Monday

Sayang, jom bercinta?


Biasalah rindu orang yang kita sayang ni. Tambah tambah lagi bila berjauhan dan bangun bangun pagi teringat mimpi yang tadi kita ada kejar makwe kita naik basikal, lepas itu dia buat perangai jahat kecil dia panggil anjing datang dekat walaupun tahu kita ni tak mesra anjing. Nasib baik mimpi. Sebab itu tadi, bila dia call terus aku cakap,

“Sayang, jom bercinta?”

Dia tanpa berfikir barang sesaat dua terus membalas, jom! Aku tak tahu macam mana kami dua punya fikiran ni serasi betul. Jenis boleh berimaginasi yang kadang kadang tak tercapai akalmu. Ini la kot yang orang putih panggil chemistry. 

Aku pun balas, okay, malam ni kita jadikan malam romantik kita! Terus dia pun kata okay, cakap kita candle light dinner la. Aku tanya kat mana, dalam rumah ke luar? Dia balas dekat tengah padang. Aku cakap okay, aku dah sedia meja dengan lilin yang bercabang tiga tu. Kita nak makan apa? Dia cakap dia nak masak, aku makan beef steak, dia makan lamb chop. Aku okaykan saja walaupun aku tahu dia tak reti masak. Tapi hei, ini kan imaginasi! Dia cakap dia nak pakai dress warna violet, dan aku pula pakai tuxedo dengan bow tie sedondon. Aku akan bagi dia jambangan bunga ros berwarna biru dan dia boleh letak dalam bekas atas meja. Aku tak tahu ada ke tidak ros warna biru, tapi hei, inikan imaginasi! Aku akan tarik kerusi untuk dia duduk.

Bila dah duduk, aku akan pandang mata dia dan puji “Awak nampak cantik malam ni”. Dia dengan perangai biasanya akan balas “Terima kasih. Saya tahu saya memang cantik pun!”. Aku akan segera berkata “Hei, patutnya awak cakap saya pun nampak kacak juga malam ni!”. Dan kami akan ketawa.

Tentu sekali, makan bersuap, dan bila mulut comot akan lap pakai napkin yang entah siapa lipat jadi bentuk swan atas meja. Dah habis makan aku akan pandang langit dan dia akan ikut pandang ke langit juga. Dia akan cakap “Awak rasa bintang bintang atas tu cantik macam saya tak?”. Aku akan lekas lekas membalas “Tak. Sikit pun tak”. Dia akan muncungkan mulut dan buat muka merajuk. Aku akan senyum dan berkata “Tak, sayang. bukan secantik, tapi awak lebih cantik daripada semua bintang di atas sana”. Dia akan ketawa.

Aku akan minta dia pejamkan mata lalu bangun dan berdiri di belakangnya. Aku akan pakaikan sebuah loket di lehernya, loket yang berbentuk bintang berkelipan. Dia akan pegang loket itu dan aku akan bisikkan “Ini untuk awak, bintang paling cantik yang terangi hidup saya”. 

Waktu ini dia terdiam di telefon. Aku tanya, hei kenapa diam? Dia kata dia tengah sengih sorang sorang. Kalau jadi benda ni betul betul mesti dia dah menangis terharu. Kami ketawa. Aku cakap imaginasi ini akan aku usahakan jadi realiti suatu hari nanti. Panggilan ditamatkan dan rindu pun menyambung tugasnya -menyeksa hati manusia yang berjauhan.

Walaupun dia ni jenis suka potong nada romantis dalam mesej aku dengan balasan "buwekkk" sahaja, aku sayang dia ni,

sayang sangat.

Nak gelas, sekali dengan straw dia sekali.



Segelas teh o ais, sebuah Iphone putih dan beg tangan kecil berwarna hitam dan bibir nipis seorang gadis berambut pendek yang sedang duduk di meja depan; mata Pol jamah semuanya sejak di duduk situ dan order kopi ais. Kopi ais dia dah lama habis, tapi disebabkan bibir nipis milik gadis misteri di depannya, dia kaku di meja dalam gerai makan itu.

Dup dap dup dap, Pol mula mendengar bunyi jantungnya sendiri seolah olah kebingitan dunia telah lenyap dan yang tinggal kini cuma dia, gadis berambut pendek di meja depan dan kesunyian malam.

Pol mula nekad, dia akan angkat punggung dan jadi lelaki paling berani dalam dunia. Kira kira suku saat perpisahan punggungnya dan kerusi terjadi, gadis di depannya bingkas bangun pergi dari gerai makan tersebut tanpa bagi sebarang signal. Pol kaku dalam postur tubuh yang awkward. Dia kini merenung bibir gelas teh o ais tadi, ada kesan gincu tuuuuu, hati Pol berbisik.

Pol angkat tangan. Makcik gerai makan datang dengan tersengih sengih tanya nak order makan ke? Pol geleng kepala. Katanya, makcik, saya mahu beli dan bungkus gelas teh o ais milik gadis di meja depan saya ni sekali dengan straw dia sekali. Makcik tersebut menurut sahaja. Pol dah senyum sorang sorang memikirkan yang hujung minggu nanti akan dihabiskan dengan mencumbui kesan gincu di gelas teh o ais milik gadis berambut pendek tadi. Pol pulang ke rumah sambil bersiul dan jalan terenjut enjut kegembiraan.

Oh kita bernasib baik, tidak seperti Pol, dia tidak tahu yang gadis berambut pendek tersebut telah kembali semula ke gerai makanan itu, ataupun lebih tepat lagi dia tidak pernah pergi. Dia memanggil makcik tadi, dan katanya, makcik, saya mahu beli dan bungkus gelas kopi ais ke nescafe ais tah, milik lelaki yang duduk di meja depan saya ni sekali dengan straw dia sekali. 

Tapi kali ini makcik tersebut menggeleng.Kata makcik itu, sorry babe, tapi mamat pakai baju Liverpool tadi aku punya. Dalam kocek apronnya gelas kopi ais tadi tersimpan rapi, sekali dengan straw dia sekali.

Gadis berambut pendek terpinga pinga dan makcik itu kembali ke dapur, memicit punat radio dan kononnya secara kebetulan demi memenuhi tuntutan cerita, berkumandanglah lagu

jangan tunggu lama lama
nanti lama lama
dia di ambil orang.