Monday

Jihad Noir

Astagfirullah.

Tiap kali bila sampai di airport, Ismel akan pakai kaca mata hitam. Dia akan duduk di ruang menunggu dengan baju melayu hitam dan seluar slack kelabu bersama sama kasut hitam Leno yang berkilat disinari mentari pagi.

Dia duduk menghadap ruang yang sentiasa sesak dengan orang ramai. Sesekali kepalanya ditundukkan ketika melihat perempuan perempuan seksi dengan skirt pendek dan peha bergetah putih.

Astagfirullah.

Masanya telah sampai, fikir Ismel. Lalu dia melihat lihat sekitar ruang menunggu tersebut. Mencari orang orang yang yang mempunyai ciri ciri orang yang seagama dengannya. Biasanya memakai kopiah atau memegang buku buku agama dan bagi perempuan pula lebih mudah untuk dicam kerana mereka bertudung.

Ismel kembali teringatkan pesanan ibunya, berjuang di jalan Tuhan kena ikhlas. Tidak boleh dicampur aduk dengan sebab sebab peribadi, politik mahupun dipengaruhi perasaan cinta antara manusia. Kata ibu, anak orang sebelah jihadnya menyerbu gereja. Manakala sepupu Ismel pula jihadnya mengenal pasti anasir murtad yang menghina agama hasil daripada carian google dan gambar printscreen sekerat sekarat. Anak wakil rakyat pula berjihad dengan menjadi blogger maksum menegur anak muda dan kadangkala disertai sedikit sedikit hadis hadis atau kata kata mutiara yang diambil dari internet. Tapi jihad Ismel suci, menyedarkan umat yang terlena, Ismel akan kejutkan semua orang!

Ismel bergerak merapati salah seorang lelaki yang sedang membaca buku La Tahzan. Buku agama yang dibaca semua golongan, agamawan, politikus, lelaki bermimpi dan perempuan perempuan seksi.

Assalammualaikum.

Selepas salam dijawab, segera Ismel tersenyum. Dalam bahasa inggeris, Ismel berikan amaran agar penerbangan lelaki tersebut ke Washington dibatalkan. Pulanglah ke rumah. Dengan muka hairan lelaki tersebut bertanya kenapa?

kullu nafsin zaiqatul maut.

kata Ismel sebelum berlalu pergi meninggalkan lelaki tersebut terpinga pinga. Menaiki penerbangan yang sama, cuma dalam dalam kelas yang berbeza, Ismel di ekonomi manakala lelaki tersebut kelas pertama.

Bismillah.

Kapal terbang terbang American Airlines tersebut meletup dan berkecai 7 minit sejurus selepas berlepas.

Saturday

Surat terpilih untuk orang orang terpilih yang menggemari biji biji kopi terpilih

Kehadapan kawan kawan yang kaya dan berharta,

Hari ini saya datang membawa khabar gembira untuk kalian semua penggemar biji biji kopi terpilih yang didatangkan daripada luar negara untuk dinikmati oleh golongan golongan bijaksana.

Pernah kah kalian mendapat mesej mesej pokemon itu yahudi dan CD percuma Mimpi Ahmad yang dikatakan membawa cubaan memurtadkan orang melayu Islam? Untuk orang Cina, India, atau bangsa lain yang Islam tidak perlu risau, Melayu Islam sahaja yang kurang cerdik tengok CD boleh murtad. Dan Melayu Islam sahaja lah yang paling rajin mentafsirkan nama nama kartun Pokemon. Selain itu kita juga dihidangkan dengan informasi informasi yang menakutkan yakni kononnya Jakim mengeluarkan kenyataan yang Starbucks itu haram!

Sesungguhnya kenyataan itu amat menggusarkan hati kita semua hinggakan masing masing saling berlumba lumba untuk menyebarkan maklumat tersebut dengan niat berbeza beza. Ada niat untuk menyedarkan kawan kawan yang terlanjur menikmati minuman minuman eksklusif Starbucks, ada niat untuk dikenali sebagai orang yang paling terkehadapan dalam membawa berita berita terbaru untuk masyarakat, dan ada juga dengan niat murni berkongsi informasi demi menyelamatkan umat Islam daripada haramnya kopi. Niat apa pun, membawa berita tidak sahih berdasarkan cakap cakap mulut ini ada sesuatu yang dianggap kurang cerdik bagi golongan intelektual yang biasanya hanya ketawa tanpa menegur kesilapan di depan mata.

Tapi percayalah, mana mungkin restoran mewah kegemaran kita bersama tiba tiba menjadi haram kerana sedikit sisa babi dan buah buahan yang dicelup arak. Alhamdullilah kawan kawan, JAKIM dengan cepat/pantas/tangkas tampil membuat kenyataan rasmi yang Starbucks dijamin halal sehingga tahun 2012. Maka selama itu apa sahaja tuduhan/anggapan/dakwaan tentang keraguan status Halal Starbuck wajib/mesti/harus diabaikan tanpa perlu dibuat apa apa kajian atau pemeriksaan semula. Percayalah kepada logo halal Jakim dengan sepenuh hati kalian. Barangsiapa yang ragu ragu, dia tergolong dalam kelompok orang orang yang rugi. Sedangkan kita ini punya status tersendiri yang melayakkan kita menyalurkan lebihan wang di dalam poket pada restoran Starbucks sambil menghirup secawan kopi bermutu tinggi.

Dan untuk yang memilih gerai gerai kecil dalam celah celah lorong rezeki halal dunia akhirat, jangan risau, kopi anda juga selamat cuma malangnya ia sedikit murah.

Klik ->sini <- untuk membaca khabar gembira JAKIM.


Yang benar,
Ahmad Zombi,
Penyimpan Mohor Mohor Besar Biji Kopi.