Saturday

Kisah kutu tak berapa lengkap yang kuat merokok.


Yazid merupakan seorang kutu yang tak berapa lengkap. Seorang kutu yang lengkap biasanya mempunyai sebuah bilik bujang dengan tv 14 inci beraerial panjang dan sebuah tilam lusuh berwarna merah. Tetapi Yazid tidak mempunyai semua itu di dalam biliknya. Di dalam bilik bujang seorang kutu yang tidak lengkap bernama Yazid, beliau hanya memiliki seketul bantal merah buruk berbentuk hati, sebentang toto koyak berwarna hijau, sekotak rokok separuh penuh di atas sebuah meja reput di penjuru bilik, dan sebuah laptop jenama Acer. Beliau mungkin seorang kutu tapi beliau ada kelas.

Pada suatu malam dalam tahun dua ribu sebelas, Yazid seorang kutu tak berapa lengkap yang jelas tidak bekerja sedang menghabiskan masa melayari fesbuk dengan bantuan wifi percuma daripada kedai mamak berdekatan. Asap rokok berkepul kepul keluar daripada tingkap. Daripada luar tingkap boleh nampak seorang lelaki berambut perang suram sedang menghadap laptop di atas meja dengan rokok surya di mulut.

Tiba tiba laci meja reput beliau terbuka sendiri. Yazid terlentang ke belakang. Rokok surya masih utuh melekat dibibir beliau. Kecelakaan itu dikejutkan lagi dengan kemunculan misteri seorang budak lelaki berambut pendek dengan baju perak ketat yang keluar daripada laci meja Yazid, seorang kutu tak berapa lengkap.

"assalammualaikum abah!" budak lelaki tersebut menyapa.

"waalaikummussalam. Gua single lagi, so automatik gua bukan abah lu. Lu silap laci ni budak botak" balas Yazid, seorang kutu tak berapa lengkap.

"tak abah, saya tak silap. saya memang anak abah. Saya datang daripada masa depan"

Yazid kaget 15 saat. Pada saat ke 16 tangannya sudah pun menyalakan batang rokok baru di mulut. Dahinya berkerut, ada urat berwarna hijau timbul di sisi kiri matanya. Itu tanda otaknya sedang digunakan sepadu mungkin.

"lu anak gua dan lu datang daripada masa depan?"

budak lelaki itu hanya mengangguk. Yazid menyambung lagi.

"gua tengok lu macam hensem, jadi mungkin lu memang anak gua. Apa lu buat kat sini?

"saya datang nak bagi pesanan dekat abah. Tolong jangan hisap rokok dah. Sebenarnya baru semalam abah meninggal sebab kanser paru paru. Bila dibuat post mortem, paru paru abah berasap. Dasyat kan?"

Yazid jatuh terduduk di lantai. Tangannya ditekup ke muka. Dalam suasana sedih itu, Yazid bertanya,

"Ada berapa saf waktu sembahyang jenazah gua?"

"dua, itu pun separuh penuh." jawab budak lelaki itu.

" celaka, gua target lima. " keluh Yazid.

Yazid menghembuskan asap rokoknya ke luar tingkap. Serentak dengan itu, puntung rokoknya juga dibuang. Budak lelaki itu tersenyum.

"nampaknya abah sudah sedar. saya perlu pulang dulu abah. Time travel sekarang mahal. Kerajaan korup naikkan harga. Dua ribu sekali travel, itu pun dua puluh minit sahaja. Nasib baik duit PTPTN saya ada lagi " kata budak lelaki tersebut.

"baiklah, kirim salam dekat mak lu. Cakap abah muda kirim salam."

Budak lelaki itu datang salam tangan Yazid, cium. Lalu beliau kembali masuk ke dalam laci meja dan hilang.

kipas ligat berputar di syiling bilik. Yazid masih lagi bersila di lantai memikirkan tentang kedatangan anak lelakinya daripada masa depan. Air mata Yazid bergenang. Lalu perlahan lahan air itu mengalir di pipi cengkung beliau. Yazid merintih.

"kenapa ada dua saf je orang sembahyang jenazah gua. Hina sangat ke kutu macam gua nie.."

sebatang lagi rokok dinyalakan. Asap dihembus ke luar tingkap. Yazid tepuk dahi.

"celaka, gua lupa tanya siapa bini gua"