Saturday

Maisarah Puasa Ni! - #1

Tahun ini, Maisarah dah pasang azam nak puasa penuh. Tahun lepas Maisarah puasa tak penuh sangat, banyak kali juga la dia pergi dapur minum air dan kantoi dengan ibu. Ada sekali tu dia pakai strategi buat buat lupa, tapi lepas itu ibu jumpa roti gardenia dengan nutella dalam bilik. Hihi

Hari ini hari pertama Maisarah puasa penuh. Kawan kawan dekat sekolah semua mengaku dah puasa penuh. Amran si Ketua Darjah yang gemuk tu pun mengaku puasa penuh sejak umur tiga tahun. Maisarah tak berapa percaya sangat, kalau betul puasa sejak tiga tahun, kenapa badan montel macam anak gajah. Hehe, Maisarah ketawa dalam hati. Ketawa dalam hati tak dosa.

Siang tadi, waktu dekat sekolah, masing masing cerita sahur pagi tadi makan apa. Semua mengaku bangun sahur, sampai Rajesh pun tak nak ketinggalan mengaku bangun sahur.

"Hangpa mangkit soq tak pagi tadi?" tanya Amran. Semua orang kerut dahi, ada yang tengok muka Amran dalam dalam, macam dia alien gemuk yang terjatuh dari bawah cahaya lampu spotlight macam Mr Bean. 

"Soq tu apa?" Mimi tanya. Amran jawab, sahur. Semua orang pun tanpa sebarang signal atau kiu kad terus muncung mulut dan cakap ooooo ramai ramai. "Cakap la sahur..." kata Mimi sambil tersengih menampakkan gigi rongak.

"Sahur tadi aku makan KFC" kata Amran. Sekali lagi semua disitu tanpa sebarang signal atau kiu kad terus muncung mulut dan cakap oooooooo. "Seronok la makan KFC. Kita pagi tadi sahur mee goreng dengan telur je mama masakkan" Mimi sekali lagi tersengih.

"Kau sahur tak Rajesh?" tanya Amran. Lekas lekas Rajest mengangguk, "Aku sahur makan capati. Sedap wooo".

"Kau Maisarah?" Amran tanya lagi. Dia cuba pastikan tak ada siapa siapa berjaya sahur KFC atau hidangan yang lagi sedap daripadanya. Maisarah garu kepala, macam mana dia boleh lupa sahur apa benda. Nak tipu jawab sahur KFC juga, nanti orang kata tiru Amran pula.

"Kita jawab esok boleh tak Amran?" tanya Maisarah. Amran mendengus, "Kenapa esok? Jawab je la hari ini".

"Tak tahu nama makanan tu apa, sedap sangat ibu kita masak. Lagi sedap dari KFC" kata Maisarah sambil angkat ibu jari ke atas. Semua orang tanpa sebarang signal dan kiu kad terus muncung mulut dan cakap ooooo. Amran je tak cakap sebab dia cemburu.

Tengahari itu dalam kereta waktu pulang dari sekolah Maisarah tanya ibu, "Ibu, pagi tadi kita sahur apa? Kenapa Maisarah tak ingat?". Ibunya ketawa kecil. "Memang la Maisarah tak ingat. Bangun sahur pun tak, nak ingat apa" jawab ibunya.

Tanpa sebarang signal, kiu kad mahupun kawan kawan yang lain, Maisarah muncung mulut dan cakap ooooooo. Cakap oooooo sorang sorang.

1 comment:

kiwi said...

jawapan yang bijak