Wednesday

Boboi lapar dan mahu makan nugget tapi disumpah atuk jadi ayam.


Boboi bukannya suka makan nugget sangat pun. 

tapi waktu tengahari tu Boboi lapar sangat dan buka peti sejuk cuma ada belacan, sayur apa-nama-entah dengan beberapa kilo daging lembu keras beku. Pemandangan dalam peti sejuk buat Boboi rasa sebak, macam nak menangis. Terus berkaca mata Boboi sampai lah tiba tiba ada satu cahaya emas bersinar sinar daripada sudut tersembunyi dalam peti sejuk - nugget farm gold. Kedua dua mata Boboi bercahaya macam torchlight. 

Boboi goreng nugget nugget tersebut sambil tersengih seorang diri di dapur. Dia makan nugget nugget tersebut sampai keluar bunyi om nom nom nom sambil cicah sos kimball. Tiba tiba atuk melintas Boboi, tepuk bahu dan kata,

Jangan makan sangat nugget tu, nanti badan jadi serupa badan ayam.

Boboi terus rasa sebak, sekali lagi. Nugget di mulut jatuh dengan penuh dramatik ke dalam pinggan. Dengan air mata yang berlinangan, Boboi berlari lari anak masuk ke dalam bilik, kunci pintu dan duduk memeluk lutut di penjuru bilik. 

Boboi lapar, sebab tu Boboi makan nugget tu. Boboi tak nak jadi badan ayam. Rintih hati Boboi. Tengah tengah Boboi merintih sorang sorang di penjuru bilik, tiba tiba sekali lagi kedua dua belah matanya bercahaya macam torchlight.

Rupa rupanya Boboi, secara tak sengaja telah pasang niat dalam hati nak makan Malik Noor.

Makcik tua berkulit biru bermata sepet sebelah bundar sebelah dengan rambut kerinting berbentuk faux mohawk curi telur saya.

Pagi tadi, terbit saja matahari pagi saya ikut Atuk pergi meniaga dekat Pasar Tani Hari Hari di HB Road. Atuk saya ini meniaga bawang dan barang barang dapur seperti kentang, cili kering, ikan bilis pelbagai saiz, telur ayam dengan gred berbeza beza dan kadang-kadang atuk saya juga akan menjual bawang albino pada harga bawang bawang biasa. 

Sewaktu sedang asyik memerhatikan makwe makwe morning person yang menjadi pilihan hati, saya terpandang seorang makcik separuh umur menyelitkan sebiji telur ayam gred A yang berada atas papan jualan barang dagangan perniagaan Atuk saya ke dalam raga merahnya. Sebelum sempat mata saya berkelip makcik tersebut lenyap dimamah keramaian manusia yang lalu lalang. Disebabkan saya enggan dituduh sebagai seorang lelaki comel yang rasis, maka disini saya perincikan ciri ciri makcik tersebut sebagai wanita separuh usia yang berkulit biru, bermata sebelah sepet sebelah bundar dan berleher jinjang dengan rambut kerinting dibentuk ala faux mohawk. 

Sebagai seorang cucu yang menyayangi atuknya dengan sepenuh hati maka berlari lah saya mencari makcik tersebut melaung laung memanggilnya. Makcik pencuri telur, makcik.. telur saya.. Orang orang sekeliling pun merasa sayu mendengar laungan saya hinggalah seorang gadis penjual kuih menudingkan jarinya ke arah sebuah pokok ketapang berhampiran tapak pasar. Makcik tersebut sedang duduk mengelap peluh sambil tersengih sengih memegang telur saya. Saya tinggalkan gadis penjual kuih tersebut bersama sama sekeping nota yang tertulis nombor telefon dan nama fesbuk saya lalu terus meluru ke arah makcik tersebut. Dengan mata terjegil-jegil merah menyala, mana mungkin makcik tersebut mampu berdiri dengan sempurna membuka langkah seribu. 

 Makcik, jangan lari. Kata saya tenang. Saya duduk bersila di hadapannya, memerhatikan telur ayam yang sebiji di tangan. Makcik, jelaskan kepada saya mengapa makcik lakukan perkara yang terkutuk ini. Kata saya sekali lagi, masih dengan nada dan riak wajah yang tenang. Makcik tersebut menyusun ayatnya dengan sempurna, memberitahu saya sebuah cerita seorang hakim bernama Marzuki di Mahkamah Indonesia yang mengenakan denda kepada orang ramai yang sebenarnya satu derma kepada seorang perempuan tua yang mencuri ubi kayu disebabkan desakan kehidupannya yang miskin, anak lelakinya yang sakit serta cucunya sedang kelaparan. Tambah makcik itu lagi, begitu lah juga keadaannya. Izinkan dia memiliki telur yang sebiji ini. 

Mata saya berkaca, sebak hati mendengar kata katanya. Awan di langit kelihatan muram, angin pun bertiup sayu. Lalu saya pegang bahu makcik itu dan ambil kembali telur ayam tadi memasukkannya ke dalam poket seluar sendiri. Saya tunduk berbisik kepadanya, 

maaf makcik. Ini Malaysia, mahkamahnya tak serupa. 

Maka berpelukan lah kami berdua menangisi nasib bersama berpijak di tanah yang tidak sekata ini.

Boboi, bawa nasi lemak bilis telur dan nugget kegemaran si buah hati.

Berpeluh peluh Boboi berdiri tepi kantin sekolah. Di tangannya ada sebungkus nasi lemak bilis telur dengan secucuk nugget tiga ketul dalam plastik berasingan. Mata meliar mencari susuk tubuh pencuri hatinya, seorang gadis kecil berlesung pipit dengan rambut lurus berponi. Terngiang ngiang di telinga semalam saat, gadis kecil itu memperkenalkan diri dihadapan seluruh kelas. 

Berdebar debar juga la Boboi tunggu gadis kecil kesayangan keluar kelas. Membayangkan saat saat bahagia mereka bakal makan nasi lemak bilis telur dengan nugget bersama sekejap lagi. Mungkin juga nanti akan ada serpihan cili kecil melekat di bibir gadis kecil dan Boboi dengan tangkasnya akan mengalihkan serpihan cili tersebut dengan sapu tangan yang dicuri daripada poket belakang seluar slack ayahnya. Pasti gadis kecil suka, getus hati kecilnya. 

Sampai lah tiba tiba, gadis kecil melintas di hadapannya, dengan sebungkus nasi lemak bilis telur di tangan, dan nugget ayam Uncle Bob di tangan kiri, manakala tangan kanannya pula ada tangan kiri milik ketua kelas Boboi. Mata Boboi berkaca. Terus duduk tersandar pada tiang kantin, memejamkan mata membayangkan seluruh organ organ dalamannya luruh jatuh ke dalam kolam asid dalam rongga perut. 

Gadis kecil yang melihat kejadian jatuh duduk Boboi tergerak untuk menegurnya. Hai Boboi. Makan apa hari ni? Lalu Boboi, dengan mata terpejam terkenyit kenyit membalas, 

 makan hatiiiiiii.

Sunday

Gadis berkaca mata di Boco, petik gitar pakai hati.

Tadi, di Boco. Aku ada lihat seorang gadis berkaca mata sedang bermain gitar seorang diri di bangku belakang. Terus aku bangun, berdiri di hadapannya dan memintanya mengajarkan aku bermain gitar, cuma untuk sebuah lagu. Dia senyum.

Katanya main gitar ini bukannya seperti belajar matematik, hafal sifir lima terus boleh lulus peperiksaan darjah dua. Main gitar ini, katanya lagi, adalah seperti bermain dengan hati. Katakan lah tali gitar itu adalah hati, dan rangka gitar yang selebihnya adalah tubuh badan kita, maka setiap petikan adalah isi hati kita yang terluah jujur.

Aku senyum lagi, cuba mempamerkan wajah semanis mungkin lalu aku katakan padanya yang aku yakin aku cukup jujur. Melangkah dan berdiri dihadapannya menyampaikan hasrat yang tersirat ini adalah bukti aku ini jujur. Dengan berat hati, dia berikan gitar itu kepada aku, dan kata petiklah, petiklah, petiklah!

Aku petik sekali, tali gitar pertama putus, petikan kedua juga begitu. Sampai petikan ketiga aku berhenti, tali seterusnya putus sendiri tanpa disentuh. Kami berdua masing masing terkejut, kedua dua tangan gadis berkaca mata itu menutup mulutnya. Tenang, tenang sayang, tenang! kata aku.

Gadis itu mengalirkan air matanya, katanya "terpotong potonglah sudah hatiku ini. masakan ia bertenang atau terus terpotong-potong lagi"

Aku tunduk, turut mengalirkan air mata, lalu aku muntah keluarkan hati milik aku sendiri. Dan letakkannya di pada rangka gitar itu. Aku hulurkan kepada gadis berkaca mata,

 petiklah, petiklah, petiklah!