Thursday

Secangkir kopi memori yang telah sejuk.


Dia pernah menangis di bahu aku dan aku sentiasa ada di situ untuknya. Kami sering melengkapkan ayat satu sama lain, berkongsi masalah, berbual mengenai perihal universiti, ketawa bersama membaca lawak bodoh dalam ruang borak facebook dan berkongsi minuman kegemaran kami, kopi.

Sampailah pada suatu pagi aku terjaga seperti biasa, dalam sebuah bilik bujang kosong dengan kipas siling berkelajuan sederhana, sisa sisa kuaci yang bertaburan di tepi tilam dan segelas kopi semalam yang telah sejuk. Manakala dia bangun dalam sebuah apartmen atas bar di negeri asing, dipeluk erat comforter putih tebal dan bersama samanya juga adalah segelas kopi semalam yang telah sejuk. Aku minum kopi tersebut, tapi dia, menuangkan kopinya ke dalam sinki.

Bingkai gambar kecil kami berdua di tepi tilam aku renung lama, lantas menarik aku ke dalam sebuah cebisan memori mengimbas saat kami berkongsi secangkir kopi panas di cafe universiti. Aku bertanya padanya, apakah kopi ini masih layak diminum jika ianya telah sejuk? Kau ketawa, menampakkan baris gigi putih dan sepasang lesung pipit yang memasung pandangan mata. Kata kau, kopi ini kan pernah hangat dan memberi nikmat pada kita, dengan aroma yang menusuk hidung dan rasa panas yang mengusap lidah, tidakkah meninggalkannya terus atas alasan ianya telah sejuk adalah pembaziran yang tidak wajar? Saat itu aku hanya mengangguk gembira sambil memerhatikan senyumannya.

Sekarang, bersama kopi sejuk ini aku hanya mampu berdoa satu hari nanti Tuhan akan temukannya dengan Khalil Gibran, yang akan mengingatkannya untuk memeriksa buku kenangannya kelmarin dan dia akan tahu bahawa dia masih berhutang kepada manusia dan kehidupan. 

Siri bercakap dengan maggi.


Tadi sempat berbual bual dengan maggi panas dalam mangkuk. Aku tanya dia, kenapa hidup aku mesti serabut dengan segala macam masalah. Maggi tersebut hanya tersenyum simpul. Aku tanya lagi kenapa hidup aku dipenuhi tekanan daripada segenap arah, sampai kadang kadang nak bernafas pun payah. Sekali lagi maggi hanya tersenyum simpul.


Aku angkat garpu tinggi dan lekas lekas dia membalas, kehidupan ini sebenarnya macam semangkuk aku juga. Serabut dengan kerinting kerinting kecil macam aku. Tapi kerinting itu lah yang akan kenyangkan kau nanti, keserabutan itu lah yang akan selamatkan kau daripada serabut serabut yang lebih besar di masa depan. Keserabutan beri kau pengalaman, satu pertahanan dalam semua ujian ujian Tuhan.


Sambung maggi lagi, tekanan itu pun macam semangkuk aku, panas. Tapi tekanan adalah benda yang kau mesti lalui dalam hidup, macam panas aku. Tak panas macam mana aku nak masak? Tekanan ini lah yang akan matangkan kau, yang akan jadikan kau seorang dewasa bila kau dah boleh fikir secara rasional tentang semua perkara yang berlaku di sekeliling kau.


Kau tengok aku, serabut dan panas. Tapi kau nak makan juga sampai habis walau perit panas walau susah serabut sebab kau sendiri tahu di penghujungnya nanti kawan, ada nikmat!