Sunday

Maisarah Puasa Ni! #2


Pagi tadi Maisarah nekad mahu bangun bangun sahur demi melengkapkan azam puasa penuhnya tahun ini. Habis handphone ayah, ibu dan jam loceng dia letak tepi katil dengan harapan akan terjaga untuk bersahur nanti. Ibu hanya geleng geleng kepala bila pagi tadi waktu nak sahur ibu jumpa hanphone ibu dengan ayah dekat luar bilik. Masuk bilik, ibu kejut Maisarah bangun sahur. Punya la susah nak pujuk Maisarah bangun sahur, akhirnya dia bangun juga. Itu pun lepas ibu cakap ada masak nugget keju. Bila tanya Maisarah kenapa handphone ada luar bilik, Maisarah jawab handphone tu bising kacau Maisarah tidur. Maisarah letak dekat luar, sambung tidur.

Di meja makan, Maisarah suap nasi dengan mata sepet. Dalam mengantuknya itu, sempat juga dia pesan pada ibu - esok kita sahur KFC ya bu. Amran dekat sekolah hari hari cerita sahur KFC.

Habis saja makan, Maisarah terus bergerak masuk masuk bilik. Lekas lekas ibunya melarang, jangan tidur lepas makan, nanti perut buncit. Terus Maisarah teringat Amran, mesti hari hari lepas sahur KFC dia terus tidur. Hihi. Maisarah ketawa kecil dalam hati. Ketawa dalam hati tak dosa.

"Takpe bu, Maisarah tahu la macam mana nak tidur tak buncit" laung Maisarah dari dalam bilik. Lepas selesai kemas dapur dan basuh pinggan, ibu masuk jenguk Maisarah dalam bilik dan urut dada. Ya Tuhan, pandainya la anak ibu ni.

Maisarah, tidur meniarap letak bantal bawah perut.

Saturday

Maisarah Puasa Ni! - #1

Tahun ini, Maisarah dah pasang azam nak puasa penuh. Tahun lepas Maisarah puasa tak penuh sangat, banyak kali juga la dia pergi dapur minum air dan kantoi dengan ibu. Ada sekali tu dia pakai strategi buat buat lupa, tapi lepas itu ibu jumpa roti gardenia dengan nutella dalam bilik. Hihi

Hari ini hari pertama Maisarah puasa penuh. Kawan kawan dekat sekolah semua mengaku dah puasa penuh. Amran si Ketua Darjah yang gemuk tu pun mengaku puasa penuh sejak umur tiga tahun. Maisarah tak berapa percaya sangat, kalau betul puasa sejak tiga tahun, kenapa badan montel macam anak gajah. Hehe, Maisarah ketawa dalam hati. Ketawa dalam hati tak dosa.

Siang tadi, waktu dekat sekolah, masing masing cerita sahur pagi tadi makan apa. Semua mengaku bangun sahur, sampai Rajesh pun tak nak ketinggalan mengaku bangun sahur.

"Hangpa mangkit soq tak pagi tadi?" tanya Amran. Semua orang kerut dahi, ada yang tengok muka Amran dalam dalam, macam dia alien gemuk yang terjatuh dari bawah cahaya lampu spotlight macam Mr Bean. 

"Soq tu apa?" Mimi tanya. Amran jawab, sahur. Semua orang pun tanpa sebarang signal atau kiu kad terus muncung mulut dan cakap ooooo ramai ramai. "Cakap la sahur..." kata Mimi sambil tersengih menampakkan gigi rongak.

"Sahur tadi aku makan KFC" kata Amran. Sekali lagi semua disitu tanpa sebarang signal atau kiu kad terus muncung mulut dan cakap oooooooo. "Seronok la makan KFC. Kita pagi tadi sahur mee goreng dengan telur je mama masakkan" Mimi sekali lagi tersengih.

"Kau sahur tak Rajesh?" tanya Amran. Lekas lekas Rajest mengangguk, "Aku sahur makan capati. Sedap wooo".

"Kau Maisarah?" Amran tanya lagi. Dia cuba pastikan tak ada siapa siapa berjaya sahur KFC atau hidangan yang lagi sedap daripadanya. Maisarah garu kepala, macam mana dia boleh lupa sahur apa benda. Nak tipu jawab sahur KFC juga, nanti orang kata tiru Amran pula.

"Kita jawab esok boleh tak Amran?" tanya Maisarah. Amran mendengus, "Kenapa esok? Jawab je la hari ini".

"Tak tahu nama makanan tu apa, sedap sangat ibu kita masak. Lagi sedap dari KFC" kata Maisarah sambil angkat ibu jari ke atas. Semua orang tanpa sebarang signal dan kiu kad terus muncung mulut dan cakap ooooo. Amran je tak cakap sebab dia cemburu.

Tengahari itu dalam kereta waktu pulang dari sekolah Maisarah tanya ibu, "Ibu, pagi tadi kita sahur apa? Kenapa Maisarah tak ingat?". Ibunya ketawa kecil. "Memang la Maisarah tak ingat. Bangun sahur pun tak, nak ingat apa" jawab ibunya.

Tanpa sebarang signal, kiu kad mahupun kawan kawan yang lain, Maisarah muncung mulut dan cakap ooooooo. Cakap oooooo sorang sorang.

Tuesday

Drama Tamil yang tak berapa cliche.


"Aku Thakur Rajni Singh, takkan sesekali biarkan anak perempuan aku berkahwin dengan pengembala kambing seperti kamu! Mana mungkin enggang terbang seiring pipit, akan aku tembak si pipit hina kalau itu berlaku!" kata Thakur Rajni Singh, matanya terjegil merah menyala, dan tangannya menggigil marah melihat anak perempuannya bersama si pengembala kambing miskin bernama Ravan. 

Ravan memegang erat tangan kekasihnya, lalu berkata “Thakur Rajni Singh mungkin berkuasa di kampung ini, tapi dalam cinta kami, kuasanya sifar. Hanya Tuhan yang boleh memisahkan kami, tapi Dia telah memutuskan untuk menyatukan kami. Satu satunya perkara yang boleh menamatkan ikatan hubungan kasih sayang ini adalah maut, Thakur Rajni Singh!" 

Balasan biadap Ravan membuatkan tangan Thakur Rajni Singh mengeletar lebih kuat seperti orang hisap dadah. Thakur Rajni Singh bergegas ke arah almari di tepi tangga yang besar dan terletak di tengah tengah rumahnya yang luas. Beliau mengambil senapang patah yang digunakannya untuk memburu rusa di hutan simpan. Thakur Rajni Singh tanpa memberi signal kenyit mata atau siul sikit sikit terus saja menghalakan muncung senapang patah itu ke arah Ravan dan menarik picunya sambil berkata kata “nah, maut yang kau mahu!"

Beng! 

Sedas tembakan dilepaskan. Dalam gerak perlahan, kita dapat lihat mulut Ravan terbuka sedikit demi sedikit, sebelum tiba tiba kekasihnya, iaitu Meena, anak kepada Thakur Rajni Singh melompat ke depan Ravan dan menyambut peluru senapang patah itu dengan perutnya yang sememangnya dari tadi terdedah menampakkan pusat. 

Thakur Ajit Singh menjerit “Meena!" dan meluru ke arah anaknya. Ravan cuba memeluk Meena tapi Thakur Rajni Singh menerajangnya dengan kuat sehingga Ravan tercampak ke dinding belakang kira kira 8 meter jauhnya. Dalam keadaan sayu Meena yang sedang nyawa nyawa ikan itu, Ravan tiba tiba menyanyikan sebuah lagu sedih yang spontan bertajuk “Cinta kita sekuat konkrit"

"Bila matamu bertaut pada matamu
segalanya terasa sejuk
rimba yang terbakar terpadam
jerebu yang menyesak menghilang.

tapi sekarang mata mu sudah terkatup rapat
kosmos mula bergoncang
dunia berhenti berputar
dan bulan pun merajuk suram

bangun lah
buktikan lah
cinta kita sekuat konkrit
dirempuh maut pun teguh
dirempuh maut pun utuh"

Tiba tiba Meena membuka mata. Thakur Rajni Singh menggoncang badan anaknya dengan gembira. “Meena!" kata kedua dua Thakur Rajni Singh dan Ravan. Hujan tiba tiba turun dengan lebat di luar rumah. Ravan terkejut apabila Meena mampu selamat daripada tembakan senapang patah itu, sedangkan seekor gajah pun akan meninggal dunia serta merta, inikan pula seorang gadis bertubuh ramping sepertinya. Tiba tiba Meena bangun berdiri, dan sekaligus menjawab persoalan Ravan. 

Perut Meena terkopek, terlihat wayar wayar yang berselirat. Ada minyak petrol yang meleleh juga di pusatnya. Meena tersenyum dan meminta maaf. Kata Meena, ini adalah kali yang ke lapan belas dia membawa teman lelakinya ke rumah, ditembak oleh ayahnya, dan mengorbankan dirinya sendiri. Kali pertama dulu, dia terselamat dan menjadi seorang cyborg. Ravan ternganga.

"Hey, chill la macha" kata Meena. Terangnya, setiap kali ini berlaku, teman lelakinya akan menyanyi sebuah lagu spontan. Dan itu memberi idea untuk Meena dan ayahnya Thakur Rajni Singh menerbitkan sebuah album berjudul “Perutku Berlubang Lagi". "Tahniah, awak dah jadi salah seorang komposer untuk lagu kami. Hal royalti kita bincangkan nanti" kata Meena, sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

Ravan yang terkilan segera mengeluarkan harmonika dari dalam poket seluar dan memainkannya. Lalu datanglah sekumpulan kambing biri biri kira kira 300 ekor banyaknya ke dalam rumah, melanggar dan memijak Thakur Rajni Singh dan Meena.

Kes ini tidak pernah diceritakan dalam mana mana akhbar tempatan, cuma diceritakan dari mulut ke mulut oleh penjual sireh pinang jalanan. Ravan dikatakan telah move on dan kini bertunang dengan anak penjual susu.