Saturday

Remy Arlong pemuda harapan bangsa.

Ada seorang pemuda bernama Remy Arlong. Remy ini pemuda harapan bangsa, mana mana dia pergi pasti akan prihatin dengan benda benda disekelilingnya. Tipah pakai legging di jerkahnya, Mamat bawa motor laju laju dihimpitnya, Pak Mail ada skandal dihebohkannya. Itulah Remy dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemuda harapan bangsa sejati.

Remy suatu hari berniat untuk pergi ke hutan. Saja saja, bukan dia tak tahu hutan tu berbahaya, silap silap boleh melayang nyawa, tapi kerana prihatinnya Remy pada dunia, Remy teruskan juga pengembaraannya.

Laluan pertama yang Remy ambil, terdapat amaran yang dipaku di batang pokok menyatakan kalau tak punya mental yang kental, fizikal yang mantap adalah dinasihatkan untuk tidak masuk ke rimba ini. Tapi biasalah Remy Arlong pemuda harapan bangsa, terlalu angkuh lalu tetap meneruskan juga perjalanan ke rimba. Tahu akan bahaya di hadapan tapi biasalah, sengaja.

Dan bertemulah Remy dengan bahaya yang dijangka. Terserempak dengan sekumpulan orang gila yang mengganas di rimba. Remy Arlong pemuda harapan bangsa lantas menasihatkan orang orang gila tersebut untuk berhenti menjadi gila kerana gila ini salah pada pendapat beliau. Malang tuan tuan dan puan puan, Remy Arlong pemuda harapan bangsa kita ditawan orang orang gila tersebut.

Dibaringkan Remy diatas sebuah hamparan batu. Tangan dan kaki Remy diikat. Remy Arlong pemuda harapan bangsa akan dikorbankan. Tapi Remy ketawa terbahak bahak. Kata Remy dia pasti akan selamat, dia dah banyak tengok filem filem melayu, semuanya berakhir ceria, pasti akan ada hero yang terselamat di akhir cerita. Dan dalam cerita ini, Remy Arlong lah hero!

Sekumpulan orang gila tadi ketawa. Ditanya kepada Remy, sama ada dia pernah ke perpustakaan atau tidak? Maka terasa terhina lah Remy dengan soalan tersebut. Khurafat pula rasanya mempercayai ending filem filem melayu. Lantas dengan sebuah batu sakti, kepala Remy ditoreh orang orang gila itu. Melolonglah Remy saat otaknya dikeluarkan segar daripada kepala. Kesaktian batu itu memaksa Remy untuk berjaga dengan mata terbuka, melihat otaknya dilapah sekumpulan orang gila. Bertuah Remy Arlong pemuda harapan bangsa kita tuan tuan dan puan puan. Ruangan otaknya terlalu sempit lantas menekan rasa enak otak itu tadi, maka otak tersebut tidak sesuai dijadikan makanan tengah hari orang gila. Merayulah Remy Arlong supaya otaknya dipulangkan segera. Tapi sekumpulan orang gila tadi enggan, dengan alasan, Remy Arlong pemuda harapan kita tiada bezanya berotak atau tidak. Otak tersebut dicampak entah ke mana.

Sekumpulan orang gila tadi berlalu pergi meningalkan Remy Arlong di tengah tengah hutan belantara, terbaring tanpa otak masih terjaga, mengenangkan bagaimana sepatutnya cerita ini berakhir. Ending yang gembira itu perlu, baru lah mengikut norma norma manusia! Tetapi macam biasa dalam cerita fiksyen Zoul Zombie,

watak utama biasanya akan dibiarkan tergantung di akhir cerita menunggu saat saat kematian seorang diri.

Wednesday

Hikayat Pinokiut #2

Pinokiut yang hidup bersama ibubapa kini semakin degil perangainya. Disuruh duduk dia berdiri disuruh baring dia berlari. Adapun suatu hari kenakalan Pinokiut membawanya jauh ke dalam hutan berdekatan sebuah kolam sakti milik dewa dewi. Tersadung kaki lalu jatuhlah Pinokiut anak lelaki sakti ke dalam kolam milik dewa dewi.

Si ayah datang dengan tangisan hiba, minta si anak dipulangkan semula oleh dewa. Setelah beberapa lama berduka lara, tiba tiba muncullah seorang dewi cantik dengan baju putih yang tertulis "saya seorang dewi, tak percaya? pergi mati"

Gembiralah si ayah lalu meminta si dewi memulangkan Pinokiut yang di sayangi. Si dewi tenggelam, cuba mencari anak lelaki si ayah yang dikasihani. Lalu timbul si dewi dengan seorang budak lelaki yang diperbuat daripada emas.

"inikah anak mu orang tua?" tanya si dewi.

"tidak dewi, anakku diperbuat daripada kayu, bukanlah daripada emas itu" rayu si ayah. Lalu si dewi tenggelam sekali lagi. Kemudiannya dewi timbul dengan seorang budak lelaki yang diperbuat daripada besi.

"inikah anak mu orang tua?" tanya si dewi.

"bukan dewi, anak ku diperbuat daripada kayu, bukanlah daripada besi itu" rayu si ayah. Maka tenggelam lah lagi si dewi. Dan kali ini dewi pulang bersama budak lelaki yang diperbuat daripada kayu yakni Pinokiut.

Terlalu gembiralah si ayah. Dipeluknya Pinokiut, diciumnya Pinokiut dan diusapnya Pinokiut. Menangis bahagia si ayah lantas cuba bersalam dengan si dewi sebagai tanda terima kasih. Malang seribu kali malang. Si ayah terjatuh ke dalam kolam.,

Petang itu, Pinokiut pulang dengan membawa pulang ayah yang diperbuat daripada emas.

Hikayat Pinokiut #1

Tersebutlah sebuah kisah sepasang suami isteri di hujung dunia yang tidak mempunyai anak perempuan mahupun lelaki. Teramat sedihlah mereka setelah berpuluh tahun bersenggama tiada satu pun sperma yang berjaya sampai ke destinasi. Adapun kesedihan itu sampai ke kemuncak apabila si isteri monopause tidak boleh mengandung lagi. Hendak berkahwin lain sayangkan isteri, nak ambil anak angkat tak dapat cari maka si suami ini, bergerak ke sebuah hutan misteri untuk mencari kayu sakti.

Setelah beberapa purnama menempuh hutan belantara, si suami ini tertembunglah dengan kayu sakti yang terbaring di lantai rimba. Dikapaknya, diikatnya dan dibawa pulang dengan gembira. Tersangat gembiralah mereka berdua suami isteri menemukan kayu sakti pengubat duka. 3 hari 3 malam si suami menukang, mengetuk dan membentuk kayu sakti hingga terwujudlah seorang budak lelaki yang elok rupa parasnya, molek budi pekertinya dan lengkap bicara dan hatinya.

dan nama budak lelaki kayu sakti itu adalah Pinokiut.

Hatta hidup gembiralah mereka sekeluarga bersama Pinokiut tercinta. Namun kesaktian yang ada pada Pinokiut memaksa beliau untuk bercakap benar sepanjang masa jikalau tidak panjanglah hidung kayu Pinokiut semeter dua. Tetapi beruntunglah bagi mereka mereka yang punya ibu bapa yang pandai berniaga. Dimintanya Pinokiut menipu dan apabila hidungnya panjang dikeratnya kayu itu lalu dijual di pekan pekan berhampiran. Maka kayalah Pinokiut sekeluarga menjadi jutawan kayu.

Saturday

Ini namanya malas menulis.

"saya rasa seolah olah dimesin ATM kan oleh isteri tercinta. Siang nak duit. Malam pun nak duit. Tak pernah nak masukkan duit. Sebab itu la saya bercita cita nak jadi sebuah mesin deposit tunai."

Thursday

Saya mahu bunuh PM

Kelihatan seorang remaja lelaki, dengan t-shirt hijau berseluar jeans lusuh berjalan laju dalam celah celah orang ramai di ibu kota. Dalam tangannya terselit sehelai kertas kecil.

Tiba tiba dalam kesesakan itu remaja lelaki terlanggar seorang lelaki separuh usia dalam uniform biru bermisai garang. Waktu itu jugalah kertas dalam genggaman remaja lelaki itu terjatuh di lantai kota lalu terlihatlah tulisan herot yang masih boleh dibaca.

"Saya mahu bunuh PM"

Terbeliaklah kedua dua biji mata lelaki bermisai. Ditarik kasar baju remaja lelaki itu. Diheretnya remaja itu ke sebuah bangunan biru yang juga penuh dengan lelaki dan perempuan beruniform biru. Remaja lelaki itu tidak gentar, masih lagi dengan pandangan tajam dan azam yang berkobar kobar. Dia benar benar mahu bunuh PM.

Kini, dia berada dalam sebuah bilik gelap, duduk di meja dengan sebuah mentol tergantung di tengah tengah. Remaja lelaki itu tahu disini, dia akan ditanya bertalu talu. Untunglah kalau cuma dipukul. Ada orang kena tembak, dia tertawa kecil dalam hati.

"Kamu nak bunuh PM ya?" soalan pertama diajukan oleh seorang lelaki bersuara serak garang.

"ya." jawab remaja lelaki itu ringkas.

"kenapa? kenapa nak bunuh PM? Kenapa nak bunuh tangan yang memberi makan?" tanya satu lagi suara, tegas.

"Kerana pada ketika aku punya hak untuk dapat makanan terbaik, hak aku dinafikan. Sebaliknya yang makan makanan enak tidak lain tidak bukan pembodek pembodek berperut buncit yang punya darah daging yang serupa haram. Kerana ketika aku punya hak untuk makan apa yang aku mahu, aku dinafikan hak untuk memilih makanan. Sedangkan mereka mereka yang duduk diatas kerusi empuk makan sesuatu yang lebih daripada keperluan. Dan kerana ketika aku punya hak, dia rampas hak hak tersebut yang mana sekelumit pun dia tiada berhak. Seterusnya ketika kita patut bersyukur pada Tuhan, tapi dia yang menerima terima kasih yang pertama. Nah, katakan pada aku sama ada itu tangan yang baik atau tangan yang cacat kotor dan bernanah?" jawab remaja lelaki itu.

Suasana dalam bilik itu senyap. Yang zahir cuma hembusan nafas lelaki lelaki tadi yang tidak puas.

"Bagaimanakah kau nak bunuh PM? PM mana ada dalam negara sekarang. ha ha ha" tanya lelaki garang pertama angkuh.

"ha ha ha (meniru gaya gelak lelaki itu). Dengan ini." remaja lelaki itu seluk poket seluarnya dan keluarkan sebatang pen. Dia letak atas meja.

kedua lelaki tadi ketawa terbahak bahak. Malah terlalu seronok hingga bergoyanglah mentol tadi ke kiri dan ke kanan. Terlihatlah sedikit dalam samar samar, seorang perut bulat seorang lagi keding dengan jaket kulit bermutu tinggi.

"Cuma orang orang bodoh sahaja yang tak tahu pena boleh membunuh. Kalian tidak lah bodoh, cuma apabila terlalu lama menjadi anjing setia pada majikan yang kaya kalian jadi alpa dan buta. Aku doakan kalian kembali membawa maruah pada pekerjaan ini yang sangat mulia" remaja itu berkata kata tenang.

"diam! kau ingat kau siapa nak bunuh orang? kau ingat kau siapa nak tarik nyawa orang macam tu!" jerkah lelaki garang pertama.

"Aku bukanlah malaikat maut yang mencabut nyawa manusia. Aku tak bunuh nyawa, tapi aku akan bunuh kuasanya. Ya, dengan pena ini kalau Tuhan izinkan. Pena yang lebih tajam daripada keris yang dicium suku sakat kalian. Dan kalau hari ini aku mati, terbit matahari esok pagi pasti terlahir aku seribu orang lagi."

Tiba tiba ruang soal tadi gelap. Mentol terpadam. Dan ada bunyi seseorang mengerang kesakitan. Esok pasti ada keluar berita kecil di penjuru akhbar, remaja mati dalam tahanan. Terlalu kecil sampai tak ada yang benar benar peduli.

sedangkan di jalan jalan yang sesak dengan orang ramai. Ada berpuluh, mungkin beratus atau lebih, semakin ramai anak anak muda yang berjalan laju dengan pen dalam poket. Dalam genggaman tangan ada nota yang sama bertulis

"saya mahu bunuh PM"

Tuesday

Pari pari Comel Lepidoptera

Saya adalah pari pari comel yang suka hinggap di bunga bunga wangi berdekatan universiti. Semua orang sukakan saya kerana saya pari pari Lepidoptera dan saya comel. Hampir setiap hari saya akan hinggap pada bunga dan sedut madu madunya. Hampir setiap hari juga saya akan terbang seperti bebasnya rama rama, seperti riangnya burung burung dan pasti akan hinggap sekurang kurangnya pada satu bunga.

Pada suatu suatu hari, ketika sedang ralik hinggap di antara bunga bunga oren, putih dan merah, saya, pari pari comel yang suka hinggap di bunga bunga wangi berdekatan universiti terlihat sesuatu yang menakutkan, nafas saya tersekat, mata saya terbeliak dan tangan saya turut menggigil. Saya terlihat satu bunga aneh yang mana setiap kelopaknya punyai warna warna yang berlainan. Bunga apakah ini?

Tiba tiba datang seorang pari pari lelaki menepuk bahu saya daripada belakang. Pari pari lelaki yang tidak comel dan jarang hinggap di bunga bunga wangi berdekatan universiti itu tersenyum. Saya, pari pari comel bukan lah seorang yang menilai pari pari lain melalui luaran, tetapi hati yang paling penting. Lalu saya tanyakan pada lelaki itu siapakah dia dan tahukah dia mengenai bunga misteri berwarna warni?

Katanya, beliau adalah pari pari lelaki yang ditakdirkan untuk pari pari comel yang suka hinggap di bunga bunga wangi berdekatan universiti. Dan tanpa menjawap solan saya, dia menarik tangan saya mengikutnya terbang kembali kepada bunga misteri berwarna warni tadi.

Dia, dengan memegang erat tangan saya, mengatakan yang bunga itu sebenarnya cinta, dan cinta itu punya warnanya yang tersendiri. Cinta setiap orang adalah berbeza. Pari pari lelaki itu kemudiannya menanyakan saya, mahukah saya melihat apakah warna cinta saya dengan bercinta dengannya. Saya malu tetapi tetap mengangguk kecil. Lalu dia tarik tangan saya, menari menari diatas bunga dan kemudiannya,

Dia keluarkan sebilah pisau Boker Magnum dan tikam jantung saya! Dia robek hati saya! Saya melolong meminta simpati tapi dia hanya ketawa. Kata dia, inilah cinta. Cinta yang punya warna mereka masing masing. Ini lah Cinta! semua cinta perlukan pengorbanan. Dan kali ini, saya adalah korban cinta dia yang entah yang keberapa kalinya. Darah saya yang merah, lalu mengalir dicelah celah kelopak bunga lalu diserap mewarnakan salah satu kelopak bunga yang asalnya tidak berwarna. Air mata saya, pari pari comel yang suka hinggap di bunga bunga wangi berdekatan universiti berlinangan jatuh. Kini saya tahu,

cinta saya merah berdarah.

Pakcik Karem dan keluarga episod dua.

Pakcik Karem pagi itu bangun awal dan turun ke dapur untuk bersarapan bersama isterinya yang tercinta. Macam biasa atas meja sudah tersedia nasi lemak kegemaran Pakcik Karem.

"Tea or nescafe?" tanya Makcik Kiyah

"amboi, cakap omputih" tegur Pakcik Karem separuh terkejut. Makcik Kiyah pura pura tak dengar sambil tuang nescafe tanpa diminta.

"Morning abah, mak" kelihatan Asrul baru turun daripada tangga.

"eh Asrul, bila hang balik daripada Amerika? patut la mak hang speaking, anak teruna dia dah balik." tanya Pakcik Karem;.

"Semalam, waktu Asrul balik, Abah tengah sibuk tengok bola dekat Kedai Mak Som" jawab Asrul sambil mengambil pinggan dan sudu sebelum duduk di meja makan.

"Rugi hang tak tengok. Kelantan kalau game mesti ada gaduh gaduh punya. Tu yang abah nak tengok sangat tu. Peminat bola dia ganas ganas belaka" kata Pakcik Karem.

"hai bang. Awak lupa ke saya orang mana? Klate ni be, klate!" kata Makcik Kiyah sambil tepuk meja.

"eh mak, jangan lah emosi. Abah pun, cuba lah buang stereotaip orang Kelantan ganas tu. Peminat bola negeri lain semuanya sopan ke? buang buanglah assabiyah kenegerian tu abah, tak elok" kata Asrul lembut untuk menjaga hati orang tuanya.

"ha, betul cakap Asrul tu bang. Saya ada soalan cepumas untuk abang. Siapakah yang membakar bendera negeri Kelantan? ha jawab jawab " tanya Makcik Kiyah.

Pakcik Karim buat muka poker face. Hirup sedikit nescafe lalu mengambil surat khabar untuk dibaca. Menghilangkan diri disebalik berita berita dalam negara.

"hai abah, baca apa sampai berkerut kerut muka tu?" tanya Asrul.

Pakcik Karem turunkan surat khabar, hirup nescafenya lagi lalu menarik nafas panjang.

"ini lah ha, berita pasal kes Anwar Ibrahim. Teruk betul perangai. Lepas kes liwat, kes video seks pula. Apa nak jadi lah. Orang macam tu pun orang buat jadi pemimpin" rungut Pakcik Karem.

"Tengok sikit Abah baca paper apa ni? ooo..patut la. Abah ni, saya dah pasangkan internet dekat rumah ni abah baca lah media alternatif yang lain sama"

"kenapa pula? Abah baca surat khabar ni ok je" kata Pakcik Karem.

"kalau Abah nak tahu, paper ni orang tak baca dah, orang buat bungkus nasi lemak. Membodohkan orang lagi adalah. Isu yang lebih penting tak disiarkan." rungut Asrul.

"ah sudah, tadi mak, sekarang anak pulak nak emo" kata Pakcik Karem.

"saya bukan emo abah. Saya cuma kesian tengok orang diperbodohkan. Cuba abah fikir, orang bergaduh, orang sibuk mengumpat, orang sibuk menfitnah pasal kes Anwar Ibrahim, untungnya apa? Saya tak faham." luah Asrul.

"tapi tak patut lah dia buat benda berdosa macam tu Asrul oi" Pakcik Karem tak mahu mengalah.

"macam ini lah abah, saya ni bukan penyokong mana mana parti, cuma saya tak suka situasi sekarang ni. Ok, katakan lah Anwar tu betul meliwat, yang dalam video tu confirm dia. Dia masuk penjara. Lepas tu apa Abah? negara kita bertambah maju ke? Rakyat aman sejahtera ke? kerajaan dah tak korup ke? Rosmah akan bertaubat daripada pergi shopping luar negara ke?"

Pakcik Karem waktu ini buat buat tak dengar soalan, dua tiga kali hirup nescafe.

"Saya kesian abah tengok orang macam abah, duduk kampung. Jadi banyak benda yang tak dapat sampai dekat orang orang kampung ni. Abah tahu tak harga gula naik, harga minyak naik, duit negara lesap pi mana tak tau kenapa? Abah tak tahu sebab surat khabar tu tak akan tulis. Kita senang senang diperbodohkan dengan isu anwar, tapi isu yang betul betul kritikal kita tak tahu abah." ulas Asrul panjang.

"Gajah di seberang laut nampak, kuman depan mata tak dilihatnya" sampuk Makcik Kiyah. Dia pun nak turut serta.

"ok lah abah, Asrul nak keluar beli barang kejap. Asrul minta maaf lah Asrul cakap tadi kalau kalau abah marah, tapi abah fikir lah betul betul. Assalammualaikum" Asrul salam tangan kedua orang tuanya lalu keluar ke kedai berhampiran.

Pakcik Karem masih tetap dengan muka poker face beliau. Makcik Kiyah tersenyum sinis melihat suaminya terdiam mendengar kata kata anak mereka yang belajar di luar negara itu.

"fikir lah abang oi. Saya ni tak tahu apa sangat, tapi satu je saya pesan, kalau jadi lah perang Ibrahim Ali cakap tu, abang jangan ikut tau" pesan Makcik Kiyah.

"kenapa pulak? itu kan jihad!" kata Pakcik Karem yakin.

"tak ada lah abang, saya risau kot kot waktu tengah perang dia lompat pergi masuk geng belah sana pulak. hik hik hik" ketawa Makcik Kiyah selamba, sinis.

Pakcik Karem sekali lagi buat buat hirup nescafe yang tak berbaki. Tersedak nescafe juga dia pagi tu.

Monday

Aku, Pembaris Kayu dan Cikgu




beberapa tahun kemudian...

*konvokesyen


Sunday

Karim manusia yang disumpah menjadi Monyet lalu bercita cita untuk dihantar NASA ke bulan.

Karim adalah seorang manusia biasa yang dilahirkan oleh ibu biasa di hospital biasa di Malaysia. Seperti biasa sebagai seorang manusia biasa beliau mendapat pendidikan di sekolah rendah biasa dan pergi ke sekolah menengah yang menempatkan orang orang luar biasa. Namun seperti biasa juga, dia keluar masih juga biasa biasa dan bekerja dengan seorang doktor tua yang luar biasa bernama Mahmud.

Gabungan Mahmud dan Karim membawa sesuatu yang sangat luar biasa di sekeliling mereka. Karim ni lurus pada mula mula. Mahmud ini pula bagus orangnya, cerdik tapi licik. Dengan kuasa magis yang berada dalam tangan, Mahmud sumpah Karim menjadi Monyet, berbulu, dipandang hina dan jijik oleh masyarakat. Karim sebagai seorang hamba Tuhan yang disumpah menjadi Monyet membawa diri bersama keluarga membentuk cita cita yang tak pernah difikirkan sesiapa.

Karim manusia yang disumpah menjadi Monyet lalu bercita cita untuk dihantar NASA ke bulan.

Cita cita seekor monyet berbulu seperti Karim mana mungkin diterima masyarakat sekeliling. Setelah dimomokkan berita palsu yang mengatakan monyet berbulu seperti Karim punya sakit berjangkit, maka hina lah Karim, keji benar lah keluarga Karim, begitu celaka lah cita cita Karim.

Karim umumkan pada dunia, yang suatu hari nanti kakinya bakal menjejak bulan walaupun dalam tubuh badan seorang monyet berbulu. Lalu gentar lah hati hati manusia manusia darah daging si tua Mahmud. Ketarlah kaki pendusta pendusta berita tipu lagi palsu. Pesong jugalah lah lari larian anak anak pewaris si doktor.

Kucar kacir lah dunia dengan desas desus kotor Si Monyet. Huru hara lah masyarakat dengan debas debus jijik Si Monyet. Porak peranda lah instusi keluarga dengan bisik bisik busuk Si Monyet.

dan ianya berlaku hanya kerana Karim, seekor monyet yang cuma bercita cita untuk dihantar NASA ke bulan. Masalahnya cumalah seeekor Monyet biasa yang mahu ke bulan?

hairan pemikir pemikir kritikal kerana Monyet yang bercita cita itu, cuma seekor. Seekor dan cita cita beliau kelihatannya masih belum mahu padam. Atau mungkin,

tak akan padam.

Saturday

Kuya Gangster

Nama gua Kuya. Itu nickname gua, nama penuh gua Kuyahidagi. Walaupun kelihatan macam nama jepun, sebenarnya gua asal Malaysia. Dan maksud nama gua, Kuyahidagi bermakna kucing yang hina dan gila. Jadi gua adalah seekor kucing. Gua gangster area Keyell ni. Siapa tak kenal Kuya Keyell? Sebut je nama Kuya terus kucing kucing jantan lain takut sampai terkencing. Sebut je nama Kuya terus semua peniaga peniaga restoran simpan dendam nak bunuh kucing yang selalu curi makanan atas meja. Sebut je nama Kuya semua kucing betina berahi nak mengawan walaupun belum sampai musim.

Sebagai seekor gangster, gua ganas seganas ganas kucing. Sampai sesetengah anjing pun tak berani lintas depan. Tapi itu sebenarnya semua luaran gua. Gua muka gangster tapi dalam hati ada whiskes. Gua sebenarnya mahu ada manusia yang menjaga diri gua, membelai gua, bermain dengan gua. Gua perlukan kasih sayang, bukannya reputasi gerun sebagai kucing paling berpengaruh di Asia Tenggara.

Tapi semalam, waktu gua tengah jaga kawasan jajahan gua, ada seorang makwe comel berkulit putih dengan mata bundar dan leher jinjang berambut panjang datang mengusap kepala gua. Gua waktu itu terpejam dengan ekor menegak. Paling nikmat dalam dunia. 15 saat dia usap kepala gua. Pada saat ke 16, makwe comel itu bangun, senyum dan berlalu pergi. Gua ekori daripada belakang, gua potong depan dan terus gesel gesel kepala pada betis agung milik makwe comel itu. Gua dapat bau haruman pewangi Sex In The City pada tubuh badan langsingnya. Gadis itu tunduk, kata maaf dia ada kerja, dan berlalu pergi sekali lagi.

Hari ini, gua dapat tahu yang makwe paling comel di alam semesta semalam bekerja sebagai pembantu di klinik haiwan berdekatan. Gua ada plan. Gua kumpulkan energi yang ada pada tubuh badan sasa ini lalu gua berlari sekuat kuat hati.

Lalu lintas time tu betul betul sibuk. Waktu puncak. Gua lintas tanpa pedulikan sesiapa, dan seperti yang gua rancang, gua kena langgar dengan kereta Perdana hitam yang dipandu seorang lelaki muda. Melayang gua dibuatnya. Bibir gua berdarah, gua tak dapat rasa kaki gua. Kaki yang mana satu gua tak pasti, tapi gua tahu gua parah. Gua perlukan doktor, gua mahu ke klinik!

Lelaki muda naik Perdana itu berhenti, keluar dan angkat gua letak di sisi jalan dan berkata

"Sorry la der, sekarang lima suku petang woi, mana ada klinik buka. Office tutup. Lu bertahan la dulu. Esok kalau lu masih hidup gua angkat pergi klinik. kbai"

dan bangkai-to-be gua, seekor gangster kucing paling gerun di Asia Tenggara, tersadai di tepi jalan menunggu maut dalam menanti cinta sejati.

Thursday

Perhentian Bas Ajaib.

Ini cerita tentang sebuah perhentian bas ajaib. Di perhentian bas ini cuma ada dua buah bas setiap hari. Bas Panas, yang akan membawa penumpang penumpangnya ke percutian musim panas. Sebuah tempat yang terik, pasti membuatkan pengunjung pengunjungnya berpeluh, terpekik terlolong akibat tidak tahan panas. Bas yang kedua, Bas Sejuk, yang akan membawa penumpang penumpangnya ke sebuah percutian musim sejuk. Ke sebuah tempat nyaman dipenuhi dengan kegembiraan dan keseronokan yang berpanjangan.

Hari ini, di perhentian bas ajaib itu, ada tiga orang manusia sedang duduk menunggu bas. Dua orang wanita dan seorang jejaka dengan t shirt biru berseluar jeans hitam. Seorang wanita muda berambut panjang yang memakai blouse hitam berseluar jeans biru, manakala seorang lagi bertudung gelap memakai baju kurung moden dengan manik labucci di lengan.

Setelah menunggu beberapa lama, dua buah bas yang ditunggu tiba. Bas Panas dihadapan manakala Bas Sejuk di belakang. Serentak kedua kedua wanita tadi berlari lari anak menuju ke pintu Bas Sejuk yang berada dibelakang. Pintu bas tidak dibuka. Cuma ada beberapa orang dalam Bas Sejuk. Kelihatan seorang wanita berpurdah yang sedang tunduk di kerusi belakang, seorang lelaki yang sedang tersenyum berseri seri memandang langit, dan seorang lagi wanita bertudung bersama anak anaknya yang comel.

Malangnya, kedua dua wanita tadi masih belum berjaya masuk ke dalam Bas Sejuk. Tiba tiba terdengar suara pemandu Bas Panas dihadapan memanggil kedua kedua wanita tadi.

"tiket kamu naik bas ini" kata pemandu Bas Panas tegas.

"tapi kenapa pula? saya nak naik Bas Sejuk! saya mahu pergi ke tempat yang nyaman dan bergembira disitu selama lamanya" jawab wanita berambut panjang.

"Bas Sejuk adalah hanya untuk mereka mereka yang berkelakuan baik mengikut peraturan dan menjauhi larangan Tuhan" jawab pemandu tadi tersenyum.

wanita berambut panjang tadi bertukar warna menjadi merah. Matanya terjegil dan memuntahkan caci maki yang maha dasyat.

"abang woi, abang jangan pandang i sebelah mata tau. Walaupun i tak bertudung, i ni lagi baik lah daripada perempuan bertudung berlagak alim sebelah ni. Pakai je tudung tapi buat maksiat, ingat i tak tahu dia tidur dengan Pakcik Misai semalam. Dah lah berzina, tak ada taste pula tu" luah wanita berambut panjang tadi.

Wanita bertudung tadi juga bertukar kepada warna yang sama, malah lebih garang. Lengan bajunya disinting ke siku.

"kepala hotak lu lah perempuan. Gua daripada tadi diam tiba tiba lu petik nama gua apa hal? Jaga tepi kain sendiri boleh tak? dah la tak bertudung mengaku baik pula. Semua perempuan tak bertudung ni sama je lah wei, pesen puaka babi!" giliran wanita bertudung gelap pula memaki hamun.

Pemandu Bas Panas tekan hon tiga kali sebagai tanda protes. Kedua dua wanita tadi senyap, ketakutan melihat pemandu bas punya jegil.

"sekarang tak payah gaduh. Dua dua naik bas sini. Yang tak bertudung tak payah mengaku baik, tak pakai tudung tu confirm confirm salah. Tuduh orang berzina tak ada saksi lagi lah salah. Nasib baik kau tak buat sumpah laknat, kalau tak berganda ganda lagi kesalahan kau" marah pemandu bas pada wanita berambut panjang.

wanita bertudung gelap tersengih sengih melihat wanita berambut panjang dimarahi pemandu bas.

"hah yang kau tersengih sengih macam lipan tu kenapa?" jerkah pemandu bas pada wanita bertudung gelap.

"lipan mana reti sengih!" balas wanita itu.

"kau jangan melawan. kau pun kena naik bas sini. Pakai tudung tu dah bagus, tapi perangai hodoh. Bahasa kau pula tak nak lagi cantik? dah, naik sebelum aku libas dengan stereng bas" bentak pemandu Bas Panas itu.

serentak dengan itu, kedua dua wanita tadi naik dan duduk dengan wajah sugul. Kedua dua mereka mengalirkan air mata menyesal. Menuding jari tak bawa untung mana mana pihak.

"hoi kau!" jerkah pemandu bas itu pada pemuda dihentian bas. Pemuda itu sebenarnya masih bingung ke manakah dia hendak pergi dan bas mana kah yang patut dia ambil.

"kau naik bas ini. Jangan bantah!" arah pemandu bas itu.

lelaki itu naik, dengan tangisan tersedu sedu. Dia menangis memanggil mak. Apa dosa adik mak. Rintih lelaki itu. Saya tutup aurat pe.

Pemandu bas hidupkan enjin, memerhatikan lelaki tadi yang menangis.

"heh, itulah, siapa suruh tak jaga pandangan, usha betis dengan dada makwe je tahu"

dia start enjin, tutup aircond, tutup tingkap biar bas panas macam ketuhar. Dia pandu jauh jauh lepas masuk simpang kiri.

Tuesday

Hati atas meja.

Ada dua hati atas meja. Hati Satu besar, berwarna merah gelap, dan kelihatan segar. Begitu juga dengan Hati Dua. Cuma bezanya ia lebih kecil.

Hati Satu, mendekati Hati Dua lalu secara perlahan berdegup seperti organ jantung. Hati Dua menurut jejak langkah Hati Satu. Kedua dua hati, berdegup gembira dalam irama alunan yang sama. Tiba tiba, Hati Tiga diletakkan di atas meja. Lebih besar, lebih merah dan lebih segar. Lebih menggoda dan menggiurkan. Hati Dua berhenti berdegup.

Hati Dua bergerak ke arah Hati Tiga lalu berdegup bersama dalam alunan yang sama tanpa mempedulikan Hati Satu. Hati Satu bertukar warna menjadi suram, mengecut dan tidak segar ; macam batu. Ketika Hati Dua dan Hati Tiga berzina bersama, Hati Satu bergerak perlahan ke tepi meja dan jatuh.

mesti berkecai.

mesti berderai.

mesti remuk.

tapi itu ketiga tiga sangkaan tadi meleset. Sebaliknya hati itu disambut oleh seorang gadis comel berkulit putih dengan rambut perang. Dengan lembut Hati Satu tadi dimasukkan ke dalam tas tangan Burberry berwarna coklat. Tanpa sedar, Hati Satu dengan Hati Suci yang berada dalam tubuh badan gadis comel itu juga beralun dengan irama yang sama. Tapi kali ini lebih indah padanannya. Lalu Hati Satu gadis comel tadi bawa pergi.

jauh jauh.

Monday

Kucing Marlboro

Petang tadi, lepas jogging dalam 18 minit, gua berhenti minum dekat gerai sebelah tasik. Order teh o ais limau. Sementara menunggu, gua keluarkan Marlboro dalam poket, hisap sebatang. Asap dihembus bentuk O. Air sampai.

tiba tiba, ada benda bergesel dekat kaki. Gua tak cuak sangat sebab benda biasa kalau lepak gerai macam ini, kucing. Kucing tersebut warna kelabu dengan mata biru, ekor panjang, muka jantan. Dia renung gua, gua renung dia.

gua tanya dia,

"apa lu nak?"

dia alihkan renungan ke tangan gua, berasap, ada rokok. Gua baran, gua sound kucing tu.

"woi, lu tak padan dengan kucing nak hisap rokok! rokok nie bahaya tahu! boleh maut"

kucing tersebut masih lagi memandang rokok di tangan gua. kali ini gua dapat lihat azam dalam mata birunya. Ada samar samar sangap di mata beliau. Gua mengalah. Gua lemparkan kotak Marlboro ke bawah.

"nah, jangan lebih, sebatang je" gua cakap sambil hembus asap rokok.

Kucing tu renung gua, gua renung kucing tu. Kucing tu renung kotak rokok, kucing tu renung gua lagi sekali. Gua renung kedua dua kucing dan kotak rokok. Kucing buat muka sedih.

"celaka la lu nie. Dah la ganggu gua berehat, pau rokok gua, sekarang nak ambik rokok sendiri pun tak reti. Smoker apa lu nie" gua dah mula membebel. Gua keluarkan sebatang, gua letak dekat mulut kucing, gua bakar rokok dengan mancis.

Berasap, kucing pejam mata tanda puas. Disedut dan dihembusnya asap rokok. Baran pula gua tengok dia mengada ngada. Gua habiskan air, pergi bayar seringgit dua puluh sen. Tak sampai lima minit gua bangun, gua balik meja nak kutip Marlboro, gua nampak kucing tu terbaring dekat tanah. Mulut berbuih. Lima minit lepas tu beliau dijemput maut. Gua dah cakap rokok nie memang membahayakan kesihatan.

Lagipun gua memang dah jangka memang jadi macam nie. Masuk nie dah 13 kali kucing meninggal lepas gua bagi rokok.

Sunday

Soalan untuk Jam Pasir

Duduk dekat Shah Alam ni memang senang nak jumpa kawan kawan lama. Malam tu dah janji nak dinner dengan member dekat Bara.

Waktu aku datang, Jon dengan Abe dah sampai. Nampak Jon tengah pegang jam pasir sebesar botol air mineral 600 ml.

Aku duduk, order nescafe. Lepas itu aku tanya.

"ni berapa minit ni?" sambil pegang jam pasir.

"sejam" jawab Jon ringkas.

Abe garu kepala.

" kenapa semua orang tahu nak tanya apa bila tengok benda ni. Aku tak tahu pun, tadi ada orang tanya berapa jam, lepas tu kau tanya berapa minit. Kenapa aku tak tahu pun apa benda ni?" kata Abe tak puas hati.

Aku dan Jon hanya mampu ketawa. Abe ni walaupun cemerlang akademik, pengetahuan amnya lemah. Aku rasa kalau tanya dia perdana menteri Malaysia sekarang pun dia mesti jawab Najib. Padahal jawapan betulnya Rosmah.

" tak apa, kita tunggu Lan, tengok apa benda dia nak tanya bila tengok benda ni. Kalau dia tak tanya dia satu geng dengan kau la Abe. haha" aku cuba menenangkan hati Abe.

Lepas lima minit, Lan datang, order air duduk. Belek jam pasir atas meja. Muka aku, Jon dan Abe masing masing curious soalan apa Lan nak tanya. Lepas seminit Lan tanya,

"ini pasir daripada mana ni?"

Tuesday

Sumpahan Apoi

Apoi seorang budak lelaki yang berumur 18 tahun. Beliau baligh di dalam bilik kuliah ketika berumur 17 tahun di sebuah sekolah berasrama penuh. Jam 12 setengah malam semalam adalah harijadi beliau yang ke 18. Dan pada ketika lilin di atas kek ditiup, dia cuba membuat permintaan yang esok pagi, jam 5 sebelum subuh, dia akan bertukar menjadi seseorang yang dipercayai orang ramai, kalis peluru dan boleh menyumpah sesiapa sahaja yang dia suka.

Keesokkannya, Apoi bangun pagi dengan tubuh badan Eskay.