Monday

Muzakarah Anjing.


Ketika sedang kecoh isu memegang dan memelihara beberapa hari yang lalu, saya dan beberapa orang sahabat telah mengambil inisiatif untuk membuat satu muzakarah bagi membincangkan permasalahan anjing dalam Islam. Saya terlebih dahulu ingin meminta maaf atas kenaifan saya yang telah menamakan diskusi ini sebagai Muzakarah Anjing. Kelemahan saya dalam memilih nama yang sesuai dan tidak sensitif telah pun ditegur oleh beberapa orang teman selepas tamat konferensi ini.

Saya mendapat ilham untuk mengadakan konferensi ini setelah terbaca artikel dalam portal berita mengenai satu mukazarah pada Januari 1937 di Kelantan apabila beberapa orang ahli keluarga Diraja Kelantan berbeza pendapat mengenai anjing yang dipelihara. Bantahan dikatakan berlaku apabila ada pendapat yang mengatakan air liur anjing itu adalah najis dan mencemarkan dalam Islam. Rentetan dari perbalahan itu, satu muzakarah telah dibuat di Istana Sri Cemerlang dan dihadiri oleh ribuan marhaen.

Dikatakan panel yang cenderung pada pendapat anjing boleh dibela terdiri dari tokoh Kaum Muda iaitu bekas mufti Wan Musa Wan Abdul Samad, Haji Abbas bin Muhammad Taha, seorang kadi dari Singapura dan Burhanuddin Muhammad Noor. Burhanuddin Muhammad Noor selepas itu dikenali sebagai Dr. Burhanuddin al-Helmy, seorang nasionalis, pemikir Islam dan pernah memegang jawatan presiden Parti Islam Se-malaysia dari tahun 1956 hingga 1969. Manakala pihak yang satu lagi dikatakan diwakili oleh tokoh Kaum Tua, iaitu mufti Kelantan Haji Ibrahim bin Haji Yusof, ketua kadi Haji Ahmad bin Ismail dan peneraju pemikiran Islam dan ahli Majlis Agama Islam Kelantan  Haji Abdul Manan dan Haji Abdullah Tahir. Kedua dua pihak telah memberi pendapat dan pandangan berdasarkan pelbagai sumber termasuklah dalil Al-Quran, Hadis, kitab ulama terdahulu, tradisi serta kajian undang undang Islam.

Namun setelah muzakarah tersebut tamat, Sultan tidak mengumumkan mana mana pihak sebagai pemenang tetapi membiarkan rakyat Kelantan sendiri membuat konklusi sendiri setelah mendengar perbahasan tersebut. Permasalahan itu kemudiannya di hantar ke Majlis Fatwa al-Azhar di Kaherah yang selepas itu mengeluarkan fatwa yang membenarkan anjing dibela. Ketika itu, perbezaan pendapat diraikan manakala rakyat marhaen pula diberi kebebasan untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri tanpa dikekang oleh pemerintah.

Maka, setelah berpakat untuk mengadakan Muzakarah Anjing, kami telah menjemput ilmuan ilmuan Islam, ustaz ustaz selebriti TV dan Youtube, imam imam, guru agama, penyelamat kucing dan anjing jalanan, doktor haiwan, serta beberapa orang pemikir India dan Cina yang sering menulis artikel di portal berita. Mereka dijemput untuk memberi satu sudut pandangan orang bukan melayu Islam dalam muzakarah ini. Apa yang menyedihkan, cuma segelintir yang hadir.

Saya telah mempengerusikan muzakarah ini dan memulakannya dengan menjelaskan sebab sebab muzakarah ini dibuat dan asas topik yang akan dibincangkan. Ucapan saya seterusnya: "Kami telah melakukan muzakarah ini untuk mendengar pendapat semua pihak mengenai isu anjing yang sedang menjadi buah mulut rakyat ketika ini, seterusnya mencapai satu persetujuan bersama yang akan dijadikan konklusi permasalahan ini. Saya harap tuan tuan dan puan puan sedia maklum yang berdebat bukan lah untuk mencari siapa betul atau siapa salah, tapi adalah untuk mencari satu persetujuan kedua dua belah pihak tentang masalah yang dibahaskan. Anda yang dijemput masing masing mempunyai latar belakang dan kepakaran yang tersendiri berkaitan isu ini. Maka saya berharap yang ilmu di dada kalian boleh dicurahkan di atas meja muzakarah ini untuk kita sama sama teliti dan kita bantu mendapatkan kefahaman yang lebih jelas untuk masyarakat. Jadi mengenai isu memegang anjing...."

Sebelum sempat saya habiskan ucapan, salah seorang peserta bangun dari kerusi. Dan tanpa meminta izin untuk berucap dia menempik "Anjing haram! Semua orang tahu berdosa pegang anjing! Tuan pengerusi pun tahu haram! Buat apa nak dibahas boleh pegang atau tidak. Umum tahu haram! Haram! Maaf tuan pengerusi, tapi ini muzakarah yang sia-sia". Bergegar sedikit meja mesyuarat ditepuk tepuknya. Seingat saya beliau adalah ahli jawatankuasa kampung sebelah.

Sebelum saya sempat berkata apa apa, seorang lagi peserta bangun dan menyampuk. Beliau adalah seorang ustaz muda yang menjadi perintis imam di masjid berhampiran rumah saya. Katanya "Saya minta maaf pakcik, tetapi memegang anjing tidak haram, malah tidak berdosa. Yang haram adalah memakan anjing..."

Seorang lagi peserta bangun, kali ini seorang lelaki muda yang memakai baju biru "Makan ke pegang, haram juga. Kita melayu daripada dulu dah dididik pasal anjing dan babi ni haram. Buat apa nak bela anjing, bela la kucing, haiwan kesayangan Nabi. Nabi tak bela anjing tuan tuan dan puan puan sekalian!"

Seperti yang saya jangka, teman saya dari kumpulan yang menyelamatkan kucing dan anjing terbiar bingkas bangun dan bersuara dengan tenang "Tapi Nabi suruh layan haiwan dengan baik. Tak kira haiwan apa sekalipun. Al Quran sendiri tidak pernah mencerca atau menghina anjing. Malah kalau saudara baca, anjing anjing telah diceritakan secara positif dalam Al-Quran"

Kawan India saya bingkas bangun "Betul, anjing adalah haiwan yang cerdik dan setia. Siapa disini pernah tengok cerita Hachiko. Ya Tuhan, setianya anjing itu sampai kekal menunggu tuannya yang telah pun meninggal dunia. Lagipun, anjing mana makan worang!"

Ustaz muda tadi kembali menyambung "Benar, anjing atau haiwan apa sekalipun bukannya untuk kita cerca atau hina. Kena layan baik baik. Sedangkan nak menyembelih ternakan sekalipun ada adab dan dilarang untuk kita menyeksanya. Tuan pengerusi, saya cadangkan muzakarah kita hari ini membuat keputusan jelas yang memegang anjing tidak berdosa, malah tidak menyalahi hukum Islam. Malah budak sekolah sekalipun tahu yang jika memegang anjing, apa yang perlu mereka lakukan cuma sertu, bukannya taubat nasuha kerana pegang anjing sama sekali tidak berdosa. Selain dari membela sebagai hobi, adalah diharuskan untuk kita orang Islam membela anjing untuk tujuan berburu, menjaga rumah, menjaga tanaman, harta benda dan sebagainya. Malah binatang buruan yang digigit anjing pun halal untuk dimakan. Tapi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempelajari adab adab dalam melakukan semua perlakuan tadi. Saya yakin, menyelamatkan anjing jalanan yang tercedera dan mencari rumah yang baik untuknya juga adalah perlakuan yang mulia"

"Kau apa tahu, kau muda lagi. Kalau tak cukup makan garam jangan nak memandai hal agama. Ini negara islam, orang patut tahu sensitiviti umat Islam. Tak kira halal atau tidak, tradisinya anjing memang perkara yang tabu. Tuan pengerusi, batalkan saja muzakarah ini" sampuk AJK kampung.

"Maafkan saya, tapi saya ingin mencelah. Mengikut kajian saya, pada tahun 80-an dan sebelumnya terdapat ramai orang melayu yang membela anjing untuk menjaga kebun dan ladang di kampung kampung. Jadi tradisi sensitif anjing tidak benar. Mungkin kerana kini kita dah tak punya banyak kebun, nak beli sayur dan buah buahan pun di pasaraya sahaja, kita jadi tidak kenal akan fungsi anjing dalam kehidupan masyarakat melayu" tiba tiba seorang pensyarah yang dari tadi senyap mencelah.

"Saya bersetuju dengan saudara. Tapi umum sedia maklum yang masyarakat melayu Islam di Malaysia masih belum bersedia untuk menerima pandangan baru yang memecahkan mentaliti anjing itu kotor selama ini. Jadi rasanya tidak perlu la kita untuk membuat huru hara dengan mengeluarkan pendapat yang boleh mengakibatkan perbalahan" kali ini giliran seorang guru menyampaikan pendapatnya.

Saya mahu membuka mulut tetapi kemudian, saya tidak pasti siapa yang memulakan tapi masing masing mahu bercakap dan menyampaikan hujah sendiri. Ruang muzakarah jadi bingit. Tiba tiba wanita cina pemilik kedai haiwan peliharaan yang saya jemput menjerit - dua ekor anjing chihuahua miliknya melompat keluar dari beg. Suasana bertambah kecoh, ada yang mengejar anjing tersebut, ada yang melarikan diri dari digigit anjing dan ada yang masih terus menerus berbalah.

Kemudian saya ditarik oleh dua orang lelaki beruniform biru gelap tanpa sebarang amaran. Saya bergelut dan mempersoalkan tindakan mereka. Ketika dilokap tiada siapa memberi penjelasan mengapa saya ditahan. Saya juga tidak pasti samada ada rakan rakan yang bersolidariti dengan menyalakan lilin di luar lokap. Setelah beberapa jam, barulah saya tahu yang saya telah ditahan atas tuduhan menghina islam dengan menggabungkan perkataan arab dengan binatang yang kotor dalam nama diskusi saya, Muzakarah Anjing!

3 comments:

Anonymous said...

Ini menganjing namanya..hehe..well narrated story,but still ada hidden agenda..rasanya lebih "umph" cerita ni kalau selitkan sikit kenapa anjing termasuk dalam najis berat..maaf kalau terasa..bukan ke kaum tua dulu tu juga pernah jadi kaum muda?..jangan judge orang based on hearsay..sekadar nasihat diri sendiri..

zoul yazix said...

Tak ada hidden agenda, semuanya boleh dibaca di atas. Jawapannya ada pada dua muzakarah.

Tentang Kaum Tua pernah jadi Kaum Muda, mungkin kamu tidak tahu yang itu bukan gelaran pada umur, tapi ideologi tokoh ketika itu. Boleh google atau rujuk buku di perpustakaan untuk jawapan.

kiwi said...

tak faham motif yang satu ni. ><