Tuesday

Pak Menteri, tolong jangan baca cerita ini!


Tadi petang saya bawa segerombolan menteri melawat masyarakat jagaannya. Ini kerana para menteri telah terlupa atau mungkin juga tidak pernah tahu jalan jalan menuju ke rumah rumah kecil, kedai runcit beratap nipah, warung warung daif serta reban keluarga keluarga fakir.

Pertama sekali saya bawa mereka ke satu kawasan semak dan kebetulan ada sebuah keluarga keluar dari celah semak, melintas jalan dan masuk ke dalam semak seberang. Seorang pak menteri yang melihat kejadian itu terperanjat besar sampai terloncat loncat ke belakang. Soalnya apa mereka buat dalam semak?

Saya tersenyum kecil dan berkata, semak itu adalah kediaman mereka. Malah hampir semua semak yang tuan dapat lihat dalam kawasan pentadbiran tuan ini didiami oleh keluarga keluarga seperti itu. Ini adalah kerana tuan sendiri yang menempatkan mereka di sana dengan menaikkan harga hampir semua benda dalam negara. Lalu tinggal cuma satu benda yang murah, malah percuma untuk dimiliki.

Apa? Tanya pak menteri tadi.

Kemiskinan, jawab saya.

Kami menyambung perjalanan, kali ini melintasi sekumpulan kanak kanak yang duduk dalam kelas memandang papan hitam, kosong. Kumpulan menteri tadi melambai, tapi tak ada seorang pun yang membalas. Kumpulan menteri tadi menjerit kecil hai anak anak! Tapi tak seorang pun menyahut. Sampai seorang menteri hilang sabar, meluru ke arah ketua kelas, merenggut kolar bajunya dan bertanya, kenapa enggan respon?

Ketua kelas jawab - tidak ada dalam silibus.

Melangkah ke depan, kami tiba ke destinasi yang terakhir kerana para menteri sudah mengadu penat walaupun hanya melawat tiga tempat dan tidak berbuat apa apa kecuali bersalam, senyum dan mengangguk angguk. 

Kita buat apa disini? Tanya seorang pak menteri bila kami sampai di sebuah klinik desa. Mungkin tak kenal bangunan apa atau mungkin juga tak pasti sama ada itu bangunan atau tidak kerana dindingnya kayu. Mungkin juga kerana seumur hidup terbiasa hanya ke hospital swasta. 

Saya jelaskan pada mereka, kita akan berhenti di sini dan para menteri akan berjumpa ibu masing masing. Ibu ibu menteri pun sampai dan beratur dalam satu garisan lurus dan mengangkangkan kaki luas luas.

Para menteri semua terloncat ke belakang serentak. Tanya mereka apa semua ini?

Saya bilang - para menteri terhomat. Jemput masuk kembali dan jangan keluar keluar!



Saturday

Lipas, ya know? Dalam bahasa Sepanyol 'cucaracha' - maksudnya serangga gila.

Lipas seperti I seringkali dianggap tidak berperasaan. Sebab semua mahkluk dalam dunia dah dimomokkan dengan info seperti kami boleh survive letupan nuklear atau boleh hidup beberapa minggu dengan kepala yang dipenggal dan yang terbaru, boleh hidup tanpa makwe.

Tak, lipas kena ada makwe. Atau sekurang kurangnya seorang friend for benefits yang berlainan jantina. Kami pun ada hati dan ingin hidup bahagia macam pengguna instagram, makan sana sini, upload gambar kaki dengan hujung jarinya berpantai atau cadar katil one night stand. Tak ada lipas yang mahu hidup dalam kesedihan, merintih dalam satu agoni tanpa sempadan atau jadi nerda yang hadap formula formula matematik (a + b)2 = a2 + 2ab + b2; a2 + b2 = (a + b)2 − 2ab, tinggal dalam library dan tonton porno kartun. 

Btw i sebenarnya nak cerita pasal belakang badan i yang kalau ini sebenarnya satu vlog, pasti you-ols dah boleh nampak ada satu pencungkil gigi ni tercacak dekat belakang i dari semalam dan you-als juga terpaksa jawab salam assalammualaikum i sebab i ugut kalau tak jawab dosa, kalau jawab syurga. 

Pencungkil gigi ni semalam ada sekumpulan kelkaltu ni bawa sambil terbang sama sama dan lepaskan betul betul atas belakang badan i macam peluru berpandu. Mujur tak kena organ organ penting dalam tubuh, tapi terguris sikit hati kecil i. Dalam banyak banyak luka kalau you-ols nak tahu, luka di hati la paling susah nak sembuh. Because ada sorang so called doktor poliklinik ni cerita dekat i, dia ada baca satu puisi yang ada sorang so called doktor graduan Mesir tulis,

tiada
apa pun
siapa pun
pengamal perubatan
moden atau tradisional
mampu merawat
patah hati

kecuali satu;
masa yang panjang.

Oh my god, dia kata. Puisi dari seorang doktor of course la semua orang take note dan jadikan falsafah hidup. Sebab well, doktor, ya know. Kalau puisi orang gila pakai seluar pendek warna warni rambut serabut siapa yang nak peduli? Well, i said - orang orang gila juga lah? Dia ketawa. 

Balik kepada cerita kelkatu tadi, sebenarnya adalah dalam dua tiga tahun lepas, kami ada buat satu perjanjian tak bertulis that we will never tikam each other back. But somehow atas alasan alasan yang i tak perlu tahu katanya - there, pencungkil gigi on my back. 

So now the problem is, i macam dah tertanam satu perasaan sayang pada semua jenis serangga dalam rumah ni, kelkatu, kunang kunang (dia buat rumah ni macam hotel la sial), lalat, nyamuk dan macam macam jenis seranggalah lagi lah (sorry to siapa siapa yang i tak mention, not enough time coz ada sorang mamat depan i ni dah kibas kibas cue card yang kita dah overrun). I can't do anything, nak revenge pun macam tak patut. 

Ditikam serangga tersayang ni lagi sakit ditikam random people yang kita tak berapa kenal you know? Sebab dorangga adalah serangga terakhir yang kita expect akan cederakan hati kita. Kan...

So i nak mandi ni, sapu dettol belakang badan. Sebab ada dua luka ni, satu luka tak nampak ditikam. Satu lagi luka i jatuh motor balik masjid tadi. Sakit gila, jatuh jatuh lepas tu orang lain yang baru balik semua berhenti, tanya okay ke tak. Well, i baru jatuh motor, ada luka sikit, lutut sengal sengal, yeah i rasa okay je. Dis people is buta kayu.

Bye gais, watch your back.





Monday

Muzakarah Anjing.


Ketika sedang kecoh isu memegang dan memelihara beberapa hari yang lalu, saya dan beberapa orang sahabat telah mengambil inisiatif untuk membuat satu muzakarah bagi membincangkan permasalahan anjing dalam Islam. Saya terlebih dahulu ingin meminta maaf atas kenaifan saya yang telah menamakan diskusi ini sebagai Muzakarah Anjing. Kelemahan saya dalam memilih nama yang sesuai dan tidak sensitif telah pun ditegur oleh beberapa orang teman selepas tamat konferensi ini.

Saya mendapat ilham untuk mengadakan konferensi ini setelah terbaca artikel dalam portal berita mengenai satu mukazarah pada Januari 1937 di Kelantan apabila beberapa orang ahli keluarga Diraja Kelantan berbeza pendapat mengenai anjing yang dipelihara. Bantahan dikatakan berlaku apabila ada pendapat yang mengatakan air liur anjing itu adalah najis dan mencemarkan dalam Islam. Rentetan dari perbalahan itu, satu muzakarah telah dibuat di Istana Sri Cemerlang dan dihadiri oleh ribuan marhaen.

Dikatakan panel yang cenderung pada pendapat anjing boleh dibela terdiri dari tokoh Kaum Muda iaitu bekas mufti Wan Musa Wan Abdul Samad, Haji Abbas bin Muhammad Taha, seorang kadi dari Singapura dan Burhanuddin Muhammad Noor. Burhanuddin Muhammad Noor selepas itu dikenali sebagai Dr. Burhanuddin al-Helmy, seorang nasionalis, pemikir Islam dan pernah memegang jawatan presiden Parti Islam Se-malaysia dari tahun 1956 hingga 1969. Manakala pihak yang satu lagi dikatakan diwakili oleh tokoh Kaum Tua, iaitu mufti Kelantan Haji Ibrahim bin Haji Yusof, ketua kadi Haji Ahmad bin Ismail dan peneraju pemikiran Islam dan ahli Majlis Agama Islam Kelantan  Haji Abdul Manan dan Haji Abdullah Tahir. Kedua dua pihak telah memberi pendapat dan pandangan berdasarkan pelbagai sumber termasuklah dalil Al-Quran, Hadis, kitab ulama terdahulu, tradisi serta kajian undang undang Islam.

Namun setelah muzakarah tersebut tamat, Sultan tidak mengumumkan mana mana pihak sebagai pemenang tetapi membiarkan rakyat Kelantan sendiri membuat konklusi sendiri setelah mendengar perbahasan tersebut. Permasalahan itu kemudiannya di hantar ke Majlis Fatwa al-Azhar di Kaherah yang selepas itu mengeluarkan fatwa yang membenarkan anjing dibela. Ketika itu, perbezaan pendapat diraikan manakala rakyat marhaen pula diberi kebebasan untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri tanpa dikekang oleh pemerintah.

Maka, setelah berpakat untuk mengadakan Muzakarah Anjing, kami telah menjemput ilmuan ilmuan Islam, ustaz ustaz selebriti TV dan Youtube, imam imam, guru agama, penyelamat kucing dan anjing jalanan, doktor haiwan, serta beberapa orang pemikir India dan Cina yang sering menulis artikel di portal berita. Mereka dijemput untuk memberi satu sudut pandangan orang bukan melayu Islam dalam muzakarah ini. Apa yang menyedihkan, cuma segelintir yang hadir.

Saya telah mempengerusikan muzakarah ini dan memulakannya dengan menjelaskan sebab sebab muzakarah ini dibuat dan asas topik yang akan dibincangkan. Ucapan saya seterusnya: "Kami telah melakukan muzakarah ini untuk mendengar pendapat semua pihak mengenai isu anjing yang sedang menjadi buah mulut rakyat ketika ini, seterusnya mencapai satu persetujuan bersama yang akan dijadikan konklusi permasalahan ini. Saya harap tuan tuan dan puan puan sedia maklum yang berdebat bukan lah untuk mencari siapa betul atau siapa salah, tapi adalah untuk mencari satu persetujuan kedua dua belah pihak tentang masalah yang dibahaskan. Anda yang dijemput masing masing mempunyai latar belakang dan kepakaran yang tersendiri berkaitan isu ini. Maka saya berharap yang ilmu di dada kalian boleh dicurahkan di atas meja muzakarah ini untuk kita sama sama teliti dan kita bantu mendapatkan kefahaman yang lebih jelas untuk masyarakat. Jadi mengenai isu memegang anjing...."

Sebelum sempat saya habiskan ucapan, salah seorang peserta bangun dari kerusi. Dan tanpa meminta izin untuk berucap dia menempik "Anjing haram! Semua orang tahu berdosa pegang anjing! Tuan pengerusi pun tahu haram! Buat apa nak dibahas boleh pegang atau tidak. Umum tahu haram! Haram! Maaf tuan pengerusi, tapi ini muzakarah yang sia-sia". Bergegar sedikit meja mesyuarat ditepuk tepuknya. Seingat saya beliau adalah ahli jawatankuasa kampung sebelah.

Sebelum saya sempat berkata apa apa, seorang lagi peserta bangun dan menyampuk. Beliau adalah seorang ustaz muda yang menjadi perintis imam di masjid berhampiran rumah saya. Katanya "Saya minta maaf pakcik, tetapi memegang anjing tidak haram, malah tidak berdosa. Yang haram adalah memakan anjing..."

Seorang lagi peserta bangun, kali ini seorang lelaki muda yang memakai baju biru "Makan ke pegang, haram juga. Kita melayu daripada dulu dah dididik pasal anjing dan babi ni haram. Buat apa nak bela anjing, bela la kucing, haiwan kesayangan Nabi. Nabi tak bela anjing tuan tuan dan puan puan sekalian!"

Seperti yang saya jangka, teman saya dari kumpulan yang menyelamatkan kucing dan anjing terbiar bingkas bangun dan bersuara dengan tenang "Tapi Nabi suruh layan haiwan dengan baik. Tak kira haiwan apa sekalipun. Al Quran sendiri tidak pernah mencerca atau menghina anjing. Malah kalau saudara baca, anjing anjing telah diceritakan secara positif dalam Al-Quran"

Kawan India saya bingkas bangun "Betul, anjing adalah haiwan yang cerdik dan setia. Siapa disini pernah tengok cerita Hachiko. Ya Tuhan, setianya anjing itu sampai kekal menunggu tuannya yang telah pun meninggal dunia. Lagipun, anjing mana makan worang!"

Ustaz muda tadi kembali menyambung "Benar, anjing atau haiwan apa sekalipun bukannya untuk kita cerca atau hina. Kena layan baik baik. Sedangkan nak menyembelih ternakan sekalipun ada adab dan dilarang untuk kita menyeksanya. Tuan pengerusi, saya cadangkan muzakarah kita hari ini membuat keputusan jelas yang memegang anjing tidak berdosa, malah tidak menyalahi hukum Islam. Malah budak sekolah sekalipun tahu yang jika memegang anjing, apa yang perlu mereka lakukan cuma sertu, bukannya taubat nasuha kerana pegang anjing sama sekali tidak berdosa. Selain dari membela sebagai hobi, adalah diharuskan untuk kita orang Islam membela anjing untuk tujuan berburu, menjaga rumah, menjaga tanaman, harta benda dan sebagainya. Malah binatang buruan yang digigit anjing pun halal untuk dimakan. Tapi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempelajari adab adab dalam melakukan semua perlakuan tadi. Saya yakin, menyelamatkan anjing jalanan yang tercedera dan mencari rumah yang baik untuknya juga adalah perlakuan yang mulia"

"Kau apa tahu, kau muda lagi. Kalau tak cukup makan garam jangan nak memandai hal agama. Ini negara islam, orang patut tahu sensitiviti umat Islam. Tak kira halal atau tidak, tradisinya anjing memang perkara yang tabu. Tuan pengerusi, batalkan saja muzakarah ini" sampuk AJK kampung.

"Maafkan saya, tapi saya ingin mencelah. Mengikut kajian saya, pada tahun 80-an dan sebelumnya terdapat ramai orang melayu yang membela anjing untuk menjaga kebun dan ladang di kampung kampung. Jadi tradisi sensitif anjing tidak benar. Mungkin kerana kini kita dah tak punya banyak kebun, nak beli sayur dan buah buahan pun di pasaraya sahaja, kita jadi tidak kenal akan fungsi anjing dalam kehidupan masyarakat melayu" tiba tiba seorang pensyarah yang dari tadi senyap mencelah.

"Saya bersetuju dengan saudara. Tapi umum sedia maklum yang masyarakat melayu Islam di Malaysia masih belum bersedia untuk menerima pandangan baru yang memecahkan mentaliti anjing itu kotor selama ini. Jadi rasanya tidak perlu la kita untuk membuat huru hara dengan mengeluarkan pendapat yang boleh mengakibatkan perbalahan" kali ini giliran seorang guru menyampaikan pendapatnya.

Saya mahu membuka mulut tetapi kemudian, saya tidak pasti siapa yang memulakan tapi masing masing mahu bercakap dan menyampaikan hujah sendiri. Ruang muzakarah jadi bingit. Tiba tiba wanita cina pemilik kedai haiwan peliharaan yang saya jemput menjerit - dua ekor anjing chihuahua miliknya melompat keluar dari beg. Suasana bertambah kecoh, ada yang mengejar anjing tersebut, ada yang melarikan diri dari digigit anjing dan ada yang masih terus menerus berbalah.

Kemudian saya ditarik oleh dua orang lelaki beruniform biru gelap tanpa sebarang amaran. Saya bergelut dan mempersoalkan tindakan mereka. Ketika dilokap tiada siapa memberi penjelasan mengapa saya ditahan. Saya juga tidak pasti samada ada rakan rakan yang bersolidariti dengan menyalakan lilin di luar lokap. Setelah beberapa jam, barulah saya tahu yang saya telah ditahan atas tuduhan menghina islam dengan menggabungkan perkataan arab dengan binatang yang kotor dalam nama diskusi saya, Muzakarah Anjing!

Sunday

Maisarah Puasa Ni! #2


Pagi tadi Maisarah nekad mahu bangun bangun sahur demi melengkapkan azam puasa penuhnya tahun ini. Habis handphone ayah, ibu dan jam loceng dia letak tepi katil dengan harapan akan terjaga untuk bersahur nanti. Ibu hanya geleng geleng kepala bila pagi tadi waktu nak sahur ibu jumpa hanphone ibu dengan ayah dekat luar bilik. Masuk bilik, ibu kejut Maisarah bangun sahur. Punya la susah nak pujuk Maisarah bangun sahur, akhirnya dia bangun juga. Itu pun lepas ibu cakap ada masak nugget keju. Bila tanya Maisarah kenapa handphone ada luar bilik, Maisarah jawab handphone tu bising kacau Maisarah tidur. Maisarah letak dekat luar, sambung tidur.

Di meja makan, Maisarah suap nasi dengan mata sepet. Dalam mengantuknya itu, sempat juga dia pesan pada ibu - esok kita sahur KFC ya bu. Amran dekat sekolah hari hari cerita sahur KFC.

Habis saja makan, Maisarah terus bergerak masuk masuk bilik. Lekas lekas ibunya melarang, jangan tidur lepas makan, nanti perut buncit. Terus Maisarah teringat Amran, mesti hari hari lepas sahur KFC dia terus tidur. Hihi. Maisarah ketawa kecil dalam hati. Ketawa dalam hati tak dosa.

"Takpe bu, Maisarah tahu la macam mana nak tidur tak buncit" laung Maisarah dari dalam bilik. Lepas selesai kemas dapur dan basuh pinggan, ibu masuk jenguk Maisarah dalam bilik dan urut dada. Ya Tuhan, pandainya la anak ibu ni.

Maisarah, tidur meniarap letak bantal bawah perut.

Saturday

Maisarah Puasa Ni! - #1

Tahun ini, Maisarah dah pasang azam nak puasa penuh. Tahun lepas Maisarah puasa tak penuh sangat, banyak kali juga la dia pergi dapur minum air dan kantoi dengan ibu. Ada sekali tu dia pakai strategi buat buat lupa, tapi lepas itu ibu jumpa roti gardenia dengan nutella dalam bilik. Hihi

Hari ini hari pertama Maisarah puasa penuh. Kawan kawan dekat sekolah semua mengaku dah puasa penuh. Amran si Ketua Darjah yang gemuk tu pun mengaku puasa penuh sejak umur tiga tahun. Maisarah tak berapa percaya sangat, kalau betul puasa sejak tiga tahun, kenapa badan montel macam anak gajah. Hehe, Maisarah ketawa dalam hati. Ketawa dalam hati tak dosa.

Siang tadi, waktu dekat sekolah, masing masing cerita sahur pagi tadi makan apa. Semua mengaku bangun sahur, sampai Rajesh pun tak nak ketinggalan mengaku bangun sahur.

"Hangpa mangkit soq tak pagi tadi?" tanya Amran. Semua orang kerut dahi, ada yang tengok muka Amran dalam dalam, macam dia alien gemuk yang terjatuh dari bawah cahaya lampu spotlight macam Mr Bean. 

"Soq tu apa?" Mimi tanya. Amran jawab, sahur. Semua orang pun tanpa sebarang signal atau kiu kad terus muncung mulut dan cakap ooooo ramai ramai. "Cakap la sahur..." kata Mimi sambil tersengih menampakkan gigi rongak.

"Sahur tadi aku makan KFC" kata Amran. Sekali lagi semua disitu tanpa sebarang signal atau kiu kad terus muncung mulut dan cakap oooooooo. "Seronok la makan KFC. Kita pagi tadi sahur mee goreng dengan telur je mama masakkan" Mimi sekali lagi tersengih.

"Kau sahur tak Rajesh?" tanya Amran. Lekas lekas Rajest mengangguk, "Aku sahur makan capati. Sedap wooo".

"Kau Maisarah?" Amran tanya lagi. Dia cuba pastikan tak ada siapa siapa berjaya sahur KFC atau hidangan yang lagi sedap daripadanya. Maisarah garu kepala, macam mana dia boleh lupa sahur apa benda. Nak tipu jawab sahur KFC juga, nanti orang kata tiru Amran pula.

"Kita jawab esok boleh tak Amran?" tanya Maisarah. Amran mendengus, "Kenapa esok? Jawab je la hari ini".

"Tak tahu nama makanan tu apa, sedap sangat ibu kita masak. Lagi sedap dari KFC" kata Maisarah sambil angkat ibu jari ke atas. Semua orang tanpa sebarang signal dan kiu kad terus muncung mulut dan cakap ooooo. Amran je tak cakap sebab dia cemburu.

Tengahari itu dalam kereta waktu pulang dari sekolah Maisarah tanya ibu, "Ibu, pagi tadi kita sahur apa? Kenapa Maisarah tak ingat?". Ibunya ketawa kecil. "Memang la Maisarah tak ingat. Bangun sahur pun tak, nak ingat apa" jawab ibunya.

Tanpa sebarang signal, kiu kad mahupun kawan kawan yang lain, Maisarah muncung mulut dan cakap ooooooo. Cakap oooooo sorang sorang.

Tuesday

Drama Tamil yang tak berapa cliche.


"Aku Thakur Rajni Singh, takkan sesekali biarkan anak perempuan aku berkahwin dengan pengembala kambing seperti kamu! Mana mungkin enggang terbang seiring pipit, akan aku tembak si pipit hina kalau itu berlaku!" kata Thakur Rajni Singh, matanya terjegil merah menyala, dan tangannya menggigil marah melihat anak perempuannya bersama si pengembala kambing miskin bernama Ravan. 

Ravan memegang erat tangan kekasihnya, lalu berkata “Thakur Rajni Singh mungkin berkuasa di kampung ini, tapi dalam cinta kami, kuasanya sifar. Hanya Tuhan yang boleh memisahkan kami, tapi Dia telah memutuskan untuk menyatukan kami. Satu satunya perkara yang boleh menamatkan ikatan hubungan kasih sayang ini adalah maut, Thakur Rajni Singh!" 

Balasan biadap Ravan membuatkan tangan Thakur Rajni Singh mengeletar lebih kuat seperti orang hisap dadah. Thakur Rajni Singh bergegas ke arah almari di tepi tangga yang besar dan terletak di tengah tengah rumahnya yang luas. Beliau mengambil senapang patah yang digunakannya untuk memburu rusa di hutan simpan. Thakur Rajni Singh tanpa memberi signal kenyit mata atau siul sikit sikit terus saja menghalakan muncung senapang patah itu ke arah Ravan dan menarik picunya sambil berkata kata “nah, maut yang kau mahu!"

Beng! 

Sedas tembakan dilepaskan. Dalam gerak perlahan, kita dapat lihat mulut Ravan terbuka sedikit demi sedikit, sebelum tiba tiba kekasihnya, iaitu Meena, anak kepada Thakur Rajni Singh melompat ke depan Ravan dan menyambut peluru senapang patah itu dengan perutnya yang sememangnya dari tadi terdedah menampakkan pusat. 

Thakur Ajit Singh menjerit “Meena!" dan meluru ke arah anaknya. Ravan cuba memeluk Meena tapi Thakur Rajni Singh menerajangnya dengan kuat sehingga Ravan tercampak ke dinding belakang kira kira 8 meter jauhnya. Dalam keadaan sayu Meena yang sedang nyawa nyawa ikan itu, Ravan tiba tiba menyanyikan sebuah lagu sedih yang spontan bertajuk “Cinta kita sekuat konkrit"

"Bila matamu bertaut pada matamu
segalanya terasa sejuk
rimba yang terbakar terpadam
jerebu yang menyesak menghilang.

tapi sekarang mata mu sudah terkatup rapat
kosmos mula bergoncang
dunia berhenti berputar
dan bulan pun merajuk suram

bangun lah
buktikan lah
cinta kita sekuat konkrit
dirempuh maut pun teguh
dirempuh maut pun utuh"

Tiba tiba Meena membuka mata. Thakur Rajni Singh menggoncang badan anaknya dengan gembira. “Meena!" kata kedua dua Thakur Rajni Singh dan Ravan. Hujan tiba tiba turun dengan lebat di luar rumah. Ravan terkejut apabila Meena mampu selamat daripada tembakan senapang patah itu, sedangkan seekor gajah pun akan meninggal dunia serta merta, inikan pula seorang gadis bertubuh ramping sepertinya. Tiba tiba Meena bangun berdiri, dan sekaligus menjawab persoalan Ravan. 

Perut Meena terkopek, terlihat wayar wayar yang berselirat. Ada minyak petrol yang meleleh juga di pusatnya. Meena tersenyum dan meminta maaf. Kata Meena, ini adalah kali yang ke lapan belas dia membawa teman lelakinya ke rumah, ditembak oleh ayahnya, dan mengorbankan dirinya sendiri. Kali pertama dulu, dia terselamat dan menjadi seorang cyborg. Ravan ternganga.

"Hey, chill la macha" kata Meena. Terangnya, setiap kali ini berlaku, teman lelakinya akan menyanyi sebuah lagu spontan. Dan itu memberi idea untuk Meena dan ayahnya Thakur Rajni Singh menerbitkan sebuah album berjudul “Perutku Berlubang Lagi". "Tahniah, awak dah jadi salah seorang komposer untuk lagu kami. Hal royalti kita bincangkan nanti" kata Meena, sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

Ravan yang terkilan segera mengeluarkan harmonika dari dalam poket seluar dan memainkannya. Lalu datanglah sekumpulan kambing biri biri kira kira 300 ekor banyaknya ke dalam rumah, melanggar dan memijak Thakur Rajni Singh dan Meena.

Kes ini tidak pernah diceritakan dalam mana mana akhbar tempatan, cuma diceritakan dari mulut ke mulut oleh penjual sireh pinang jalanan. Ravan dikatakan telah move on dan kini bertunang dengan anak penjual susu.

Saturday

Kalau sedap, cakap onom nom nom!


Ada seorang budak lelaki duduk atas kerusi kayu bawah pokok. Di kepalanya ada topi beruang warna coklat yang dibutang ke bawah leher. Kontra dengan suasana meriah kanak kanak girang bermain buaian dan jongkang jongket di taman permainan berhampiran, wajahnya muram, mulutnya mencebik membentuk huruf U terbalik. 

Kemudian ada seorang budak perempuan berambut pendek paras leher, pakai dress kuning paras lutut dengan vektor berbentuk love di di bajunya. Di atas kepala, ada topi panda yang juga dibutang ke bawah leher. 

Budak perempuan pakai topi panda cakap hei, kita pun beruang juga! Budak lelaki pandang muka budak perempuan pakai topi panda dan mendengus. Katanya, tu panda, bukan beruang, kita sorang sorang je beruang dalam dunia ni. Habis saja ayat kita sorang sorang je beruang dalam dunia ni, terus air mata budak lelaki jatuh ke pipi dan mengalir ke bawah leher. Mula mula payah juga la air mata tu nak mengalir ke bawah sebab pipi budak lelaki tu gemuk, tapi lepas budak lelaki tu miringkan kepala dia sikit, air mata tu jatuh lah. 

Budak perempuan pakai topi panda pun cakap, alololo. Kenapa ni? Cuba awak cerita, kita bercakap beruang to beruang. 

Budak lelaki bertopi beruang pun apabila diasak dengan kepercayaan pada budak perempuan bertopi panda yang hadir tiba tiba, ambil keputusan untuk bercerita. Katanya kini dia sorang sorang beruang dalam dunia. Orang lain, termasuk keluarganya sendiri tidak merestui keberuangannya. Malah kata mereka, jadi beruang tidak kaya. Tapi kenapa kena kejar kaya kalau kita lebih senang dapat bahagia? Sekali lagi air matanya mengalir ke pipi dan selepas kepalanya dimiringkan sedikit, air mata tu jatuh lah.

Budak perempuan tadi tersenyum kecil, menampakkan gigi taringnya yang comel disisi bibir. Tangannya diletakkan di pipi budak lelaki tadi sebelum dia dengan suara kecilnya berkata, mana ada awak beruang sorang sorang, eh sorang sorang beruang dekat dunia ni. Saya ada, panda pun, menurut channel Animal Planet yang saya tengok di rumah, adalah seekor beruang juga. Malah saya diancam kepupusan! Jangan risau, saya ada. Kita boleh jadi beruang sama sama, dan bahagia sama sama. Nak jadi kaya pun boleh kalau kita mahu.

Budak lelaki yang tadi bersedih tiba tiba rasa tenang. Air matanya yang bertakung kering sendiri dan bibirnya yang tadi berbentuk U terbalik kini dah mula nak jadi U yang normal sikit sikit. Tangan budak perempuan itu beserta kata katanya benar benar melenyapkan perasaan sedih tadi. 

Tangan awak gebu macam roti, kata budak lelaki. Gebu macam roti yang betul betul roti. Katanya lagi. Budak perempuan mengangguk dan menyambung, memang roti pun! Makan lah, nanti awak boleh kuat dan jadi beruang paling bahagia dalam dunia.

Aum! Kata budak lelaki tadi, berpura pura menggigit tangan budak perempuan. Saya nak makan roti ni, jadi kuat dan boleh lindungi awak dari diancam kepupusan. Saya akan tumbuk kepupusan tu kalau dia kacau awak. Kemudian kita boleh jadi sepasang beruang paling bahagia dalam dunia!

Budak perempuan mengangguk laju. Dia tanya, sedap tak? Giliran budak lelaki angguk laju laju. Budak perempuan cakap, kalau sedap cakaplah onom nom nom. 

Budak lelaki bertopi beruang warna coklat yang dibutangkan ke bawah leher tadi pun tersengih sengih nampak gigi. lalu mengangkat penumbuk ke udara dan berkata,

onom nom nom!


Monday

Sayang, jom bercinta?


Biasalah rindu orang yang kita sayang ni. Tambah tambah lagi bila berjauhan dan bangun bangun pagi teringat mimpi yang tadi kita ada kejar makwe kita naik basikal, lepas itu dia buat perangai jahat kecil dia panggil anjing datang dekat walaupun tahu kita ni tak mesra anjing. Nasib baik mimpi. Sebab itu tadi, bila dia call terus aku cakap,

“Sayang, jom bercinta?”

Dia tanpa berfikir barang sesaat dua terus membalas, jom! Aku tak tahu macam mana kami dua punya fikiran ni serasi betul. Jenis boleh berimaginasi yang kadang kadang tak tercapai akalmu. Ini la kot yang orang putih panggil chemistry. 

Aku pun balas, okay, malam ni kita jadikan malam romantik kita! Terus dia pun kata okay, cakap kita candle light dinner la. Aku tanya kat mana, dalam rumah ke luar? Dia balas dekat tengah padang. Aku cakap okay, aku dah sedia meja dengan lilin yang bercabang tiga tu. Kita nak makan apa? Dia cakap dia nak masak, aku makan beef steak, dia makan lamb chop. Aku okaykan saja walaupun aku tahu dia tak reti masak. Tapi hei, ini kan imaginasi! Dia cakap dia nak pakai dress warna violet, dan aku pula pakai tuxedo dengan bow tie sedondon. Aku akan bagi dia jambangan bunga ros berwarna biru dan dia boleh letak dalam bekas atas meja. Aku tak tahu ada ke tidak ros warna biru, tapi hei, inikan imaginasi! Aku akan tarik kerusi untuk dia duduk.

Bila dah duduk, aku akan pandang mata dia dan puji “Awak nampak cantik malam ni”. Dia dengan perangai biasanya akan balas “Terima kasih. Saya tahu saya memang cantik pun!”. Aku akan segera berkata “Hei, patutnya awak cakap saya pun nampak kacak juga malam ni!”. Dan kami akan ketawa.

Tentu sekali, makan bersuap, dan bila mulut comot akan lap pakai napkin yang entah siapa lipat jadi bentuk swan atas meja. Dah habis makan aku akan pandang langit dan dia akan ikut pandang ke langit juga. Dia akan cakap “Awak rasa bintang bintang atas tu cantik macam saya tak?”. Aku akan lekas lekas membalas “Tak. Sikit pun tak”. Dia akan muncungkan mulut dan buat muka merajuk. Aku akan senyum dan berkata “Tak, sayang. bukan secantik, tapi awak lebih cantik daripada semua bintang di atas sana”. Dia akan ketawa.

Aku akan minta dia pejamkan mata lalu bangun dan berdiri di belakangnya. Aku akan pakaikan sebuah loket di lehernya, loket yang berbentuk bintang berkelipan. Dia akan pegang loket itu dan aku akan bisikkan “Ini untuk awak, bintang paling cantik yang terangi hidup saya”. 

Waktu ini dia terdiam di telefon. Aku tanya, hei kenapa diam? Dia kata dia tengah sengih sorang sorang. Kalau jadi benda ni betul betul mesti dia dah menangis terharu. Kami ketawa. Aku cakap imaginasi ini akan aku usahakan jadi realiti suatu hari nanti. Panggilan ditamatkan dan rindu pun menyambung tugasnya -menyeksa hati manusia yang berjauhan.

Walaupun dia ni jenis suka potong nada romantis dalam mesej aku dengan balasan "buwekkk" sahaja, aku sayang dia ni,

sayang sangat.

Nak gelas, sekali dengan straw dia sekali.



Segelas teh o ais, sebuah Iphone putih dan beg tangan kecil berwarna hitam dan bibir nipis seorang gadis berambut pendek yang sedang duduk di meja depan; mata Pol jamah semuanya sejak di duduk situ dan order kopi ais. Kopi ais dia dah lama habis, tapi disebabkan bibir nipis milik gadis misteri di depannya, dia kaku di meja dalam gerai makan itu.

Dup dap dup dap, Pol mula mendengar bunyi jantungnya sendiri seolah olah kebingitan dunia telah lenyap dan yang tinggal kini cuma dia, gadis berambut pendek di meja depan dan kesunyian malam.

Pol mula nekad, dia akan angkat punggung dan jadi lelaki paling berani dalam dunia. Kira kira suku saat perpisahan punggungnya dan kerusi terjadi, gadis di depannya bingkas bangun pergi dari gerai makan tersebut tanpa bagi sebarang signal. Pol kaku dalam postur tubuh yang awkward. Dia kini merenung bibir gelas teh o ais tadi, ada kesan gincu tuuuuu, hati Pol berbisik.

Pol angkat tangan. Makcik gerai makan datang dengan tersengih sengih tanya nak order makan ke? Pol geleng kepala. Katanya, makcik, saya mahu beli dan bungkus gelas teh o ais milik gadis di meja depan saya ni sekali dengan straw dia sekali. Makcik tersebut menurut sahaja. Pol dah senyum sorang sorang memikirkan yang hujung minggu nanti akan dihabiskan dengan mencumbui kesan gincu di gelas teh o ais milik gadis berambut pendek tadi. Pol pulang ke rumah sambil bersiul dan jalan terenjut enjut kegembiraan.

Oh kita bernasib baik, tidak seperti Pol, dia tidak tahu yang gadis berambut pendek tersebut telah kembali semula ke gerai makanan itu, ataupun lebih tepat lagi dia tidak pernah pergi. Dia memanggil makcik tadi, dan katanya, makcik, saya mahu beli dan bungkus gelas kopi ais ke nescafe ais tah, milik lelaki yang duduk di meja depan saya ni sekali dengan straw dia sekali. 

Tapi kali ini makcik tersebut menggeleng.Kata makcik itu, sorry babe, tapi mamat pakai baju Liverpool tadi aku punya. Dalam kocek apronnya gelas kopi ais tadi tersimpan rapi, sekali dengan straw dia sekali.

Gadis berambut pendek terpinga pinga dan makcik itu kembali ke dapur, memicit punat radio dan kononnya secara kebetulan demi memenuhi tuntutan cerita, berkumandanglah lagu

jangan tunggu lama lama
nanti lama lama
dia di ambil orang.

Tuesday

I paranoid tak sayang?


Paranoid menurut Kamus Dewan Edisi 4 adalah 1. (orang yang) mengalami para­noia; 2. terlalu curiga, takut atau tidak per­caya terhadap orang lain. Kata Sara, waktu dia tengah tegangkan cadar katil. Aku tak beri apa apa reaksi, pakai seluar dan sarungkan t-shirt ke badan. Dia sambung lagi, you tahu, orang kalau paranoid sikit sikit ni memang nampak comel, tapi kalau melampau, dia rasa macam.. macam.. macam.. Dah mula dah perangai si Sara ni. Jenis sengaja tak nak habiskan sentence dengan harapan aku sambung sebab dia jenis yang percaya lovers finish each other's sentences.

Macam nak terajang perut dia? Balas aku. Sara ketawa, dia kata aku ni psikik, boleh baca isi hati dia. Sara bebel pasal kawan dia ni yang rasa semua orang tak suka dia. Memang lah semua orang tak suka dia, tapi tak adalah setiap masa orang nak fikir pasal hal tak suka dia. Apa dia ingat dunia ni berputar keliling pinggang dia sorang? Bentak Sara. Aku malas layan. Keluar saja bilik aku nampak kucing Parsi Sara bernama Jamal tengah jeling aku dari atas sofa. Aku angkat kening, Jamal toleh tempat lain. Sombong punya lahanat. 

You, bila nak campak kucing ni dari balkoni tingkat 7? Aku tinggikan suara sikit biar Sara dengar dari dalam bilik. Dia pun macam aku - jerit, hey! Jahat la you ni. Dan kalau ya pun kita campak dia, bukannya mati pun. Kaki dia fleksibel, i ada baca dalam magazines.

Eleh, ikat je la kaki dia. Bisik hati aku. Sara keluar, peluk aku dari belakang dan tanya, you ni kenapa.. paranoid dengan Jamal? Hehe. Mungkin la kot, dah la nama kucing dia Jamal, misai bukan main lentik, entah entah dia jelmaan bapak Sara yang kerja polis tu. Aku ingat lagi haritu dia tuding jari tanya aku pernah pegang pistol ke tak. Aku expect soalan macam kerja apa, parent duduk mana, boleh tanggung anak saya ke, tapi ini tanya pasal pistol. 

You rasa i paranoid tak? Sara tanya aku. Aku diam sambil scroll timeline twitter di laptop pink Sara. Lepas tu baca dia punya tweet,

@HeySaraAli : Hello stalkers! Tak habis habis lagi jaga tepi kain aku?

Aku cakap, eh tak la. Mana ada you paranoid. Lepas tu aku favourite tweet dia. Jamal atas sofa, menguap.

Wednesday

Shah Alam, aku lonely.



Dia duduk tepi tasik, perhati permukaan air yang kadang kadang tenang dan kadang kadang ada bunyi plup plup sikit sikit. Sebelum ini dia percaya itu bunyi ikan puyu ambil nafas, tapi sebabkan waktu itu pukul 4 pagi, sejuk dan bunyi cengkerik bersembang hal hal yang kita tak pasti apa, dia terbayang bunyi plup plup tu ada kena mengena dengan makhluk halus.


Terus dia baca bismillah dan surah al fatihah serta beberapa lagi surah wajib hafal waktu kelas fardhu ain dulu dulu. Itu pun kena baca laju laju sebab kalau baca selow selow dia jadi lupa lepas tu sangkut sangkut. Hihi.

Habis saja baca, dia baring dan fikir masalah yang sering jatuh atas kepala dia. Atas kepala semua orang ada masalah jatuh, tapi dia peduli apa, kau dengan kepala kau aku dengan kepala aku - dia fikir. Kalau la saja masalah ini kita boleh sembunyikan bawah selimut dan biar dia duduk dekat situ sampai kita rasa bersedia nak bawa dia keluar dan slow talk dengan dia.

Lepas itu dia fikir, kalau la kawan baik dia ada. Boleh juga carik carikkan masalah ini lepas itu bahagi sorang sikit dan sakit kepala sama sama. Tapi itu lah, kawan baik dia tak ada. 

Pagi ini, Shah Alam buat dia rasa lonely.

Saturday

Dia tertinggal hati dia dekat Sri Iskandar, wak.



Dia turun sahaja dari bas di KL Sentral, terus raba poket belakang seluar, poket depan dan semua poket yang ada. Dompet, ada. Telefon bimbit, ada. Kunci rumah, ada. Dia angguk angguk. Tiba tiba dia teringat mahu periksa dada, dia rasa. Eh! Tak ada!

Lepas itu dia tepuk dahi, rupa rupanya tertinggal. Hati dia. Hati dia tertinggal di Sri Iskandar, dijaga oleh seorang makwe kecil yang tengah sibuk jawab periksa nombor nombor. 

Dia ada juga tanya mahu jaga sampai bila? Makwe tu cakap sampai bila bila.

Wednesday

Peti Ais Comel Saya.



Di depan Boboi sekarang ada sebuah peti ais kecil comel setinggi 157 sentimeter dengan senyuman paling manis yang pernah dilemparkan oleh sebuah alatan elektrik sepertinya. Boboi pula terkenyit kenyit membalas senyuman peti ais kecil comel itu. Fikirnya, ini sayang. Fikirnya kali kedua, ini sayang dan kawan kawan akan berkata "Mana boleh bercinta dengan peti ais, cinta tak berbalas rindu tak siapa tahu". Dan Boboi, berfikir kali ketiga, cinta itu syaratnya cuma memerlukan sekurang kurangnya satu hati dan satu objek buat dicintai. Manakala rindu tak perlu siapa siapa tahu melainkan si tukang merindu.

Boboi pandang peti ais kecil comel lagi. Boboi bangun dan buka pintu peti ais comel dan dia peluk. Peluk erat erat sampai jantung, usus besar dan kecil serta segala organ dalam tubuh badannya termasuk seketul hati yang daripada tadi berdebar debar macam tunggu keputusan periksa ikut sejuk, selesa. 

Pintu peti ais kecil comel itu - dengan satu gerakan lembut - peluk Boboi sampai dia terjelepuk masuk ke dalam badan empat seginya dan peti ais kecil comel ketawa kecil. Peti ais kecil comel ketawa kecil, comel comel.

Macam ini, hihi hihi hihi.