Monday

Nak gelas, sekali dengan straw dia sekali.



Segelas teh o ais, sebuah Iphone putih dan beg tangan kecil berwarna hitam dan bibir nipis seorang gadis berambut pendek yang sedang duduk di meja depan; mata Pol jamah semuanya sejak di duduk situ dan order kopi ais. Kopi ais dia dah lama habis, tapi disebabkan bibir nipis milik gadis misteri di depannya, dia kaku di meja dalam gerai makan itu.

Dup dap dup dap, Pol mula mendengar bunyi jantungnya sendiri seolah olah kebingitan dunia telah lenyap dan yang tinggal kini cuma dia, gadis berambut pendek di meja depan dan kesunyian malam.

Pol mula nekad, dia akan angkat punggung dan jadi lelaki paling berani dalam dunia. Kira kira suku saat perpisahan punggungnya dan kerusi terjadi, gadis di depannya bingkas bangun pergi dari gerai makan tersebut tanpa bagi sebarang signal. Pol kaku dalam postur tubuh yang awkward. Dia kini merenung bibir gelas teh o ais tadi, ada kesan gincu tuuuuu, hati Pol berbisik.

Pol angkat tangan. Makcik gerai makan datang dengan tersengih sengih tanya nak order makan ke? Pol geleng kepala. Katanya, makcik, saya mahu beli dan bungkus gelas teh o ais milik gadis di meja depan saya ni sekali dengan straw dia sekali. Makcik tersebut menurut sahaja. Pol dah senyum sorang sorang memikirkan yang hujung minggu nanti akan dihabiskan dengan mencumbui kesan gincu di gelas teh o ais milik gadis berambut pendek tadi. Pol pulang ke rumah sambil bersiul dan jalan terenjut enjut kegembiraan.

Oh kita bernasib baik, tidak seperti Pol, dia tidak tahu yang gadis berambut pendek tersebut telah kembali semula ke gerai makanan itu, ataupun lebih tepat lagi dia tidak pernah pergi. Dia memanggil makcik tadi, dan katanya, makcik, saya mahu beli dan bungkus gelas kopi ais ke nescafe ais tah, milik lelaki yang duduk di meja depan saya ni sekali dengan straw dia sekali. 

Tapi kali ini makcik tersebut menggeleng.Kata makcik itu, sorry babe, tapi mamat pakai baju Liverpool tadi aku punya. Dalam kocek apronnya gelas kopi ais tadi tersimpan rapi, sekali dengan straw dia sekali.

Gadis berambut pendek terpinga pinga dan makcik itu kembali ke dapur, memicit punat radio dan kononnya secara kebetulan demi memenuhi tuntutan cerita, berkumandanglah lagu

jangan tunggu lama lama
nanti lama lama
dia di ambil orang.

3 comments:

fadh said...

untung jadi mamat ni. aha

hanaahmad said...

ambuiii comelnyaa ceritaaaa

zombie said...

Kikiki. Comel macam penulis dia la kan. kan kan.