Sunday

Jam 11 malam, ada makcik ketuk tingkap bilik datang jual karipap gemuk gemuk.

Perut lapar, aku pandang bungkusan kuaci yang berselerak tepi tilam. Nak kurus la konon makan kuaci malam malam, tapi tak juga mengecil perut ni. Silap silap minggu depan aku bangun pagi dengan tubuh badan seekor hamster. 

Tiba tiba tingkap bilik diketuk kuat. Aku bangun selak langsir, entah siapa ketuk tingkap bilik malam malam begini. Rupa rupanya seorang makcik memakai baju kurung kedah putih dengan selendang kuning sambil mengendong sebakul penuh karipap gemuk gemuk. Dik, karipap dik? tanya makcik tersebut. Aku pandang karipap gemuk gemuk dalam bakul merahnya dengan penuh minat. Aku buka tingkap, ni karipap inti apa ni? Makcik tersebut tersentak, tak takut ke makcik ke nak? Tengok muka makcik ni, tak takut? Aku pandang muka makcik itu, tarik nafas dalam dalam dan berkata, 

Makcik, makcik, makcik. Sebenarnya memang saya perasan yang muka makcik dah reput, malah ada ulat yang bergantungan di pipi makcik. Saya juga perasan yang kaki makcik tak kelihatan. Dan saya juga perasan, yang cerita makcik jual karipap ketuk pintu bilik malam malam ini juga adalah satu cerita hantu yang klise. Saya perasan semua tu, tapi ada beberapa benda yang makcik tak perasan tentang saya. 

Makcik tersebut garu kepala, apa yang makcik tak perasan? 

 Makcik perasan tak dada saya? Dada saya ni makcik, berlubang. Tak ada organ organ yang menjalankan fungsi fungsi vital seperti jantung, paru paru dan hati. Nampak tak? hati pun tak ada makcik. Jadi makcik, secara logiknya, kalau sekarang saya tidak ada hati untuk mengawal aras glukosa dalam darah, menyahtoksik bahan bahan beracun dalam badan dan untuk melayan perkara perkara yang berlaku disekeliling saya, makcik rasa saya ada hati untuk takut kepada makcik? 

 Makcik karipap geleng geleng kepala. Aku tersenyum, terus sambung soal - so ni karipap ni kira macam mana? Seringgit dapat empat ke seringgit dapat tiga?

Wednesday

Segan bertanya sesat jalan.



‎"sorry i emo these days" 

Gua perhatikan mesej tu sambil kelip kelip mata. Adalah dalam 5 minit gua tenung lepas tu terus bangun capai tuala, londeh seluar dan masuk dalam bilik air. Gua berdiri bawah shower, biar air membasahi seluruh kepala dan badan sambil pandang tajam dalam cermin. Sumpah serupa filem thriller, cuma tak ada part air tiba tiba jadi warna merah atau ada pembunuh bersiri cacak pisau dekat leher sampai darah memancut mancut kena cermin, tak ada. Yang ada cuma wajah tertanya tanya gua dalam cermin sambil gosok gigi. Tak puas hati, dengan badan basah basah, gua pakai lilit tuala keliling pinggang terus masuk bilik capai henfon. Gua taip mesej, 

 "Sorry, i nak tanya sikit, emo tu apa?" 

 Dia reply, "perempuan". 

Terus, gua bulat kan bibir buat bunyi, 

oooooooo.

Saturday

Cerita biasa tentang petang semalam, aku ada sembang dengan matahari. Kau ada?

Sebenarnya semalam aku ada bersembang dengan matahari, cuma petang ini baru berani nak cerita. Bimbang, nanti pagi semua beratur ambil giliran mahu bersembang.

 Aku laungkan pada dia, tentang betapa tipunya pujangga pujangga nusantara, sematkan harapan pada setiap penantian, selitkan impian dalam celah celah perkataan. Padahal, mereka sendiri pun biasanya mati kesepian, sorang sorang tanpa teman. Palsu belaka semua aksara, disusun indah cuma untuk menutup pandangan mata, tentang realiti hidup yang celaka.

 Matahari hanya diam.

Aku laungkan lagi, tentang betapa tidak wajarnya orang menggunakan namanya untuk mengubati kekecewaan. Kononnya, esok matahari masih bersinar. Tapi kalau turun hujan hitam halang cahaya buat apa? Tambah berantakan dalam dada?

 Matahari masih diam.

Aku teruskan melaung, kali ini aku persoalkan pula janji janji perempuan yang baik untuk laki laki yang baik. Sejujurnya, aku kejar janji itu, berusaha membawa kaki melangkah menjadi sebaik yang diharapkan walaupun berat. Tapi tiba tiba, kaki aku dicantas atas alasan aku tidak cukup baik. Hei! Aku mungkin tidak sempurna, tapi aku berusaha!

 Kali ini matahari balas, aku aku, aku tak tahu! Kau pergi tanya Agnes Monica! Dan senja pun berlabuh lalu matahari langsung hilang. Kelam kelam begini, entah bagaimana aku mahu cari seorang Agnes Monica.

Thursday

Dewa cinta berkain pelikat, bagi waranti 5 tahun tapi tak ingat.


Sinki penuh pinggan di dapur rumah sewa tiba tiba bercahaya. Tertarik sebilah pisau tumpul tapi masih gagah untuk digunakan sekurang kurangnya memotong bawang atau kunyit. Malam ini, ada darah dewa yang akan aku tumpahkan.

Waktu menunjukkan jam 7 petang, saat pintu pintu masjid terbuka dan pintu pintu rumah pula ditutup - kononnya mahu elak setan. Aku buka tingkap dan sliding door biar ternganga luas luas, agar angin senja masuk, biar sang setan merasuk. Meraba segala kemungkinan, memergoki peristiwa peristiwa lampau saat ketawa gadis cantik bermuka baik itu dia tumpahkan di tengah tengah jalan pandangan aku. Bangsat, sekarang juga aku pergi rumah kau.

Pintu rumah flat itu aku ketuk bertalu talu, ada beberapa ekor anai anai jatuh ke lantai sebelum aku pijak pijak dan tonyoh sampai mampus. Seorang dewa berkain pelikat membuka pintu, tersenyum dan mengucapkan selamat petang cinta. Menjemputku masuk tanpa sedikit pun ragu ragu akan niat ku ke situ. Bersila atas lantai, aku katakan padanya hati aku terpatah dua, aku tuntut waranti 5 tahun yang dia berikan pada aku dulu.

Senyum lagi, dia tanya, engkau selingkuh? aku geleng. Engkau berubah hati? aku angkat bahu. Masih sayang dia? Aku angguk laju laju. Babi, banyak tanya. Aku genggam kolar baju polo merah jambu dewa berkain pelikat, aku tanya lagi sekali, waranti 5 tahun aku mana? Dia tergagap gagap, ma ma maa naa aad adda. Mana ada apa? aku tanya lagi, herdik sampai bersembur air liur dekat muka dia. Mana ada waranti dalam bercinta! kali ini lancar pula dia cakap. Rupa rupanya dalam diam tangannya sudah memegang punat telefon, 991, sambung ke talian khas masalah dewa dewa. 

Tak tunggu lama, aku pergi cari busur cinta dia simpan belakang almari televisyen, aku panah kepala dengan rambut samar samar dia guna pisau ajaib aku jumpa dalam sinki senja tadi. 

Maghrib tadi, aku lakukan dua dosa, pertama aku bunuh Q-pid sang dewa cinta. Kedua, aku dah tak percaya cinta. hey hey hey aku tak percaya cintaaaa... aku tak percaya cintaaaaa... Aku tak percaya

C.

I.

N.

T.

A!

Tuesday

Cerita hantu bertajuk Jin Mekdi


Bosan, entah macam mana tiba tiba saja keluar cerita hantu dalam kereta waktu atas highway PLUS nak balik PJ. Mungkin sebab di luar gelap, hujan pula renyai renyai, maka mood seram secara semulajadi tiba tiba datang. Habis semua cerita aku keluarkan daripada poket pengalaman kiri dan kanan. Daripada cerita pocong pakai skirt di bilik guru, sampai lah cerita seorang makwe tanpa tangan yang membuka pintu jamban guna kepala. Tak lupa juga, cerita pasal pengetua MRSM yang bela hantu kopek dalam poket baju melayu. Malangnya semua orang cool, tak ada tunjuk sikit pun tanda tanda sedang takut. Sampai lah bila aku cerita pasal orang kena rasuk dengan jin Mekdi. 

Pada suatu hari, ada seorang lelaki/perempuan yang sedang membaca blog. Tiba tiba mereka terbaca satu cerita mengenai seekor jin Mekdi yang meniup bau bau makanan segera Mekdi ke hidung manusia. Antara bau yang ditiupkan jin Mekdi itu adalah bau Double Cheeseburger yang mempunyai dua keping daging empuk, malah dihimpit pula dengan beberapa lapisan keju kuning yang sedikit cair apabila terkena kepingan daging panas tadi. Tidak ketinggalan, bau fries Mekdi dengan taburan garam secukup rasa di atasnya sebelum dikunyah dan melimpahkan rasa kentang goreng ke dalam mulut. Tanpa disedari, jin Mekdi yang diceritakan dalam cerita tersebut sedang berada di belakang telinga lelaki/perempuan itu. Membisikkan kata kata manis tentang harga makanan segera Mekdi yang sebenarnya tidak lah mahal mana jika mahu dibandingkan dengan sepinggan nasi kandar bersama sama segelas milo ais di restoran mamak 24 jam. Akhirnya, lelaki/perempuan itu tutup blog terus keluar mendapatkan bayangan bayangan makanan segera yang dilayangkan jin Mekdi itu tadi, sebiji Big Mac, French Fries dan aiskrim coklat sundae yang sejuk. 

Habis sahaja cerita aku itu, semua orang terdiam. Semua orang tengok perut. Brader yang bawa kereta ni terus belok masuk persimpangan Ipoh Utara. Makwe yang duduk seat depan tanya aku sambil tangan sibuk gores skrin telefon cari gps,

Mekdi paling dekat sekali dalam Ipoh ni dekat mana? 

Thursday

Beruang tedi Maisarah

Maisarah masih belum mampu melelapkan matanya, berbaring memandang syiling seolah olah telah berjaya menembusi atap rumah melihat bintang bintang yang bertaburan di langit. Sampai bila Maisarah harus menunggu? bisiknya perlahan. Tunggu siapa? tanya satu suara kecil. Maisarah bingkas memandang sekeliling, cuba mencari pemilik pertanyaan tadi. Di tepi katil, ada satu beruang tedi berwarna coklat dengan mata hitam bulat yang bersinar dibias cahaya lampu meja sedang berdiri, tersenyum memandang Maisarah. 

Oh beruang tedi, Maisarah ingatkan siapa tadi, kata Maisarah sambil tersenyum. Diambilnya beruang tedi itu dan diletakkan ke sebelah. Maisarah tunggu siapa? beruang tedi itu mengulang kembali soalannya tadi. Maisarah tengah tunggu orang yang Maisarah sayang, kata Maisarah sambil melepaskan satu keluhan perlahan, seolah olah sudah penat menunggu. Harap harap orang yang Maisarah tunggu itu berbaloi lah untuk ditunggu ya Maisarah, balas beruang tedi itu. Maisarah tidak menjawab, sekadar tersenyum mendoakan kata kata beruang tedi itu . Lama terdiam, masing masing menunggu jika ada di antara mereka yang mahu menyambung perbualan. 

Sampai bila harus menunggu? tanya beruang tedi. Maisarah melontarkan pandangan kosong sebelum mengangkat kedua dua bahunya ke atas. Maisarah, kata beruang tedi perlahan. Penantian itu sebenarnya adalah satu bentuk penyiksaan yang halimunan. Kita mungkin rasa bahagia menanti, apatah lagi apabila sekali sekala kita terlihat sinar harapan dalam penantian itu. Tapi apa yang kita tidak sedar adalah rasa bahagia itu cuma sementara dan selebihnya adalah derita. Akan sampai satu peringkat yang kita sepatutnya sudah terlalu penat untuk menunggu tapi seringkali, rasa lelah itu kita sendiri kaburkan dengan senyum tawa yang dibuat dibuat. Hakikatnya, sama macam beruang tedi, kita cuma sentiasa tersenyum untuk menceriakan hati orang orang sekeliling dan dalam masa yang sama cuba menipu hati kita sendiri. Konon kononya kita benar benar gembira. Sudah lah, tamatkan penantian itu segera, agar kita boleh lekas bahagia. 

Bagaimana? Setelah lama menunggu tiba tiba mahu lupakan macam tu saja? Tak semudah itu. Maisarah mulai sebak. Beruang tedi itu menggosok gosok tangan Maisarah, cuba menenangkan hati gadis itu. Maisarah, bukan lupakan, tapi selesaikan. Letakkan satu garis penghujung kepada penantian itu, berdiri atas garisan itu dan lihat samada yang ditunggu ada disitu atau tidak. Kalau tidak ada, teruskan kehidupan, mulakan perjalanan baru. Hidup ini terlalu singkat untuk kita habiskan dengan menanti sesuatu yang tidak pasti. 

Terus Maisarah peluk beruang tedi erat erat dengan air mata yang berlinangan, membawa mereka ke dalam satu kenangan di sebuah bilik merah jambu sepuluh tahun yang lepas, iaitu pada saat kali terakhir beruang tedi itu dipeluk Maisarah yang berusia 12 tahun yang sedang menangis teresak esak.

"Beruang tedi, Maisarah janji, cuti nanti Maisarah balik dari asrama Maisarah peluk beruang tedi lagi. Tunggu Maisarah tau!"