Wednesday

Sepotong pelangi untuk kau.


Sewaktu sedang enak makan burger keju di sebuah gerai kecil dalam renyai hujan semalam, aku terlihat sebaris lengkung pelangi di balik awan. Terus dalam fikiran aku, momen cantik ini aku mesti kongsikan dengan kau.

Aku bangun tinggalkan burger keju di atas meja. Kau tahu kan betapa sukanya aku dengan burger keju, tapi tetap aku biarkannya di situ demi berkongsi pelangi dengan kau, 'burger keju' hati aku. Lalu aku capai tangga dan panjat, potong sebaris lengkung pelangi itu sebelum aku masukkannya ke dalam poket.

Aku turun sahaja di bawah sudah ada beberapa pasangan bercinta merungut marah. Kembalikan pelangi kami! Kata mereka sambil menyumpah seranah aku dengan tangan sedang menggenggam kemas sepotong pelangi dalam poket kiri. Aku tidak mempedulikan mereka, berjalan laju dan melanggar bahu bahu orang orang itu. Tak bolehkah mereka bersabar dan tunggu hujan turun semula lalu minta matahari pinjamkan sedikit cahayanya untuk hasilkan sebaris pelangi baru?

Aku capai telefon bimbit di poket kanan dan hantar satu pesanan ringkas buat kau yang berada di hujung sana, daripada aku di hujung sini,

"jumpa di KL Sentral"

Dengan sepotong pelangi dalam poket kiri, aku bergerak ke sana bersama sekeping wajah berseri seri. Kau pasti akan sukakannya, bisik hati aku. Dan kita pun berjumpa, kau dan aku bertukar senyuman dan sepotong pelangi dalam poket kiri pun bertukar tangan. Kita berpisah, aku dengan rasa bahagia aku, dan kau dengan entah-apa-yang-kau- rasa.

Kemudian kau hilang. Kelam bersama sama dengan sepotong pelangi yang asalnya daripada langit atas sebuah gerai kecil dalam renyai hujan yang kemudiannya aku ambil masukkan dalam poket kiri untuk kau pasangkan dalam hati. Sampai lah pagi ini tiba tiba kau hantarkan satu pesanan ringkas mengenai  kekurangan diri aku di mata kau. Dan ianya cuma berlaku selepas aku potongkan sebaris lengkung pelangi untuk kau, burger keju hati aku.

Petang ini sekali lagi aku duduk di gerai kecil memesan burger keju kesukaan aku, mengenangkan kau sambil merenung langit mendung yang rompong.