Tuesday

I paranoid tak sayang?


Paranoid menurut Kamus Dewan Edisi 4 adalah 1. (orang yang) mengalami para­noia; 2. terlalu curiga, takut atau tidak per­caya terhadap orang lain. Kata Sara, waktu dia tengah tegangkan cadar katil. Aku tak beri apa apa reaksi, pakai seluar dan sarungkan t-shirt ke badan. Dia sambung lagi, you tahu, orang kalau paranoid sikit sikit ni memang nampak comel, tapi kalau melampau, dia rasa macam.. macam.. macam.. Dah mula dah perangai si Sara ni. Jenis sengaja tak nak habiskan sentence dengan harapan aku sambung sebab dia jenis yang percaya lovers finish each other's sentences.

Macam nak terajang perut dia? Balas aku. Sara ketawa, dia kata aku ni psikik, boleh baca isi hati dia. Sara bebel pasal kawan dia ni yang rasa semua orang tak suka dia. Memang lah semua orang tak suka dia, tapi tak adalah setiap masa orang nak fikir pasal hal tak suka dia. Apa dia ingat dunia ni berputar keliling pinggang dia sorang? Bentak Sara. Aku malas layan. Keluar saja bilik aku nampak kucing Parsi Sara bernama Jamal tengah jeling aku dari atas sofa. Aku angkat kening, Jamal toleh tempat lain. Sombong punya lahanat. 

You, bila nak campak kucing ni dari balkoni tingkat 7? Aku tinggikan suara sikit biar Sara dengar dari dalam bilik. Dia pun macam aku - jerit, hey! Jahat la you ni. Dan kalau ya pun kita campak dia, bukannya mati pun. Kaki dia fleksibel, i ada baca dalam magazines.

Eleh, ikat je la kaki dia. Bisik hati aku. Sara keluar, peluk aku dari belakang dan tanya, you ni kenapa.. paranoid dengan Jamal? Hehe. Mungkin la kot, dah la nama kucing dia Jamal, misai bukan main lentik, entah entah dia jelmaan bapak Sara yang kerja polis tu. Aku ingat lagi haritu dia tuding jari tanya aku pernah pegang pistol ke tak. Aku expect soalan macam kerja apa, parent duduk mana, boleh tanggung anak saya ke, tapi ini tanya pasal pistol. 

You rasa i paranoid tak? Sara tanya aku. Aku diam sambil scroll timeline twitter di laptop pink Sara. Lepas tu baca dia punya tweet,

@HeySaraAli : Hello stalkers! Tak habis habis lagi jaga tepi kain aku?

Aku cakap, eh tak la. Mana ada you paranoid. Lepas tu aku favourite tweet dia. Jamal atas sofa, menguap.