Sunday

Sebatang lolipop berwarna warni dan sekeping surat dilipat kemas.

Suasana dalam bilik bacaan itu suram, ditambah dengan wajah wajah muram si ibu dan si anak yang tenang mendengar bicara peguam tentang wasiat si ayah yang baru sahaja meninggal dunia akibat penyakit kanser. Peguam itu mengeluarkan sampul besar bersaiz A4 daripada beg hitamnya yang berisi sebatang lolipop berwarna warni dan sekeping surat dilipat kemas. Kata peguam, peninggalan si ayah untuk si ibu cuma lah sebatang lolipop berwarna warni, manakala si anak tidak akan mewarisi apa apa pun melainkan sekeping surat yang ditulis sendiri oleh si ayah. Si anak tadi bingkas bangun daripada tempat duduknya, tidak berpuas hati dengan kata kata peguam itu, lalu merampas surat peninggalan si ayah tersebut. 

"Wahai anak ku,

Sebenarnya 10 tahun lepas aku pernah memberikan ibu kau satu lolipop beracun ketika sedang makan dalam sebuah restoran untuk menamatkan riwayatnya agar aku boleh berbahagia dengan calon pilihan aku sendiri. Cuma aku tak sangka ibu kau begitu bermurah hati mendermakan lolipop itu pada seorang kanak kanak berbaju lusuh yang bertandang dari meja ke meja menjual tisu. Lalu aku rampas kembali lolipop itu daripada tangan kanak kanak itu sebelum semua orang dalam restoran memandang aku dengan tajam. Seorang lelaki hampir hampir bangun dan menghempuk kepala aku dengan sebuah kerusi besi tapi sempat dihalang teman wanitanya yang awal awal lagi telah pun membaling tulang ayam kepada aku sebagai tanda protes. Demi menyelamatkan nyawa aku, kanak kanak itu aku peluk lalu aku umumkan pada khalayak yang mulai hari tu kanak kanak itu akan aku bela nasibnya. 

Dan begitulah ceritanya bagaimana aku terpaksa menjadikan kau anak angkat ku dan menyebabkan kau tidak layak untuk menerima walau satu sen pun harta hartaku. Sekian ayah akhiri surat ini dengan sedikit ketawa ringkas, kah kah kah!

 fakyu, 
ayah angkatmu"

Thursday

Peristiwa awal Januari di Restoran Hakim Seksyen 7

Malam itu, buat pertama kalinya dalam bertahun tahun sejak kali hari pertama ianya dibuka, Restoran Hakim Seksyen 7 tidak dibuka. Gelap, tidak beroperasi sejak pagi. Angin bertiup sepoi sepoi bahasa dengan dedaunan kering berterbangan di lantai jalan. Masyarakat Shah Alam masing masing bingung memikirkan sebab restoran yang tak pernah tutup itu tiba tiba berhenti beroperasi tanpa sebarang notis. Kata budak budak UiTM, persatuan mamak mamak ada buat demo dekat utara Mumbai bagi membantah kenaikan harga serbuk kari import di India. Kata budak budak UNISEL pula, restoran kena sita sebab pekerja restoran tak daftar mengundi. Kata masyarakat tempatan, restoran Hakim musnah teruk, budak budak mencester mengamuk itu hari lepas kalah tiga kosong. Macam macam teori, macam macam spekulasi. 

Awal pagi Isnin itu orang ramai dah mula berkumpul depan restoran, daripada makwe makwe bola, budak budak futsal Padang Jawa sampailah pria pria Indonesia Raya, semua berhimpun dekat port paking belah kanan Restoran Hakim Seksyen 7. Masing masing bawa sepanduk yang tertulis "Kami mahu kuah campur!" , "Mohon ayam madu seketul dua!", "Roti telur kuah banjir" dan bermacam macam lagi sepanduk yang dibuat secara sambil lewa dengan kesalahan ejaan dan tatabahasa macam banner demo budak budak UiTM. 

Tiba tiba seorang lelaki berkulit gelap keluar daripada pintu belakang Restoran Hakim Seksyen 7. Cahaya terik matahari pagi menyerlahkan laluan air mata yang masih basah di pipi lelaki itu dalam samar samar bayang bayang bangunan. Semua yang ada disitu terdiam, memandang dengan penuh rasa ingin tahu apa yang terjadi pada lelaki beruniform biru itu. Dengan suara yang tersekat sekat, lelaki berkulit gelap dalam uniform biru itu berkata dengan sedikit tersenyum,

"Abang abang dan adik adik manis semua, kes liwat tersebut sudah tamat"

Maka riuh rendah lah suasana port parking Restoran Hakim Seksyen 7 mendengar berita tersebut. Hiruk pikuk lah bandar terpinggir Shah Alam yang sebelum ini suram tiada berpenghujung itu. Huru haralah semua restoran 24 jam yang mempunyai tv plasma tergantung di penjuru premis. Masing masing melaungkan perasaan gembira dan bahagia yang tak terhingga. 

 Di bawah pohon rendang di penjuru jalan, seorang lelaki tua sedang bersujud syukur dengan linangan air mata, 

 "Tuhan, terima kasih kerana meringankan beban hamba hamba mu ini yang sudah bosan setiap kali membaca suratkhabar atau menonton buletin utama, asyik mengulang muka dan berita yang sama. Aku mohon agar kau bukakan lah pintu hati media media yang ada, lebihkan lah fokus mereka pada isu isu kritikal yang melanda negara" 

 Doa lelaki itu diaminkan oleh hampir dua ratus orang manusia, sekumpulan kucing liar, tiga kelompok golongan jin qarin, sepasang malaikat bahu kiri dan kanan serta beberapa ekor burung pipit yang terbang rendah.