Friday

Bukan paling cantik dalam dunia, tapi cantik.


Seorang kawan perempuan pernah duduk di sebelah saya dan mengadu betapa dia tidak gembira dengan dirinya sekarang. Saya yang sedang makan aiskrim tiba tiba berasa simpati lalu cepat cepat saya makan aiskrim tersebut sampai habis supaya dia tidak berasa teringin. 

Katanya, kali terakhir dia berasa gembira adalah ketika dia kecil molek lagi, menyelinap masuk ke dalam bilik tidur ibunya, memakai segala jenis gincu, bedak muka dan maskara lalu memperagakannya di depan meja solek. Ketika itu, dia adalah perempuan paling cantik dalam dunia. Sekarang, walau di hadapan meja solek, dengan gincu, bedak muka dan maskara yang sama perasaan perempuan paling cantik dalam dunia itu tidak pernah hadir lagi. 


Saya memandang wajah muramnya, memberi sedikit senyuman agar dia tidak hanyut dalam rasa sedihnya. Jujurnya, saya tidak tahu apa yang saya harus katakan, tapi berdiam diri bukan lah satu pilihan. Lalu saya keluarkan sekeping syiling dua puluh sen dari dalam poket. Lihat syiling ini, awak tahu ketika pertama kali ia dikeluarkan, warnanya perak terang dan berkilau. Tapi sekarang, setelah beberapa tahun syiling ini jadi kusam. Pernah awak dengar orang mengadu syilingnya kusam? Tidak berkilau? Tak, kerana yang penting bukan permukaan, tapi nilainya. Begitu lah juga awak dan semua orang. Tak penting samada kita cantik atau tidak, tapi yang penting nilai kita pada orang orang sekeliling. Misalnya nilai awak pada saya, adalah sebagai seorang kawan. Cantik atau cacat, tetap nilai sebagai seorang kawan itu tidak berubah. 


Dia memandang wajah saya, dan saya memandang wajah dia. Dengan mata yang berair dia mengangguk angguk, katanya saya betul kerana walaupun saya tak kacak, dia masih rasa nak berkawan dan mengadu dekat saya. 


Saya senyum, dan beberapa saat selepas itu kawan perempuan saya mati tersedak syiling dua puluh sen. Arwah selamat dikebumikan di Kuala Kangsar.

2 comments:

mendatak hijau said...

cpt betul arwah

BonekadalamChermin said...

mungkin arwah tersedak duit syiling lama,
sebabnya duit syiling baru lebih kecil dan efisyen



kahkah!