampir setiap saat. Tapi tak satu pun daripada warna warna tersebut dapat membahagiakan, walau bintang tersebut bertukar warna menjadi merah jambu kesukaannya. Dalam hati Maisarah penuh dendam.

Dia tahu, ketika ini, lelaki yang telah menghancurkan hatinya sedang tidur nyenyak nun jauh di hujung dunia sana di dalam bilik sejuk berhawa dingin. Lena sampai tak sedar seekor nyamuk telah pun kenyang menghisap darah di betis dan seekor lagi sedang menunggu giliran. Maisarah tak puas hati.

Maisarah seluk poket kanan, ambil gelang getah, pejam mata dan berdoa.
Tuhan, kalau Tuhan sayangkan Maisarah, Tuhan tolonglah penuhi hajat Maisarah supaya malam ini Maisarah dapat tidur nyenyak juga.
Buka saja mata, Maisarah senyum, pandang atas, target dan melepaskan gelang getah ke arah satu bintang berwarna oren.

piu!

Gelang getah kena bintang oren, bintang oren jatuh tepat atas rumah lelaki yang menghancurkan hati Maisarah.

Tuesday

Mckucing

Aku cuma perlu mengambil masa 10 saat selepas aku gigit burger itu, untuk tahu yang itu adalah burger kucing. Bayangkan waktu dimana sepatutnya rasa daging ayam bersama sedikit rasa pedas sos cili dan lada hitam ditambah rasa masam mayonis yang boleh buat kau orgasm macam tonton porno; kau rasa bulu. Ada bulu pada lidah dan lelangit yang buat aku rasa seperti ada karpet mini dihamparkan terbalik dalam mulut. Itu celaka nombor satu. Celaka nombor dua berlaku bila aku jumpa loceng kecil celah celah sayur dalam roti burger.

tak tunggu lama, aku hidupkan enjin kereta Kelisa, dan aku tuju ke kedai burger tadi. Aku pandu laju laju sampai langgar dua tiga ekor kucing jiran sebagai tanda protes. Sampai sahaja kedai burger aku lihat ada seorang tua memakai kopiah putih dengan baju melayu hijau bersama isterinya yang memakai jubah hitam bersama jilbab bagi melindungi mukanya daripada lelaki ajnabi. Ketika itu mereka berdua sedang menyembelih seekor kucing parsi berwarna kelabu dengan rantai leher yang tertulis Kiki. Aku syak Kiki itu nama kucing, bukannya tuan. Mana ada lelaki nama kiki, dan perempuan bernama kiki biasanya gedik malah tidak berminat membela kucing parsi melainkan cuma tahu bersolek dan menggatal dengan lelaki.

Aku ambil keputusan untuk balik rumah sambung makan burger. Tak kan lah aku nak merungut makan burger yang dibuat daripada seekor kucing Parsi comel yang berharga ratusan ringgit tapi aku dapat beli dengan harga RM 2 sahaja. Murah gila babi kot.

dapat free gift loceng lagi tau!

Saturday

Kucing Hitam Sarah


Sarah antara budak paling comel dalam kalangan gadis gadis muda pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Marco Pollo. Kecomelan dan keayuan Sarah sering dicemburui oleh teman teman sekelasnya yang kurang comel ataupun tidak comel langsung. Ini menyebabkan Sarah tidak ada kawan dan kesunyian. Nak cari pakwe rasa macam kecil lagi, dada pun sama rata dengan member lelaki dalam kelas. Tapi Amran si Ketua Darjah yang gemuk tu macam dah ada tetek sikit. Hik hik hik. Sarah gelak dalam hati.

Esoknya, Sarah jumpa kucing dekat kantin sekolah. Kucing hitam dengan mata kuning bersinar. Bersih. Sarah belai kucing tu. Sisa nasi lemak sardin yang tak habis, Sarah sedekahkan pada kucing hitam. Masa itu juga Sarah pasang niat nak bawa balik bela, boleh buat kawan. Lagi pun kucing ni ustazah cakap haiwan kesayangan nabi. Siapa bela dapat pahala, dapat pahala Sarah boleh masuk syurga. Dalam syurga boleh kawan dengan bidadari banyak sangat. Mama lah kata. Takkan mama nak tipu Sarah. Tipu dapat dosa, dapat dosa masuk neraka. Ini Papa pula cakap. Kalau dia pun tipu Sarah pun tak tahu nak percaya cakap siapa dah.

Tiba tiba kawan Sarah datang. Rokiah namanya, antara pesaing Sarah dalam mendapat tempat no satu dalam kelas dan dalam hati Cikgu Daniel, cikgu praktikal yang selalu masuk kelas pakai tie dengan kemeja.

Rokiah cakap pada Sarah, bela kucing hitam boleh bawa sial. Sarah bangkang, Sarah cakap Rokiah cemburu. Tapi Rokiah cakap mana ada! Dia cakap benda betul. Lepas tu Sarah tulis guna jari dekat dekat dada Rokiah. Alif lam lam ha, tipu dosa, masuk neraka. Rokiah cakap sumpah. Mak dia cakap bela kucing hitam ni bawa sial. Dia boleh tukar jadi jin. Jin tu buruk, lagi buruk daripada muka Cikgu Arif, cikgu disiplin sekolah. Sarah takut, dan kemudian dia putus asa untuk bela kucing hitam tu. Dia lepaskan kucing hitam, lepas tu terus masuk kelas menangis.

Seminggu selepas itu, Sarah pergi rumah Rokiah nak pinjam buku teks matematik, Sarah tak dapat buku teks lagi sebab dia budak baru. Sampai je rumah Rokiah, Sarah nampak Rokiah tengah ketawa. Riang sambil main main dengan kucing hitam yang Sarah jumpa dekat kantin. Rokiah peluk kucing tu sambil cakap hitam itu menawan. Kan Rain?

Sarah lari balik rumah sambil menangis. Esok Sarah tak pergi sekolah, kerja rumah matematik tak siap.

Wednesday

Dugaan untuk orang orang yang suka bangun pagi macam gua.

Sebagai seorang kutu yang berwawasan, gua memang bangun awal pagi pagi. Biasanya aktiviti pertama gua sebelum mandi, gua akan up satu status dekat facebook supaya masyarakat tahu gua dah bangun. Lepas mandi gua akan ke depan cermin memuji ciptaan Ilahi. Ini penting untuk kekalkan gua punya self esteem yang tinggi. Lepas tu baru gua akan keluar beli sarapan.

Macam biasa, gua malas pergi jauh, gua akan beli nasi lemak yang jiran gua jual. Nasi lemak ayam campur bilis goreng dengan telur rebus. Gua memang sengaja suruh makcik tu letak ayam yang bahagian bertulang untuk asah gigi. Duduk dekat meja gua buka tv channel Animal Planet. Memang dah kegemaran gua tengok cerita binatang sambil makan ni, dia akan buat gua bersyukur jadi manusia moden, tak payah nak pergi memburu ke, buat strategi ke, menyamar celah rumput ke.

Mata ke tv, tangan gua mula buka bungkusan nasi lemak. Gua picit ayam sikit nak makan dengan nasi. Tiba tiba gua dengar bunyi orang menjerit,

"aaaaaaaaa sakit!"

kalau jantung gua ada airbag, mungkin itu waktu yang sesuai untuk dia mengembung. Celaka punya terkejut. Gua tengok dalam nasi lemak, dan sekali lagi gua terkejut. Ini memang solid punya terkejut. Benda yang gua cuba cubit tadi, berbentuk seorang gadis kecil sebesar ketulan ayam biasa dalam nasi lemak tengah cekak pinggang berdiri di tengah tengah nasi lemak sambil memandang ke arah gua. Satu lagi yang gua terkejut, gadis ni bogel! First time gua tengok ada nasi lemak dalam nasi lemak. Makanya sebagai seorang lelaki budiman, gua palingkan muka sambil meminta gadis tersebut menutup apa yang patut. Lepas dia tutup badannya dengan daun pisang nasi lemak, gua tenung gadis itu. Kagum dan keliru, perempuan ni jin ke syaitan.

Gadis itu, dengan linangan air mata, menceritakan yang dia merupakan makhluk Tuhan spesies manusia kecil dan tinggal di tempat terpencil yang jarang jarang didatangi manusia biasa. Tapi suatu hari, dia tersesat, dan terjumpa dengan jiran gua sewaktu aktiviti jungle tracking kawasan rukun tetangga. Malang seribu kali malang, dia diculik dan dipaksa untuk menjadi buruh nasi lemak di rumah jiran gua. Dia juga dipaksa untuk mendedahkan resipi nasi lemak kaum manusia kecil yang sedap lagi menggiurkan. Dan pagi tadi, dia menyelit ke dalam bungkusan nasi lemak untuk melarikan diri. Sebak aku dengar cerita gadis itu. Memandang wajahnya yang lembut, aku jadi lemah. Tambahan mendengar rayuan dia supaya dikembalikan ke hutan.

Gua keliru. Apakah ini dugaan Tuhan pada kutu macam gua yang selalu bangun awal pagi ni? Akhirnya gua faham. Tuhan sebenarnya sengaja menghantar gadis ini untuk menguji nafsu gua. Dan ya, gua akhirnya kalah dengan nafsu.

Menggantikan ketulan ayam yang tiada dalam nasi lemak, gua telan gadis itu sekali dengan nasik.

Sunday

Sizuka, gadis jepun dalam bas RapidKL yang sebenarnya merupakan seorang pencuri.

Dalam bas itu, mata aku tak lepas memandang seorang gadis putih dengan wajah asia memakai baju dan skirt sepasang berwarna merah jambu. Aku hampir pasti gadis itu kacukan jepun. Duduk tersenyum memandang pemandangan di luar bas, mungkin terfikir satu kenangan yang melucukan dalam bait bait indah kehidupannya. Entah kenapa, gadis itu terus aku namakan Sizuka, sempena dengan watak kartun Doraemon yang comel dan ayu. Dan keayuan gadis itu jelas di bawah sinaran matahari yang masuk melalui tingkap luas bas ini.Setiap kali bas singgah di mana mana perhentian, aku jadi berdebar debar memikirkan yang sebentar lagi Sizuka akan bangun dan pergi meninggalkan aku yang masih belum puas merenung wajah ayunya. Dan tak lama, cuma beberapa saat sahaja selepas aku mengambil keputusan untuk menegur Sizuka, dia pantas bangun memicit loceng. Aku tersentak. Cuma mampu melihat Sizuka melangkah hingga ke pintu bas. Sayu. Tiba tiba Sizuka berhenti melangkah, berpatah balik dan berjalan ke arah aku. Dia keluarkan sebuah alat yang kelihatan seperti pembaris daripada beg Gucci putih dan bisikkan pada aku,

"ini pembaris ajaib. Saya akan gunakannya untuk ambil sesuatu daripada awak"

dia tunduk, goreskan pembaris tadi pada dada aku, keluarkan hati dan membelahnya separuh. Separuh dia ambil, dan separuh lagi dia letakkan semula. Dia cuma tersenyum dan terus berlalu pergi.

Aku cuma mampu melihat, sama seperti mula mula tadi. Cuma kali ini dengan harapan dia akan kembali berpatah balik seperti pemergiannya yang pertama. Tapi telahan aku salah.

Bas terus bergerak perlahan lahan meninggalkan Sizuka di perhentian, bersama sama beg Gucci putih miliknya, dan separuh hati milik aku

Friday

Kerja sekolah kena hantar esok bertajuk Kucing Saya.


Minggu lepas dalam bosan bosan, ada kucing datang rumah. Minta dimanja dan diberi makan. Entah kenapa, walaupun kucing itu tidak secomel kucing kucing yang dijadikan profile picture facebook gadis gadis manja, aku jatuh kasih pada kucing itu. Terus aku beri makan dan aku mandikan. Kucing ni jantan sejati, tapi bila mandi menjerit macam bapuk lorong.

Aku tak perlu fikir panjang untuk namakan dia. Disebabkan warnanya cuma dua, bertompok tompok hitam dan putih serta punyai muka pan asian, aku namakan kucing itu Woi. Senang nak panggil.

Woi!

esoknya kucing tu hilang. Lepas tu dia datang balik, makan dan kemudiannya hilang. Sampai lah malam tadi, aku rindukan Woi. Tadi dalam pukul 3 pagi, ada bunyi kucing dekat luar rumah. Terus aku jengah keluar, buka pintu mencari arah bunyi. Ada, dia ada bawah kereta.

aku pun panggil nama dia.

Woi!

dia bangun, tengok muka aku. Aku jerkah lagi.

Woi!!!

tak tunggu lama, dia lari keluar rumah.

Thursday

Pementasan: Ini Jen Jenal Cakap

PEMAIN WATAK

JENJEN
SARAH
SERBANITAS

Pentas diterangkan dengan perlahan lahan dengan lampu utama fokus pada tengah tengah pentas menyuluh seorang pemain yang memainkan watak Jenjen. Dia yang duduk tegak diatas sebuah sofa empuk berwarna merah, kelihatan resah dengan kedua dua tangan digenggam.


JENJEN

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada dik dik nun, kak kak nam mulut puaka yang dirahmati Tuhan sekalian.

Nama mak Jenjen! e taling tau bukan e pepet. Jenjen. Kelas kan nama mak? Nama gagah mak Jeneral Jenal, bekas komando tentera darat diraja Malaysia. Haaa gitu, jangan ingat mak lembut lembut ni kerja mekap artis, mak lagi jantan daripada uols nok.

haaaa mesti otak uols dah fikir macam macam kan? Mak jadi lembut ni bukan sebab mak kecewa dengan perempuan ke, bukan sebab hidup dengan keluarga penuh perempuan ke, tapi ini semua kurniaan Tuhan. Very the salah konsep uols ni. Lembut lembut mak ni pun, mak hensem la juga nak banding dengan mat rempit, budak shuffle, budak skateboard, abang burger dan lain lain lagi lelaki yang kononnya sejati, tapi lagi loser daripada pondan.

Sini noks, rapat sikit mak nak cerita. Mak nak cerita pasal fag hag mak ni nama Sarah. Dia ni perempuan tipikal melayu biasa, kulit sawa matang, pinggang ramping dan pinggul pula, haaa situ mantap. Tapi tak boleh la lawan punggung mak femfuan chanteks ni, kalau lelaki lain tengok fap fap fap melancap dalam tandas awam. Ok mak cerita pasal Sarah balik, uols terangsang pula dengar pasal badan anggun mak ni kan. Sarah ni rakan sekolah mak dulu dulu. Sekarang dia kerja sekali dengan mak, share partner buka butik dekat Bangsar. Dia ni selalu sangat nak nasihat mak, supaya jadi lelaki sejati. Mak ingat dia jeles akan kecantikan mak ni. Kecantikan adalah hak milik setiap insan, mana boleh halang!

Lampu pentas digelapkan. Lampu di bahagian kiri pentas menyala kelihatan seorang gadis ayu berbaju kurung hijau.

SARAH

Saya Sarah, partner merangkap kawan baik Jeneral. Saya sebenarnya dah mula sayangkan Jeneral sebab dia terlalu baik dan banyak bantu saya dan keluarga. Jeneral ni sebenarnya kacak orangnya. Saya nak ubah Jeneral jadi lelaki gagah balik.

Lampu digelapkan. Lampu tengah diterangkan kembali.

JENJEN

Mak ni bukan tak nak berubah noks. Dalam hati ni ada juga naluri keibuan mak fikir pasal Tuhan. Tapi setiap kali ada mak nak berubah, mak pakai macam lelaki atau mak pergi masjid, haaaa mula la mulut mulut puaka serbanitas yang bertugas jaga tepi kain mak ni berbunyi

Daripada tepi pentas, suara pemain watak serbanitas kedengaran.

SERBANITAS

Hoi pondan, kejadah apa kau masuk masjid. Hormat la sikit kami ni orang islam!

JENJEN

Mak pun islam noks, masa bila mak murtad. Babi sangat la nak kapirkan mak yang bertakwa ni!

SERBANITAS

Woi bapuk, lelaki lembut macam kau mana layak jadi islam. islam ni suci! Kau tu confirm la masuk neraka, nabi tak mengaku umat!

JENJEN

Ni yang mak murka ni. Kau tu confirm syurga ke woi! Mak pun suci lagi tahu! dara lagi ni tak macam adinda evans. Perempuan tulen tapi tak ada dara. Dah la muka bapuk Chow Kit!

Huh. Ok noks. Sebab itu lah mak malas nak pergi masjid minta tolong orang orang alim ni. Pesen yakin sangat masuk syurga. Dapat sijil separa tuhan daftar orang masuk neraka. Mak nak minta tolong, bimbing mak ni ke jalan yang benar. Lagi satu, kot kot la dalam tu ada abang ustaz macam Ustaz Amirul yang very the extremely handsome tu uols, haaaa mak pakai tudung labuh pergi mengorat. haaa boleh?

tapi one fine day kan, mak dapat kesedaran nak jadi lelaki sejati balik

Lagu Sejati - Wings berkumandang. Pemain Watak Jenjen menyanyikannya dengan suara garau lelaki.

haaaa gituuu. boleh? mesti uols nak tahu kan macam mana mak dapat kesedaran nak jadi gagah balik ni? Adalah hari tu, Sarah datang masuk office mak cakap yang ramai orang mengumpat, caci maki mak dekat butik. Sebagai seorang ratu cantik tak rasmi, mak memang biasa dengan semua tu, orang dengki kan. Tapi Sarah ni tak biasa, dia menangis noks! Dia cakap yang dia sayangkan mak, dia tak tahan dengar orang caci maki mak macam tu.

Uolsssssss, mak masa tu terharu sangat sangat. Bergenang air mata mak tengok dia menangis sebab mak. Sepanjang hidup mak, memang tak ada orang pernah peduli pasal mak. Keluarga pun buang mak, kawan kawan pun tak peduli, suami pun tak ada, opss. Jadi mak ni bila tengok Sarah mak rasa sebak bila tahu ada orang sayang mak macam tu. Mak masa tu rasa nak peluk Sarah tenangkan dia, tapi mana boleh! Sarah tu perempuan, mak perempuan, nanti jadi lesbian pulerrrr. Mak pegang tangan Sarah, mak cakap dekat dia, kalau kita hidup dengar cakap cakap orang, sebelum akil baligh lagi kita dah meninggal.

Malam tu mak tak nyenyak tidur fikir pasal diri mak ni. Mak fikir pasal Sarah. Mak fikir pasal mati. Tiba tiba tengah mak fikir tu dah azan Subuh. Haaa cliche tak cliche la cerita mak ni, azan subuh mak terus insaf.

Lepas tu mak terus balik kampung. Mak jumpa parent mak, mak peluk cium, mak minta maaf. Mak cakap dekat parent mak, yang mak dah insaf. Mak dah nak jadi lelaki balik, tapi of course lah tak boleh terus berubah kan. Slow slow la kak nam. Tapi yang paling penting, yang buat parent mak lompat bintang empat belas kali tanpa henti bila mak cakap yang mak, nak masuk meminang Sarah. haaaa boleh?

tatacahaya bertukar.

noks semua, mak nak buat pengumuman. Mak dah kahwin dengan Sarah. Sarah pun cintakan mak setulus hati. Ni Mak tengah tunggu anak sulung mak lahir ni. Tak sabar rasa nak tengok rupa sperma mak yang membesar. Lembut lembut mak ni pun, mak subur okeyyhhhhh.

haaaa boleh?

Lampu pentas digelapkan perlahan lahan. Kedengaran tangisan bayi yang baru lahir berserta suara suara Jenjen, Sarah dan Serbanitas yang mengucapkan Alhamdullilah.

Monday

Gambit yang bangang.

Gambit dan Gambut adalah dua adik beradik yang ceria dan comel. Gambit walaupun abang, tapi tak matang dan bangang. Manakala Gambut pula suka berimaginasi dan bermain dengan abangnya.

Pada suatu hari yang dingin, Gambit dan Gambut ditinggalkan berdua di rumah. Bergembiralah Gambit dan Gambut bermain dan menyelerakkan segala isi rumah. Tiba tiba, Gambut mendapat idea untuk bermain permainan superhero. Gambut memberitahu Gambit yang dia mahu menjadi Superman! Gambit sangat teruja dengan cadangan itu lalu terus setuju tanpa selang sesaat pun.

Jadi Gambit ikat adiknya Gambut tangan dan mulut. Gambit buat alasan itu adalah untuk mengawal kuasa sakti adiwira Gambut yang bakal terkeluar nanti. Gambit buka baju Gambut. Gambit ambil pisau di dapur dan toreh belakang bahu adiknya, kiri sampai kanan. Meraunglah Gambut kesakitan. Gambit tidak peduli lalu mengambil kain pelekat ayahnya yang berwarna merah cerah dan mula menjahit kain tersebut di belakang badan adiknya. Lalu seluar adiknya pula dilondehkan. Melihat adiknya memakai seluar dalam putih, terus sahaja Gambit toreh keliling pinggang Gambut. Darah yang mengalir terus sahaja menjadikan seluar dalam putih tadi menjadi merah darah. Gambit tersenyum puas. Transformasi manusia ke adiwira adiknya sudah berjaya. Kini dia dah jadi abang kepada seorang superhero!

Ikatan tadi dibuka. Gambut makin lemah. Gambit papah Gambut ke tingkap rumah flat 30 tingkat mereka dan sandarkannya disitu.

"cakap up up and away cepat! lepas tu adik boleh terbang" Gambit pujuk Gambut. Namun Gambut terlalu lemah untuk membalasnya.

"ooo. boleh cakap dalam hati ea? betul lah, yang penting niat, ye tak?" Gambit dirikan adiknya di tingkap dan tolak. Ya Gambit tolak adiknya ke luar tingkap.

Gambit tengok bawah, adiknya melayang.

tingkat 25

tingkat 15

tingkat 5

dan splash!!!

Gambit gosok gosok mata. Garu kepala. Kemudian Gambit pegang pegang dinding rumah dengan tangan. Dirasanya dengan tapak tangan dan pejam. Gambit tumbuk dinding.

" babi! siapa buat rumah flat guna batu kripton ni!"

Sunday

Sepetang bersama satu tin Coke dan segelas limau ais.

Aku duduk teguk racun dan dia minum air flora. Tak penting siapa dia atau jantina apakah yang dia punyai. Yang tegak aku dan yang condong dia. Sekarang masa kami berbual.

"Kau tahu tak stress? stress yang kalau kau boleh jual dengan timbang kilo boleh buat kau jadi jutawan dan bikin filem pecah panggung."

"Bro, semua orang stress. Dan aku percaya yang makcik yang hantar air tadi pun stress bila kau minta Coke dengan ais berbentuk empat segi."

"Aku pula percaya yang pengurusan stress itu satu skill yang perlu ada untuk seorang tukang ambik/hantar order macam makcik tadi."

"Habis kau? jadah apa pelajar universiti tak tahu urus stress. Itu satu kebodohan dan aku tahu kau faham apa yang aku maksudkan."

"Kau cakap senang. Kau punyai stress berbeza. Aku tak tahu macam mana atau bila aku punya pemikiran akan mencapai target harapan perempuan tua itu. Sikit sikit 'Tertiary education guys!' "

"Oh pensyarah kau tu? Obses dengan pensyarah? wah, pengganti baru untuk nescafe."

"Nescafe aku gantikan dengan Horlick. Harga sama, rasa pun lebih kurang serupa. Lagipun beza dengan Nescafe, Horlick buat kau tidur nyenyak malam malam tahu. Dan pensyarah itu pula aku tidak obses, cuma aku seorang pelajar tipikal yang ingin dipuji pensyarah atau tutor. Bunyi macam psiko tapi percayalah aku normal, lebih normal daripada makcik tadi."

"Pakai legging dengan baju kurung itu sememangnya normal untuk makcik tukang ambik/order di kawasan urban macam ni. Hmmm. Kau boleh buat punya. Kau kan bukan lelaki biasa. *saat ini dia mengeluarkan sebatang rokok Winston Light. Rokok dinyalakan."

"Kau tak faham. Pemikiran aku jagung hijau manakala pemikiran pensyarah itu pula pop corn. Dua entiti sama dengan tahap masak dan ranum berbeza macam mana aku boleh capai itu sekarang?"

"Kau terlalu fikirkan target pensyarah. Target diri kau?"

"K."

Perbualan berakhir.

*Winston Light dia tinggal separuh dan dia campakkan ke gelas air. Makcik tukang ambik/hantar order jeling daripada kaunter. Waktu bayar, aku bayar seringgit sahaja, 50 sen tadi aku tolak sebab permintaan aku tak dipenuhi, aku mahukan ais berbentuk empat segi!

Saturday

Remy Arlong pemuda harapan bangsa.

Ada seorang pemuda bernama Remy Arlong. Remy ini pemuda harapan bangsa, mana mana dia pergi pasti akan prihatin dengan benda benda disekelilingnya. Tipah pakai legging di jerkahnya, Mamat bawa motor laju laju dihimpitnya, Pak Mail ada skandal dihebohkannya. Itulah Remy dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemuda harapan bangsa sejati.

Remy suatu hari berniat untuk pergi ke hutan. Saja saja, bukan dia tak tahu hutan tu berbahaya, silap silap boleh melayang nyawa, tapi kerana prihatinnya Remy pada dunia, Remy teruskan juga pengembaraannya.

Laluan pertama yang Remy ambil, terdapat amaran yang dipaku di batang pokok menyatakan kalau tak punya mental yang kental, fizikal yang mantap adalah dinasihatkan untuk tidak masuk ke rimba ini. Tapi biasalah Remy Arlong pemuda harapan bangsa, terlalu angkuh lalu tetap meneruskan juga perjalanan ke rimba. Tahu akan bahaya di hadapan tapi biasalah, sengaja.

Dan bertemulah Remy dengan bahaya yang dijangka. Terserempak dengan sekumpulan orang gila yang mengganas di rimba. Remy Arlong pemuda harapan bangsa lantas menasihatkan orang orang gila tersebut untuk berhenti menjadi gila kerana gila ini salah pada pendapat beliau. Malang tuan tuan dan puan puan, Remy Arlong pemuda harapan bangsa kita ditawan orang orang gila tersebut.

Dibaringkan Remy diatas sebuah hamparan batu. Tangan dan kaki Remy diikat. Remy Arlong pemuda harapan bangsa akan dikorbankan. Tapi Remy ketawa terbahak bahak. Kata Remy dia pasti akan selamat, dia dah banyak tengok filem filem melayu, semuanya berakhir ceria, pasti akan ada hero yang terselamat di akhir cerita. Dan dalam cerita ini, Remy Arlong lah hero!

Sekumpulan orang gila tadi ketawa. Ditanya kepada Remy, sama ada dia pernah ke perpustakaan atau tidak? Maka terasa terhina lah Remy dengan soalan tersebut. Khurafat pula rasanya mempercayai ending filem filem melayu. Lantas dengan sebuah batu sakti, kepala Remy ditoreh orang orang gila itu. Melolonglah Remy saat otaknya dikeluarkan segar daripada kepala. Kesaktian batu itu memaksa Remy untuk berjaga dengan mata terbuka, melihat otaknya dilapah sekumpulan orang gila. Bertuah Remy Arlong pemuda harapan bangsa kita tuan tuan dan puan puan. Ruangan otaknya terlalu sempit lantas menekan rasa enak otak itu tadi, maka otak tersebut tidak sesuai dijadikan makanan tengah hari orang gila. Merayulah Remy Arlong supaya otaknya dipulangkan segera. Tapi sekumpulan orang gila tadi enggan, dengan alasan, Remy Arlong pemuda harapan kita tiada bezanya berotak atau tidak. Otak tersebut dicampak entah ke mana.

Sekumpulan orang gila tadi berlalu pergi meningalkan Remy Arlong di tengah tengah hutan belantara, terbaring tanpa otak masih terjaga, mengenangkan bagaimana sepatutnya cerita ini berakhir. Ending yang gembira itu perlu, baru lah mengikut norma norma manusia! Tetapi macam biasa dalam cerita fiksyen Zoul Zombie,

watak utama biasanya akan dibiarkan tergantung di akhir cerita menunggu saat saat kematian seorang diri.

Wednesday

Hikayat Pinokiut #2

Pinokiut yang hidup bersama ibubapa kini semakin degil perangainya. Disuruh duduk dia berdiri disuruh baring dia berlari. Adapun suatu hari kenakalan Pinokiut membawanya jauh ke dalam hutan berdekatan sebuah kolam sakti milik dewa dewi. Tersadung kaki lalu jatuhlah Pinokiut anak lelaki sakti ke dalam kolam milik dewa dewi.

Si ayah datang dengan tangisan hiba, minta si anak dipulangkan semula oleh dewa. Setelah beberapa lama berduka lara, tiba tiba muncullah seorang dewi cantik dengan baju putih yang tertulis "saya seorang dewi, tak percaya? pergi mati"

Gembiralah si ayah lalu meminta si dewi memulangkan Pinokiut yang di sayangi. Si dewi tenggelam, cuba mencari anak lelaki si ayah yang dikasihani. Lalu timbul si dewi dengan seorang budak lelaki yang diperbuat daripada emas.

"inikah anak mu orang tua?" tanya si dewi.

"tidak dewi, anakku diperbuat daripada kayu, bukanlah daripada emas itu" rayu si ayah. Lalu si dewi tenggelam sekali lagi. Kemudiannya dewi timbul dengan seorang budak lelaki yang diperbuat daripada besi.

"inikah anak mu orang tua?" tanya si dewi.

"bukan dewi, anak ku diperbuat daripada kayu, bukanlah daripada besi itu" rayu si ayah. Maka tenggelam lah lagi si dewi. Dan kali ini dewi pulang bersama budak lelaki yang diperbuat daripada kayu yakni Pinokiut.

Terlalu gembiralah si ayah. Dipeluknya Pinokiut, diciumnya Pinokiut dan diusapnya Pinokiut. Menangis bahagia si ayah lantas cuba bersalam dengan si dewi sebagai tanda terima kasih. Malang seribu kali malang. Si ayah terjatuh ke dalam kolam.,

Petang itu, Pinokiut pulang dengan membawa pulang ayah yang diperbuat daripada emas.

Hikayat Pinokiut #1

Tersebutlah sebuah kisah sepasang suami isteri di hujung dunia yang tidak mempunyai anak perempuan mahupun lelaki. Teramat sedihlah mereka setelah berpuluh tahun bersenggama tiada satu pun sperma yang berjaya sampai ke destinasi. Adapun kesedihan itu sampai ke kemuncak apabila si isteri monopause tidak boleh mengandung lagi. Hendak berkahwin lain sayangkan isteri, nak ambil anak angkat tak dapat cari maka si suami ini, bergerak ke sebuah hutan misteri untuk mencari kayu sakti.

Setelah beberapa purnama menempuh hutan belantara, si suami ini tertembunglah dengan kayu sakti yang terbaring di lantai rimba. Dikapaknya, diikatnya dan dibawa pulang dengan gembira. Tersangat gembiralah mereka berdua suami isteri menemukan kayu sakti pengubat duka. 3 hari 3 malam si suami menukang, mengetuk dan membentuk kayu sakti hingga terwujudlah seorang budak lelaki yang elok rupa parasnya, molek budi pekertinya dan lengkap bicara dan hatinya.

dan nama budak lelaki kayu sakti itu adalah Pinokiut.

Hatta hidup gembiralah mereka sekeluarga bersama Pinokiut tercinta. Namun kesaktian yang ada pada Pinokiut memaksa beliau untuk bercakap benar sepanjang masa jikalau tidak panjanglah hidung kayu Pinokiut semeter dua. Tetapi beruntunglah bagi mereka mereka yang punya ibu bapa yang pandai berniaga. Dimintanya Pinokiut menipu dan apabila hidungnya panjang dikeratnya kayu itu lalu dijual di pekan pekan berhampiran. Maka kayalah Pinokiut sekeluarga menjadi jutawan kayu.

Saturday

Ini namanya malas menulis.

"saya rasa seolah olah dimesin ATM kan oleh isteri tercinta. Siang nak duit. Malam pun nak duit. Tak pernah nak masukkan duit. Sebab itu la saya bercita cita nak jadi sebuah mesin deposit tunai."

Thursday

Saya mahu bunuh PM

Kelihatan seorang remaja lelaki, dengan t-shirt hijau berseluar jeans lusuh berjalan laju dalam celah celah orang ramai di ibu kota. Dalam tangannya terselit sehelai kertas kecil.

Tiba tiba dalam kesesakan itu remaja lelaki terlanggar seorang lelaki separuh usia dalam uniform biru bermisai garang. Waktu itu jugalah kertas dalam genggaman remaja lelaki itu terjatuh di lantai kota lalu terlihatlah tulisan herot yang masih boleh dibaca.

"Saya mahu bunuh PM"

Terbeliaklah kedua dua biji mata lelaki bermisai. Ditarik kasar baju remaja lelaki itu. Diheretnya remaja itu ke sebuah bangunan biru yang juga penuh dengan lelaki dan perempuan beruniform biru. Remaja lelaki itu tidak gentar, masih lagi dengan pandangan tajam dan azam yang berkobar kobar. Dia benar benar mahu bunuh PM.

Kini, dia berada dalam sebuah bilik gelap, duduk di meja dengan sebuah mentol tergantung di tengah tengah. Remaja lelaki itu tahu disini, dia akan ditanya bertalu talu. Untunglah kalau cuma dipukul. Ada orang kena tembak, dia tertawa kecil dalam hati.

"Kamu nak bunuh PM ya?" soalan pertama diajukan oleh seorang lelaki bersuara serak garang.

"ya." jawab remaja lelaki itu ringkas.

"kenapa? kenapa nak bunuh PM? Kenapa nak bunuh tangan yang memberi makan?" tanya satu lagi suara, tegas.

"Kerana pada ketika aku punya hak untuk dapat makanan terbaik, hak aku dinafikan. Sebaliknya yang makan makanan enak tidak lain tidak bukan pembodek pembodek berperut buncit yang punya darah daging yang serupa haram. Kerana ketika aku punya hak untuk makan apa yang aku mahu, aku dinafikan hak untuk memilih makanan. Sedangkan mereka mereka yang duduk diatas kerusi empuk makan sesuatu yang lebih daripada keperluan. Dan kerana ketika aku punya hak, dia rampas hak hak tersebut yang mana sekelumit pun dia tiada berhak. Seterusnya ketika kita patut bersyukur pada Tuhan, tapi dia yang menerima terima kasih yang pertama. Nah, katakan pada aku sama ada itu tangan yang baik atau tangan yang cacat kotor dan bernanah?" jawab remaja lelaki itu.

Suasana dalam bilik itu senyap. Yang zahir cuma hembusan nafas lelaki lelaki tadi yang tidak puas.

"Bagaimanakah kau nak bunuh PM? PM mana ada dalam negara sekarang. ha ha ha" tanya lelaki garang pertama angkuh.

"ha ha ha (meniru gaya gelak lelaki itu). Dengan ini." remaja lelaki itu seluk poket seluarnya dan keluarkan sebatang pen. Dia letak atas meja.

kedua lelaki tadi ketawa terbahak bahak. Malah terlalu seronok hingga bergoyanglah mentol tadi ke kiri dan ke kanan. Terlihatlah sedikit dalam samar samar, seorang perut bulat seorang lagi keding dengan jaket kulit bermutu tinggi.

"Cuma orang orang bodoh sahaja yang tak tahu pena boleh membunuh. Kalian tidak lah bodoh, cuma apabila terlalu lama menjadi anjing setia pada majikan yang kaya kalian jadi alpa dan buta. Aku doakan kalian kembali membawa maruah pada pekerjaan ini yang sangat mulia" remaja itu berkata kata tenang.

"diam! kau ingat kau siapa nak bunuh orang? kau ingat kau siapa nak tarik nyawa orang macam tu!" jerkah lelaki garang pertama.

"Aku bukanlah malaikat maut yang mencabut nyawa manusia. Aku tak bunuh nyawa, tapi aku akan bunuh kuasanya. Ya, dengan pena ini kalau Tuhan izinkan. Pena yang lebih tajam daripada keris yang dicium suku sakat kalian. Dan kalau hari ini aku mati, terbit matahari esok pagi pasti terlahir aku seribu orang lagi."

Tiba tiba ruang soal tadi gelap. Mentol terpadam. Dan ada bunyi seseorang mengerang kesakitan. Esok pasti ada keluar berita kecil di penjuru akhbar, remaja mati dalam tahanan. Terlalu kecil sampai tak ada yang benar benar peduli.

sedangkan di jalan jalan yang sesak dengan orang ramai. Ada berpuluh, mungkin beratus atau lebih, semakin ramai anak anak muda yang berjalan laju dengan pen dalam poket. Dalam genggaman tangan ada nota yang sama bertulis

"saya mahu bunuh PM"

Tuesday

Pari pari Comel Lepidoptera

Saya adalah pari pari comel yang suka hinggap di bunga bunga wangi berdekatan universiti. Semua orang sukakan saya kerana saya pari pari Lepidoptera dan saya comel. Hampir setiap hari saya akan hinggap pada bunga dan sedut madu madunya. Hampir setiap hari juga saya akan terbang seperti bebasnya rama rama, seperti riangnya burung burung dan pasti akan hinggap sekurang kurangnya pada satu bunga.

Pada suatu suatu hari, ketika sedang ralik hinggap di antara bunga bunga oren, putih dan merah, saya, pari pari comel yang suka hinggap di bunga bunga wangi berdekatan universiti terlihat sesuatu yang menakutkan, nafas saya tersekat, mata saya terbeliak dan tangan saya turut menggigil. Saya terlihat satu bunga aneh yang mana setiap kelopaknya punyai warna warna yang berlainan. Bunga apakah ini?

Tiba tiba datang seorang pari pari lelaki menepuk bahu saya daripada belakang. Pari pari lelaki yang tidak comel dan jarang hinggap di bunga bunga wangi berdekatan universiti itu tersenyum. Saya, pari pari comel bukan lah seorang yang menilai pari pari lain melalui luaran, tetapi hati yang paling penting. Lalu saya tanyakan pada lelaki itu siapakah dia dan tahukah dia mengenai bunga misteri berwarna warni?

Katanya, beliau adalah pari pari lelaki yang ditakdirkan untuk pari pari comel yang suka hinggap di bunga bunga wangi berdekatan universiti. Dan tanpa menjawap solan saya, dia menarik tangan saya mengikutnya terbang kembali kepada bunga misteri berwarna warni tadi.

Dia, dengan memegang erat tangan saya, mengatakan yang bunga itu sebenarnya cinta, dan cinta itu punya warnanya yang tersendiri. Cinta setiap orang adalah berbeza. Pari pari lelaki itu kemudiannya menanyakan saya, mahukah saya melihat apakah warna cinta saya dengan bercinta dengannya. Saya malu tetapi tetap mengangguk kecil. Lalu dia tarik tangan saya, menari menari diatas bunga dan kemudiannya,

Dia keluarkan sebilah pisau Boker Magnum dan tikam jantung saya! Dia robek hati saya! Saya melolong meminta simpati tapi dia hanya ketawa. Kata dia, inilah cinta. Cinta yang punya warna mereka masing masing. Ini lah Cinta! semua cinta perlukan pengorbanan. Dan kali ini, saya adalah korban cinta dia yang entah yang keberapa kalinya. Darah saya yang merah, lalu mengalir dicelah celah kelopak bunga lalu diserap mewarnakan salah satu kelopak bunga yang asalnya tidak berwarna. Air mata saya, pari pari comel yang suka hinggap di bunga bunga wangi berdekatan universiti berlinangan jatuh. Kini saya tahu,

cinta saya merah berdarah.

Pakcik Karem dan keluarga episod dua.

Pakcik Karem pagi itu bangun awal dan turun ke dapur untuk bersarapan bersama isterinya yang tercinta. Macam biasa atas meja sudah tersedia nasi lemak kegemaran Pakcik Karem.

"Tea or nescafe?" tanya Makcik Kiyah

"amboi, cakap omputih" tegur Pakcik Karem separuh terkejut. Makcik Kiyah pura pura tak dengar sambil tuang nescafe tanpa diminta.

"Morning abah, mak" kelihatan Asrul baru turun daripada tangga.

"eh Asrul, bila hang balik daripada Amerika? patut la mak hang speaking, anak teruna dia dah balik." tanya Pakcik Karem;.

"Semalam, waktu Asrul balik, Abah tengah sibuk tengok bola dekat Kedai Mak Som" jawab Asrul sambil mengambil pinggan dan sudu sebelum duduk di meja makan.

"Rugi hang tak tengok. Kelantan kalau game mesti ada gaduh gaduh punya. Tu yang abah nak tengok sangat tu. Peminat bola dia ganas ganas belaka" kata Pakcik Karem.

"hai bang. Awak lupa ke saya orang mana? Klate ni be, klate!" kata Makcik Kiyah sambil tepuk meja.

"eh mak, jangan lah emosi. Abah pun, cuba lah buang stereotaip orang Kelantan ganas tu. Peminat bola negeri lain semuanya sopan ke? buang buanglah assabiyah kenegerian tu abah, tak elok" kata Asrul lembut untuk menjaga hati orang tuanya.

"ha, betul cakap Asrul tu bang. Saya ada soalan cepumas untuk abang. Siapakah yang membakar bendera negeri Kelantan? ha jawab jawab " tanya Makcik Kiyah.

Pakcik Karim buat muka poker face. Hirup sedikit nescafe lalu mengambil surat khabar untuk dibaca. Menghilangkan diri disebalik berita berita dalam negara.

"hai abah, baca apa sampai berkerut kerut muka tu?" tanya Asrul.

Pakcik Karem turunkan surat khabar, hirup nescafenya lagi lalu menarik nafas panjang.

"ini lah ha, berita pasal kes Anwar Ibrahim. Teruk betul perangai. Lepas kes liwat, kes video seks pula. Apa nak jadi lah. Orang macam tu pun orang buat jadi pemimpin" rungut Pakcik Karem.

"Tengok sikit Abah baca paper apa ni? ooo..patut la. Abah ni, saya dah pasangkan internet dekat rumah ni abah baca lah media alternatif yang lain sama"

"kenapa pula? Abah baca surat khabar ni ok je" kata Pakcik Karem.

"kalau Abah nak tahu, paper ni orang tak baca dah, orang buat bungkus nasi lemak. Membodohkan orang lagi adalah. Isu yang lebih penting tak disiarkan." rungut Asrul.

"ah sudah, tadi mak, sekarang anak pulak nak emo" kata Pakcik Karem.

"saya bukan emo abah. Saya cuma kesian tengok orang diperbodohkan. Cuba abah fikir, orang bergaduh, orang sibuk mengumpat, orang sibuk menfitnah pasal kes Anwar Ibrahim, untungnya apa? Saya tak faham." luah Asrul.

"tapi tak patut lah dia buat benda berdosa macam tu Asrul oi" Pakcik Karem tak mahu mengalah.

"macam ini lah abah, saya ni bukan penyokong mana mana parti, cuma saya tak suka situasi sekarang ni. Ok, katakan lah Anwar tu betul meliwat, yang dalam video tu confirm dia. Dia masuk penjara. Lepas tu apa Abah? negara kita bertambah maju ke? Rakyat aman sejahtera ke? kerajaan dah tak korup ke? Rosmah akan bertaubat daripada pergi shopping luar negara ke?"

Pakcik Karem waktu ini buat buat tak dengar soalan, dua tiga kali hirup nescafe.

"Saya kesian abah tengok orang macam abah, duduk kampung. Jadi banyak benda yang tak dapat sampai dekat orang orang kampung ni. Abah tahu tak harga gula naik, harga minyak naik, duit negara lesap pi mana tak tau kenapa? Abah tak tahu sebab surat khabar tu tak akan tulis. Kita senang senang diperbodohkan dengan isu anwar, tapi isu yang betul betul kritikal kita tak tahu abah." ulas Asrul panjang.

"Gajah di seberang laut nampak, kuman depan mata tak dilihatnya" sampuk Makcik Kiyah. Dia pun nak turut serta.

"ok lah abah, Asrul nak keluar beli barang kejap. Asrul minta maaf lah Asrul cakap tadi kalau kalau abah marah, tapi abah fikir lah betul betul. Assalammualaikum" Asrul salam tangan kedua orang tuanya lalu keluar ke kedai berhampiran.

Pakcik Karem masih tetap dengan muka poker face beliau. Makcik Kiyah tersenyum sinis melihat suaminya terdiam mendengar kata kata anak mereka yang belajar di luar negara itu.

"fikir lah abang oi. Saya ni tak tahu apa sangat, tapi satu je saya pesan, kalau jadi lah perang Ibrahim Ali cakap tu, abang jangan ikut tau" pesan Makcik Kiyah.

"kenapa pulak? itu kan jihad!" kata Pakcik Karem yakin.

"tak ada lah abang, saya risau kot kot waktu tengah perang dia lompat pergi masuk geng belah sana pulak. hik hik hik" ketawa Makcik Kiyah selamba, sinis.

Pakcik Karem sekali lagi buat buat hirup nescafe yang tak berbaki. Tersedak nescafe juga dia pagi tu.

Monday

Aku, Pembaris Kayu dan Cikgu




beberapa tahun kemudian...

*konvokesyen


Sunday

Karim manusia yang disumpah menjadi Monyet lalu bercita cita untuk dihantar NASA ke bulan.

Karim adalah seorang manusia biasa yang dilahirkan oleh ibu biasa di hospital biasa di Malaysia. Seperti biasa sebagai seorang manusia biasa beliau mendapat pendidikan di sekolah rendah biasa dan pergi ke sekolah menengah yang menempatkan orang orang luar biasa. Namun seperti biasa juga, dia keluar masih juga biasa biasa dan bekerja dengan seorang doktor tua yang luar biasa bernama Mahmud.

Gabungan Mahmud dan Karim membawa sesuatu yang sangat luar biasa di sekeliling mereka. Karim ni lurus pada mula mula. Mahmud ini pula bagus orangnya, cerdik tapi licik. Dengan kuasa magis yang berada dalam tangan, Mahmud sumpah Karim menjadi Monyet, berbulu, dipandang hina dan jijik oleh masyarakat. Karim sebagai seorang hamba Tuhan yang disumpah menjadi Monyet membawa diri bersama keluarga membentuk cita cita yang tak pernah difikirkan sesiapa.

Karim manusia yang disumpah menjadi Monyet lalu bercita cita untuk dihantar NASA ke bulan.

Cita cita seekor monyet berbulu seperti Karim mana mungkin diterima masyarakat sekeliling. Setelah dimomokkan berita palsu yang mengatakan monyet berbulu seperti Karim punya sakit berjangkit, maka hina lah Karim, keji benar lah keluarga Karim, begitu celaka lah cita cita Karim.

Karim umumkan pada dunia, yang suatu hari nanti kakinya bakal menjejak bulan walaupun dalam tubuh badan seorang monyet berbulu. Lalu gentar lah hati hati manusia manusia darah daging si tua Mahmud. Ketarlah kaki pendusta pendusta berita tipu lagi palsu. Pesong jugalah lah lari larian anak anak pewaris si doktor.

Kucar kacir lah dunia dengan desas desus kotor Si Monyet. Huru hara lah masyarakat dengan debas debus jijik Si Monyet. Porak peranda lah instusi keluarga dengan bisik bisik busuk Si Monyet.

dan ianya berlaku hanya kerana Karim, seekor monyet yang cuma bercita cita untuk dihantar NASA ke bulan. Masalahnya cumalah seeekor Monyet biasa yang mahu ke bulan?

hairan pemikir pemikir kritikal kerana Monyet yang bercita cita itu, cuma seekor. Seekor dan cita cita beliau kelihatannya masih belum mahu padam. Atau mungkin,

tak akan padam.

Saturday

Kuya Gangster

Nama gua Kuya. Itu nickname gua, nama penuh gua Kuyahidagi. Walaupun kelihatan macam nama jepun, sebenarnya gua asal Malaysia. Dan maksud nama gua, Kuyahidagi bermakna kucing yang hina dan gila. Jadi gua adalah seekor kucing. Gua gangster area Keyell ni. Siapa tak kenal Kuya Keyell? Sebut je nama Kuya terus kucing kucing jantan lain takut sampai terkencing. Sebut je nama Kuya terus semua peniaga peniaga restoran simpan dendam nak bunuh kucing yang selalu curi makanan atas meja. Sebut je nama Kuya semua kucing betina berahi nak mengawan walaupun belum sampai musim.

Sebagai seekor gangster, gua ganas seganas ganas kucing. Sampai sesetengah anjing pun tak berani lintas depan. Tapi itu sebenarnya semua luaran gua. Gua muka gangster tapi dalam hati ada whiskes. Gua sebenarnya mahu ada manusia yang menjaga diri gua, membelai gua, bermain dengan gua. Gua perlukan kasih sayang, bukannya reputasi gerun sebagai kucing paling berpengaruh di Asia Tenggara.

Tapi semalam, waktu gua tengah jaga kawasan jajahan gua, ada seorang makwe comel berkulit putih dengan mata bundar dan leher jinjang berambut panjang datang mengusap kepala gua. Gua waktu itu terpejam dengan ekor menegak. Paling nikmat dalam dunia. 15 saat dia usap kepala gua. Pada saat ke 16, makwe comel itu bangun, senyum dan berlalu pergi. Gua ekori daripada belakang, gua potong depan dan terus gesel gesel kepala pada betis agung milik makwe comel itu. Gua dapat bau haruman pewangi Sex In The City pada tubuh badan langsingnya. Gadis itu tunduk, kata maaf dia ada kerja, dan berlalu pergi sekali lagi.

Hari ini, gua dapat tahu yang makwe paling comel di alam semesta semalam bekerja sebagai pembantu di klinik haiwan berdekatan. Gua ada plan. Gua kumpulkan energi yang ada pada tubuh badan sasa ini lalu gua berlari sekuat kuat hati.

Lalu lintas time tu betul betul sibuk. Waktu puncak. Gua lintas tanpa pedulikan sesiapa, dan seperti yang gua rancang, gua kena langgar dengan kereta Perdana hitam yang dipandu seorang lelaki muda. Melayang gua dibuatnya. Bibir gua berdarah, gua tak dapat rasa kaki gua. Kaki yang mana satu gua tak pasti, tapi gua tahu gua parah. Gua perlukan doktor, gua mahu ke klinik!

Lelaki muda naik Perdana itu berhenti, keluar dan angkat gua letak di sisi jalan dan berkata

"Sorry la der, sekarang lima suku petang woi, mana ada klinik buka. Office tutup. Lu bertahan la dulu. Esok kalau lu masih hidup gua angkat pergi klinik. kbai"

dan bangkai-to-be gua, seekor gangster kucing paling gerun di Asia Tenggara, tersadai di tepi jalan menunggu maut dalam menanti cinta sejati.

Thursday

Perhentian Bas Ajaib.

Ini cerita tentang sebuah perhentian bas ajaib. Di perhentian bas ini cuma ada dua buah bas setiap hari. Bas Panas, yang akan membawa penumpang penumpangnya ke percutian musim panas. Sebuah tempat yang terik, pasti membuatkan pengunjung pengunjungnya berpeluh, terpekik terlolong akibat tidak tahan panas. Bas yang kedua, Bas Sejuk, yang akan membawa penumpang penumpangnya ke sebuah percutian musim sejuk. Ke sebuah tempat nyaman dipenuhi dengan kegembiraan dan keseronokan yang berpanjangan.

Hari ini, di perhentian bas ajaib itu, ada tiga orang manusia sedang duduk menunggu bas. Dua orang wanita dan seorang jejaka dengan t shirt biru berseluar jeans hitam. Seorang wanita muda berambut panjang yang memakai blouse hitam berseluar jeans biru, manakala seorang lagi bertudung gelap memakai baju kurung moden dengan manik labucci di lengan.

Setelah menunggu beberapa lama, dua buah bas yang ditunggu tiba. Bas Panas dihadapan manakala Bas Sejuk di belakang. Serentak kedua kedua wanita tadi berlari lari anak menuju ke pintu Bas Sejuk yang berada dibelakang. Pintu bas tidak dibuka. Cuma ada beberapa orang dalam Bas Sejuk. Kelihatan seorang wanita berpurdah yang sedang tunduk di kerusi belakang, seorang lelaki yang sedang tersenyum berseri seri memandang langit, dan seorang lagi wanita bertudung bersama anak anaknya yang comel.

Malangnya, kedua dua wanita tadi masih belum berjaya masuk ke dalam Bas Sejuk. Tiba tiba terdengar suara pemandu Bas Panas dihadapan memanggil kedua kedua wanita tadi.

"tiket kamu naik bas ini" kata pemandu Bas Panas tegas.

"tapi kenapa pula? saya nak naik Bas Sejuk! saya mahu pergi ke tempat yang nyaman dan bergembira disitu selama lamanya" jawab wanita berambut panjang.

"Bas Sejuk adalah hanya untuk mereka mereka yang berkelakuan baik mengikut peraturan dan menjauhi larangan Tuhan" jawab pemandu tadi tersenyum.

wanita berambut panjang tadi bertukar warna menjadi merah. Matanya terjegil dan memuntahkan caci maki yang maha dasyat.

"abang woi, abang jangan pandang i sebelah mata tau. Walaupun i tak bertudung, i ni lagi baik lah daripada perempuan bertudung berlagak alim sebelah ni. Pakai je tudung tapi buat maksiat, ingat i tak tahu dia tidur dengan Pakcik Misai semalam. Dah lah berzina, tak ada taste pula tu" luah wanita berambut panjang tadi.

Wanita bertudung tadi juga bertukar kepada warna yang sama, malah lebih garang. Lengan bajunya disinting ke siku.

"kepala hotak lu lah perempuan. Gua daripada tadi diam tiba tiba lu petik nama gua apa hal? Jaga tepi kain sendiri boleh tak? dah la tak bertudung mengaku baik pula. Semua perempuan tak bertudung ni sama je lah wei, pesen puaka babi!" giliran wanita bertudung gelap pula memaki hamun.

Pemandu Bas Panas tekan hon tiga kali sebagai tanda protes. Kedua dua wanita tadi senyap, ketakutan melihat pemandu bas punya jegil.

"sekarang tak payah gaduh. Dua dua naik bas sini. Yang tak bertudung tak payah mengaku baik, tak pakai tudung tu confirm confirm salah. Tuduh orang berzina tak ada saksi lagi lah salah. Nasib baik kau tak buat sumpah laknat, kalau tak berganda ganda lagi kesalahan kau" marah pemandu bas pada wanita berambut panjang.

wanita bertudung gelap tersengih sengih melihat wanita berambut panjang dimarahi pemandu bas.

"hah yang kau tersengih sengih macam lipan tu kenapa?" jerkah pemandu bas pada wanita bertudung gelap.

"lipan mana reti sengih!" balas wanita itu.

"kau jangan melawan. kau pun kena naik bas sini. Pakai tudung tu dah bagus, tapi perangai hodoh. Bahasa kau pula tak nak lagi cantik? dah, naik sebelum aku libas dengan stereng bas" bentak pemandu Bas Panas itu.

serentak dengan itu, kedua dua wanita tadi naik dan duduk dengan wajah sugul. Kedua dua mereka mengalirkan air mata menyesal. Menuding jari tak bawa untung mana mana pihak.

"hoi kau!" jerkah pemandu bas itu pada pemuda dihentian bas. Pemuda itu sebenarnya masih bingung ke manakah dia hendak pergi dan bas mana kah yang patut dia ambil.

"kau naik bas ini. Jangan bantah!" arah pemandu bas itu.

lelaki itu naik, dengan tangisan tersedu sedu. Dia menangis memanggil mak. Apa dosa adik mak. Rintih lelaki itu. Saya tutup aurat pe.

Pemandu bas hidupkan enjin, memerhatikan lelaki tadi yang menangis.

"heh, itulah, siapa suruh tak jaga pandangan, usha betis dengan dada makwe je tahu"

dia start enjin, tutup aircond, tutup tingkap biar bas panas macam ketuhar. Dia pandu jauh jauh lepas masuk simpang kiri.

Tuesday

Hati atas meja.

Ada dua hati atas meja. Hati Satu besar, berwarna merah gelap, dan kelihatan segar. Begitu juga dengan Hati Dua. Cuma bezanya ia lebih kecil.

Hati Satu, mendekati Hati Dua lalu secara perlahan berdegup seperti organ jantung. Hati Dua menurut jejak langkah Hati Satu. Kedua dua hati, berdegup gembira dalam irama alunan yang sama. Tiba tiba, Hati Tiga diletakkan di atas meja. Lebih besar, lebih merah dan lebih segar. Lebih menggoda dan menggiurkan. Hati Dua berhenti berdegup.

Hati Dua bergerak ke arah Hati Tiga lalu berdegup bersama dalam alunan yang sama tanpa mempedulikan Hati Satu. Hati Satu bertukar warna menjadi suram, mengecut dan tidak segar ; macam batu. Ketika Hati Dua dan Hati Tiga berzina bersama, Hati Satu bergerak perlahan ke tepi meja dan jatuh.

mesti berkecai.

mesti berderai.

mesti remuk.

tapi itu ketiga tiga sangkaan tadi meleset. Sebaliknya hati itu disambut oleh seorang gadis comel berkulit putih dengan rambut perang. Dengan lembut Hati Satu tadi dimasukkan ke dalam tas tangan Burberry berwarna coklat. Tanpa sedar, Hati Satu dengan Hati Suci yang berada dalam tubuh badan gadis comel itu juga beralun dengan irama yang sama. Tapi kali ini lebih indah padanannya. Lalu Hati Satu gadis comel tadi bawa pergi.

jauh jauh.