Friday

sedutan cerpen Cinta Ini, Kadang Kadang Tak Ada Logika untuk Agnes.


"Nantilah jumpa, sibuk sikit ni"

SMS itu aku baca dengan satu senyuman kecil. Aku yang bodoh, sebab yakin sangat yang kau - macam aku, juga akan teruja bila dapat peluang untuk berjumpa. Macam malam ini, aku dah sampai depan kediaman kau, dan cuba buat kejutan mesej tanya nak jumpa ke tak dan bila kau balas 'nak!' aku rancang mahu segera cakap 'dah ada dekat depan ni dah pun!'. Kau akan ketawa dan kita boleh makan aiskrim bersama. Tapi betul lah, tadbir mana boleh lawan takdir.

Dan laki laki tolol seperti aku, dalam banyak banyak benda nak beli untuk ceriakan malam kau, aku pilih aiskrim yang akhirnya cuma terbazir mencair dalam raga motor. Selepas ini aku mungkin patut pilih teddy bear coklat atau coklat Cadburry dengan bungkusan kalis air.

Ya, kalis air, sebab malam tadi hujan. Aku redah hujan rintik rintik itu dengan alasan cuma satu, rindu. Rindu senyuman kau yang selalu buat aku khayal dan rasa macam lelaki paling bahagia dalam dunia. Balik tadi, hujan lebat. Aku basah atas motor, redah lebuhraya dengan tubuh yang menggigil sejuk dan hati yang membeku dingin.

Tadi dengan mata yang terpejam pejam hadap lebat rahmat Tuhan itu, aku cuma fikirkan kau. Kenapa kita tak punya keterujaan yang sama? Kemudian lekas lekas aku padam persoalan itu selepas aku sedar aku masih lagi seorang laki laki yang beruntung kerana sekurang kurangnya kau masih mengaku sayangkan aku. Dan untuk itu aku tak patut persoalkan hati kau yang ada pada aku, dan yakin dengan hati aku yang ada pada kau. 

Hujan yang jahat sayang, hujan jahat.


Bukan paling cantik dalam dunia, tapi cantik.


Seorang kawan perempuan pernah duduk di sebelah saya dan mengadu betapa dia tidak gembira dengan dirinya sekarang. Saya yang sedang makan aiskrim tiba tiba berasa simpati lalu cepat cepat saya makan aiskrim tersebut sampai habis supaya dia tidak berasa teringin. 

Katanya, kali terakhir dia berasa gembira adalah ketika dia kecil molek lagi, menyelinap masuk ke dalam bilik tidur ibunya, memakai segala jenis gincu, bedak muka dan maskara lalu memperagakannya di depan meja solek. Ketika itu, dia adalah perempuan paling cantik dalam dunia. Sekarang, walau di hadapan meja solek, dengan gincu, bedak muka dan maskara yang sama perasaan perempuan paling cantik dalam dunia itu tidak pernah hadir lagi. 


Saya memandang wajah muramnya, memberi sedikit senyuman agar dia tidak hanyut dalam rasa sedihnya. Jujurnya, saya tidak tahu apa yang saya harus katakan, tapi berdiam diri bukan lah satu pilihan. Lalu saya keluarkan sekeping syiling dua puluh sen dari dalam poket. Lihat syiling ini, awak tahu ketika pertama kali ia dikeluarkan, warnanya perak terang dan berkilau. Tapi sekarang, setelah beberapa tahun syiling ini jadi kusam. Pernah awak dengar orang mengadu syilingnya kusam? Tidak berkilau? Tak, kerana yang penting bukan permukaan, tapi nilainya. Begitu lah juga awak dan semua orang. Tak penting samada kita cantik atau tidak, tapi yang penting nilai kita pada orang orang sekeliling. Misalnya nilai awak pada saya, adalah sebagai seorang kawan. Cantik atau cacat, tetap nilai sebagai seorang kawan itu tidak berubah. 


Dia memandang wajah saya, dan saya memandang wajah dia. Dengan mata yang berair dia mengangguk angguk, katanya saya betul kerana walaupun saya tak kacak, dia masih rasa nak berkawan dan mengadu dekat saya. 


Saya senyum, dan beberapa saat selepas itu kawan perempuan saya mati tersedak syiling dua puluh sen. Arwah selamat dikebumikan di Kuala Kangsar.

Thursday

Email daripada seorang peniaga mimpi mimpi indah yang diikat kemas dalam belon belon kuning diisi helium untuk jiwa jiwa sepi di sebuah funfair di pinggir bandar.


Tolong jangan abaikan email ini, setidaknya baca lah dahulu sampai selesai. Aku tidak meminta sesuatu yang berat sampai mendatangkan mudarat. Baca lah.

Pernah suatu masa dahulu pekerjaan aku adalah sebagai seorang peniaga mimpi mimpi indah yang diikat kemas dalam belon belon kuning diisi helium untuk jiwa jiwa sepi di sebuah funfair di pinggir bandar. 

Setiap hati sunyi yang lalu akan ku tegur dengan senyuman mesra dan bertanya, hai, mahu beli mimpi indah? Kebanyakan mereka berlalu pergi tanpa sebarang reaksi atau ketawa kecil melihat aku dengan tubuh gempal memegang tali tali yang mengikat belon belon kuning. Tapi bagi yang berhenti, akan aku ikatkan tali belon kuning di pergelangan tangannya dan mengucapkan terima kasih. Mereka akan bertanya bayarannya berapa dan aku akan menjawab, tiada cuma cuma anda harus percaya.


Bagi yang memilikinya pasti akan kembali dengan wajah ceria diiringi dengan seketul hati yang melompat kegirangan. Kata mereka, malam tadi adalah malam paling indah! Aku tersenyum, tumpang bahagia. Mereka gembira, aku turut serta merasainya.


Sampai lah pada hari ini, aku kehabisan belon belon kuning. Yang tinggal cumalah belon kelabu dan hitam dalam stor. Tapi belon belon itu tidak aku jual, ianya milik aku yang selama ini aku sorokkan di belakang rumah. Keresahan yang selama ini dibawah kaki mula memeluk hati yang cungap. 


Jadi aku ingin meminta belas kalian yang pernah aku berikan ataupun ada memiliki mimpi mimpi indah yang diikat kemas dalam belon belon kuning diisi helium untuk jiwa jiwa sepi di sebuah funfair di pinggir bandar, pinjamkan lah cebisan keindahan itu pada aku, sekurang kurangnya sampai aku menemui belon belon kuning yang baru?

Tuesday

Kawan tapi stranger.


Aku sebenarnya gemar berbual dengan orang yang tidak dikenali di hentian bas, dalam LRT atau di laman sosial seperti twitter atau facebook. 


Sampai lah pada suatu hari ada seorang perempuan berambut panjang dengan t-shirt biru dengan seluar jeans duduk di sebelah menegur aku dalam LRT. Dia tanya mahu ke mana? Aku memberi jawapan beserta senyuman, Shah Alam, jumpa kawan. Untuk tidak mematikan perbualan aku bertanya, selalu ke sembang dengan stranger dalam komuter? Dia ketawa, hei mungkin sebenarnya kita sebelum ini pernah berkawan, siapa tahu? Aku ikut ketawa, tanpa sebab yang jelas. Kalau sudah berkawan bagaimana boleh jadi stranger? tanya aku. 



Dia membalas, jadi kawan tidak ada waranti, tidak ada jaminan selamanya kawan. Mungkin hari ini kita berkawan, tapi di lain hari kita jadi asing seolah olah tidak pernah saling mengenali. Lain lah kalau jadi sahabat. Walaupun secara literalnya maksudnya sama, tapi kita jarang jarang memakai terma sahabat sebagai gelaran kepada kawan kawan atau teman. Mungkin juga sebab janggal, tapi bagi saya gelaran itu istimewa. 



Aku ikut mengangguk, gembira. LRT sudah hampir sampai ke KL Sentral, dan aku perlu turun untuk menaiki komuter ke Shah Alam. Aku berdiri dan bergerak ke pintu sebelum berpaling, hei, saya tarik balik jawapan tadi. Saya ke Shah Alam jumpa sahabat, bukan kawan. Dia cuma tersenyum dan membalas, harap mereka pun anggap awak sahabat, bukan kawan!



Pintu terbuka dan aku melangkah keluar sebelum tiba tiba terhenti dan menung sendiri di bawah kipas statik memikirkan kata kata terakhir gadis tadi. Sampai sekarang aku fikir lagi.