Thursday

Email daripada seorang peniaga mimpi mimpi indah yang diikat kemas dalam belon belon kuning diisi helium untuk jiwa jiwa sepi di sebuah funfair di pinggir bandar.


Tolong jangan abaikan email ini, setidaknya baca lah dahulu sampai selesai. Aku tidak meminta sesuatu yang berat sampai mendatangkan mudarat. Baca lah.

Pernah suatu masa dahulu pekerjaan aku adalah sebagai seorang peniaga mimpi mimpi indah yang diikat kemas dalam belon belon kuning diisi helium untuk jiwa jiwa sepi di sebuah funfair di pinggir bandar. 

Setiap hati sunyi yang lalu akan ku tegur dengan senyuman mesra dan bertanya, hai, mahu beli mimpi indah? Kebanyakan mereka berlalu pergi tanpa sebarang reaksi atau ketawa kecil melihat aku dengan tubuh gempal memegang tali tali yang mengikat belon belon kuning. Tapi bagi yang berhenti, akan aku ikatkan tali belon kuning di pergelangan tangannya dan mengucapkan terima kasih. Mereka akan bertanya bayarannya berapa dan aku akan menjawab, tiada cuma cuma anda harus percaya.


Bagi yang memilikinya pasti akan kembali dengan wajah ceria diiringi dengan seketul hati yang melompat kegirangan. Kata mereka, malam tadi adalah malam paling indah! Aku tersenyum, tumpang bahagia. Mereka gembira, aku turut serta merasainya.


Sampai lah pada hari ini, aku kehabisan belon belon kuning. Yang tinggal cumalah belon kelabu dan hitam dalam stor. Tapi belon belon itu tidak aku jual, ianya milik aku yang selama ini aku sorokkan di belakang rumah. Keresahan yang selama ini dibawah kaki mula memeluk hati yang cungap. 


Jadi aku ingin meminta belas kalian yang pernah aku berikan ataupun ada memiliki mimpi mimpi indah yang diikat kemas dalam belon belon kuning diisi helium untuk jiwa jiwa sepi di sebuah funfair di pinggir bandar, pinjamkan lah cebisan keindahan itu pada aku, sekurang kurangnya sampai aku menemui belon belon kuning yang baru?

5 comments:

Amalina said...

guna saja belon kelabu dan hitam, lagipun ianya percuma pun..

arfasyrf said...

maaflah. belon kuning takda. belon merah adalah. nak?

Anonymous said...

Aku juga mengingkan belon kuning itu, sudah lama tak dapat mimpi indah..

pingu_kecik said...

nanti kalau ko dah dapat stok belon kuning baru, reservekan untuk aku sekali..sebab aku sendiri pun dah lupa bagaimana rasanya bermimpi indah.

adinda juwita said...

Nanti pasti ada,kau kena percaya,macam yang kau kata,tiada bayaran tp percaya...