Wednesday

Bunohan: Anok Pok Mat ujong kampong mapuh keno tikam.


Petang itu angin bertiup sayu seiring dengan matahari senja yang berlalu. Berita pembunuhan seorang pemuda yang ditikam berkali kali dengan kejam sudah sampai ke telinga hampir setiap penduduk kampung. Semua kanak kanak dipanggil pulang ke rumah, pintu dan tingkap ditutup rapat malah ada yang sengaja memutuskan bekalan elektrik supaya lampu jalan tidak menyala untuk menyembunyikan kedudukan rumah rumah mereka malam nanti. 



Seorang lelaki tua berserban putih berkain pelikat dilihat sedang berjalan perlahan menuju ke sebuah bot tinggal berhampiran pantai. Sebelum memberikan salam, lelaki tua itu sempat melafazkan kalimah syahadah dalam hati, bimbang jika kedatangannya yang berjalan kaki itu berakhir dengan pulangnya dia dalam sebuah van putih bertulisan arab. Setelah salamnya dijawab dia melangkah masuk, melihat seorang lelaki kurus berbaju lusuh sedang berdiri menghadap laut. 


Mengambil nafas dalam dalam, lelaki tua berserban putih itu memberanikan diri bersuara "Mu ado bunying kaba anok Pok Mat ujong kapong tu keno bunuh Ilhe?"

Lelaki bernama Ilham itu tidak memberikan sebarang respon kecuali satu keluhan perlahan. Tepat lah telahan lelaki tua berserban putih itu mengenai siapa yang bertanggungjawab untuk pembunuhan di hujung kampung mereka. Sekali lagi dia mengumpulkan keberanian membuka mulut untuk bertanya,

"Ilhe, Tok Imey maghi ni nok tanyo, bakpo mu bunuh anok Pok Mat tu Ilhe?" Pertanyaan itu hanya dijawab oleh desiran ombak yang menghempas pantai. Selepas beberapa ketika, Ilham melepaskan pandangannya daripada laut, menuju ke arah meja buruk dengan sebuah laptop di atasnya sebelum memusingkan skrin laptop itu ke arah Tok Imam dan berkata,

"Bakpo Tok Imey tanyo? Ni, tengok ni. Ado ko patut dio atar rekueh suh ambo klik aplikeseng timeline remover hok ngarut te."

Tok Imam tersebut menggeleng gelengkan kepalanya. Serbannya dirungkaikan daripada kepala lalu menampakkan kewujudan sekotak rokok Surya di atas rambutnya. Dinyalakannya sebatang dan diletakkan ke bibir, satu hembusan penuh rasa kesal dimuntahkan bibirnya bersama kepulan asap putih. 

"Sungguh ko? Owoh, nate beghuk sungguh lo budok te" kata lelaki tua berkain pelikat dengan serban tersangkut di bahu itu. Dalam diam, Ilham sudah mencapai sebatang rokok Surya milik Tok Imam dengan niat untuk menyertai upacara pembakaran rasa kesal akan ketidakcerdikan arwah pemuda tersebut dalam berfesbuk.


Gadis yang menyayangi aku seperti dia menyayangi Padang Besar.

Aku sayang hang macam lagu jiwang. Hang? tanya aku. Sengaja ditanya soalan itu, mahu bikin suasana romantis. Dia diam buat beberapa lama, wajahnya tenang menghadapi angin laut Kuala Perlis. 

Erm. Aku sayang hang macam aku sayang Padang Besaq. Jauh, tapi aku rajin dok pi shopping tangtu. Balas gadis tersebut, lembut. Giliran aku terdiam, mengerutkan kening dengan dahi yang sedikit berpeluh.

Ke sebab badan aku besaq? aku tanya. Dia geleng kepala, angkat kedua dua bahu sambil menguntumkan sebuah senyuman kecil. Aku ikut tersenyum - biadap, tapi tetap comel. Aku suka hang. Suara aku sedikit tenggelam di tindih bunyi ombak.

Aku pun, suka hang. Dia balas, lalu terjun ke dalam laut Kuala Perlis dan mayatnya ditemui terdampar di muara Sungai Baru sebelum selamat dikebumikan di Tambun Tulang.

Senja tadi aku kembali pinggir pantai, duduk menikmati sotong goreng tepung dan kerang bakar dalam sebuah gerai terbuka di pinggir laut. Mengenangkan gadis itu, yang mengaku sayang tapi tinggalkan aku sorang sorang.