Thursday

Begini, seorang gadis berikan aku nombor telefonnya.

Seorang gadis memberi aku secebis kertas yang tertulis nombor telefonnya dan aku jadi kaget. Ini adalah kali pertama seorang gadis memberi aku nombor telefonnya secara sukarela tanpa memerlukankan kebijaksanaan aku untuk mengatur strategi seperti mengaku sebagai seorang pegawai dan memintanya mengisi borang bantuan kerajaan atau mengacu sebilah pisau ke lehernya. Taktik yang kedua biasanya berakhir d
engan nombor telefon palsu yang membawa aku kepada perbualan "Gua mana ada anak perempuan. Sekarang lu nak beli ke tak tong gas ni?".

Cerita ini ditulis dalam kepala ketika aku sedang tercegat memandang kertas ditangannya, dan sekarang ianya menghampiri dua minit yang janggal. Aku yakin pada saat ketiga, dia akan menurunkan tangannya dan berlalu dengan hati yang hancur akibat ajakan bercinta yang tak berbalas. 

Dan aku, tiba tiba memegang pergelangan tangannya dan berkata, kalau awak yakin kita mampu bercinta dengan sempurna, jangan beri nombor telefon. Berikan hati awak - bukan separuh tapi sepenuhnya - pada saya. Saya akan letakkan dalam ruang kosong hati saya dan kita lihat jika Tuhan mengizinkannya. Dan kalau ya, tiada lagi hati awak atau hati saya, yang akan tinggal cuma hati kita.

Dia tunduk dan menangis. Katanya, hatinya sudah tiada. Dia tidak menyedari bila, tapi pada suatu pagi yang hening, bila terjaga dari tidur hatinya sudah berada di bawah bantal seorang lelaki yang lenjun dalam mimpi basah seorang puteri. Dan tindakannya memberi nombor telefon kepada aku adalah satu percubaan untuk meminjam hati secara curi curi untuk menyingkirkan segala toksin cinta bertepuk sebelah tangan.

Aku tersenyum dan mengusap lembut jari jemarinya sebelum memujuknya dengan berkata, awak cuma perlu berterus terang dan saya akan meminjamkan hati saya untuk awak buat sementara. Tapi jangan berbohong, kerana jika saya berikan hati ini dengan niat untuk selama lamanya, mungkin saya pula yang dicemar toksin kecewa dan mati akibat keracunan cinta pura pura.

Nombor telefonnya kini sudah disimpan dalam telefon aku, berlabel teman baik - berstatus dalam rawatan.

4 comments:

Nong Andy said...

aiyoh.. hati aku juga turut hilang tiba-tiba..

bukan di curi.. tapi sudah terjatuh dari tangkainya... selepas membaca cerpen ini...

salahkah aku jatuh cinta..
bukan pada manusia.. tapi pada tulisannya...

reenapple said...

wow... aku terkesima. Kalaulah ada lelaki yang mampu berbuat sebegitu pada aku.. merawat hati aku...=)

Teyha is daddy's girl said...

jatuh hati dgn nukilan ini.....

iKhRam said...

wow
jalan cerita yang memberansangkan..

kebarangkalian 1/10000000000