Saturday

Lipas, ya know? Dalam bahasa Sepanyol 'cucaracha' - maksudnya serangga gila.

Lipas seperti I seringkali dianggap tidak berperasaan. Sebab semua mahkluk dalam dunia dah dimomokkan dengan info seperti kami boleh survive letupan nuklear atau boleh hidup beberapa minggu dengan kepala yang dipenggal dan yang terbaru, boleh hidup tanpa makwe.

Tak, lipas kena ada makwe. Atau sekurang kurangnya seorang friend for benefits yang berlainan jantina. Kami pun ada hati dan ingin hidup bahagia macam pengguna instagram, makan sana sini, upload gambar kaki dengan hujung jarinya berpantai atau cadar katil one night stand. Tak ada lipas yang mahu hidup dalam kesedihan, merintih dalam satu agoni tanpa sempadan atau jadi nerda yang hadap formula formula matematik (a + b)2 = a2 + 2ab + b2; a2 + b2 = (a + b)2 − 2ab, tinggal dalam library dan tonton porno kartun. 

Btw i sebenarnya nak cerita pasal belakang badan i yang kalau ini sebenarnya satu vlog, pasti you-ols dah boleh nampak ada satu pencungkil gigi ni tercacak dekat belakang i dari semalam dan you-als juga terpaksa jawab salam assalammualaikum i sebab i ugut kalau tak jawab dosa, kalau jawab syurga. 

Pencungkil gigi ni semalam ada sekumpulan kelkaltu ni bawa sambil terbang sama sama dan lepaskan betul betul atas belakang badan i macam peluru berpandu. Mujur tak kena organ organ penting dalam tubuh, tapi terguris sikit hati kecil i. Dalam banyak banyak luka kalau you-ols nak tahu, luka di hati la paling susah nak sembuh. Because ada sorang so called doktor poliklinik ni cerita dekat i, dia ada baca satu puisi yang ada sorang so called doktor graduan Mesir tulis,

tiada
apa pun
siapa pun
pengamal perubatan
moden atau tradisional
mampu merawat
patah hati

kecuali satu;
masa yang panjang.

Oh my god, dia kata. Puisi dari seorang doktor of course la semua orang take note dan jadikan falsafah hidup. Sebab well, doktor, ya know. Kalau puisi orang gila pakai seluar pendek warna warni rambut serabut siapa yang nak peduli? Well, i said - orang orang gila juga lah? Dia ketawa. 

Balik kepada cerita kelkatu tadi, sebenarnya adalah dalam dua tiga tahun lepas, kami ada buat satu perjanjian tak bertulis that we will never tikam each other back. But somehow atas alasan alasan yang i tak perlu tahu katanya - there, pencungkil gigi on my back. 

So now the problem is, i macam dah tertanam satu perasaan sayang pada semua jenis serangga dalam rumah ni, kelkatu, kunang kunang (dia buat rumah ni macam hotel la sial), lalat, nyamuk dan macam macam jenis seranggalah lagi lah (sorry to siapa siapa yang i tak mention, not enough time coz ada sorang mamat depan i ni dah kibas kibas cue card yang kita dah overrun). I can't do anything, nak revenge pun macam tak patut. 

Ditikam serangga tersayang ni lagi sakit ditikam random people yang kita tak berapa kenal you know? Sebab dorangga adalah serangga terakhir yang kita expect akan cederakan hati kita. Kan...

So i nak mandi ni, sapu dettol belakang badan. Sebab ada dua luka ni, satu luka tak nampak ditikam. Satu lagi luka i jatuh motor balik masjid tadi. Sakit gila, jatuh jatuh lepas tu orang lain yang baru balik semua berhenti, tanya okay ke tak. Well, i baru jatuh motor, ada luka sikit, lutut sengal sengal, yeah i rasa okay je. Dis people is buta kayu.

Bye gais, watch your back.





Monday

Muzakarah Anjing.


Ketika sedang kecoh isu memegang dan memelihara beberapa hari yang lalu, saya dan beberapa orang sahabat telah mengambil inisiatif untuk membuat satu muzakarah bagi membincangkan permasalahan anjing dalam Islam. Saya terlebih dahulu ingin meminta maaf atas kenaifan saya yang telah menamakan diskusi ini sebagai Muzakarah Anjing. Kelemahan saya dalam memilih nama yang sesuai dan tidak sensitif telah pun ditegur oleh beberapa orang teman selepas tamat konferensi ini.

Saya mendapat ilham untuk mengadakan konferensi ini setelah terbaca artikel dalam portal berita mengenai satu mukazarah pada Januari 1937 di Kelantan apabila beberapa orang ahli keluarga Diraja Kelantan berbeza pendapat mengenai anjing yang dipelihara. Bantahan dikatakan berlaku apabila ada pendapat yang mengatakan air liur anjing itu adalah najis dan mencemarkan dalam Islam. Rentetan dari perbalahan itu, satu muzakarah telah dibuat di Istana Sri Cemerlang dan dihadiri oleh ribuan marhaen.

Dikatakan panel yang cenderung pada pendapat anjing boleh dibela terdiri dari tokoh Kaum Muda iaitu bekas mufti Wan Musa Wan Abdul Samad, Haji Abbas bin Muhammad Taha, seorang kadi dari Singapura dan Burhanuddin Muhammad Noor. Burhanuddin Muhammad Noor selepas itu dikenali sebagai Dr. Burhanuddin al-Helmy, seorang nasionalis, pemikir Islam dan pernah memegang jawatan presiden Parti Islam Se-malaysia dari tahun 1956 hingga 1969. Manakala pihak yang satu lagi dikatakan diwakili oleh tokoh Kaum Tua, iaitu mufti Kelantan Haji Ibrahim bin Haji Yusof, ketua kadi Haji Ahmad bin Ismail dan peneraju pemikiran Islam dan ahli Majlis Agama Islam Kelantan  Haji Abdul Manan dan Haji Abdullah Tahir. Kedua dua pihak telah memberi pendapat dan pandangan berdasarkan pelbagai sumber termasuklah dalil Al-Quran, Hadis, kitab ulama terdahulu, tradisi serta kajian undang undang Islam.

Namun setelah muzakarah tersebut tamat, Sultan tidak mengumumkan mana mana pihak sebagai pemenang tetapi membiarkan rakyat Kelantan sendiri membuat konklusi sendiri setelah mendengar perbahasan tersebut. Permasalahan itu kemudiannya di hantar ke Majlis Fatwa al-Azhar di Kaherah yang selepas itu mengeluarkan fatwa yang membenarkan anjing dibela. Ketika itu, perbezaan pendapat diraikan manakala rakyat marhaen pula diberi kebebasan untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri tanpa dikekang oleh pemerintah.

Maka, setelah berpakat untuk mengadakan Muzakarah Anjing, kami telah menjemput ilmuan ilmuan Islam, ustaz ustaz selebriti TV dan Youtube, imam imam, guru agama, penyelamat kucing dan anjing jalanan, doktor haiwan, serta beberapa orang pemikir India dan Cina yang sering menulis artikel di portal berita. Mereka dijemput untuk memberi satu sudut pandangan orang bukan melayu Islam dalam muzakarah ini. Apa yang menyedihkan, cuma segelintir yang hadir.

Saya telah mempengerusikan muzakarah ini dan memulakannya dengan menjelaskan sebab sebab muzakarah ini dibuat dan asas topik yang akan dibincangkan. Ucapan saya seterusnya: "Kami telah melakukan muzakarah ini untuk mendengar pendapat semua pihak mengenai isu anjing yang sedang menjadi buah mulut rakyat ketika ini, seterusnya mencapai satu persetujuan bersama yang akan dijadikan konklusi permasalahan ini. Saya harap tuan tuan dan puan puan sedia maklum yang berdebat bukan lah untuk mencari siapa betul atau siapa salah, tapi adalah untuk mencari satu persetujuan kedua dua belah pihak tentang masalah yang dibahaskan. Anda yang dijemput masing masing mempunyai latar belakang dan kepakaran yang tersendiri berkaitan isu ini. Maka saya berharap yang ilmu di dada kalian boleh dicurahkan di atas meja muzakarah ini untuk kita sama sama teliti dan kita bantu mendapatkan kefahaman yang lebih jelas untuk masyarakat. Jadi mengenai isu memegang anjing...."

Sebelum sempat saya habiskan ucapan, salah seorang peserta bangun dari kerusi. Dan tanpa meminta izin untuk berucap dia menempik "Anjing haram! Semua orang tahu berdosa pegang anjing! Tuan pengerusi pun tahu haram! Buat apa nak dibahas boleh pegang atau tidak. Umum tahu haram! Haram! Maaf tuan pengerusi, tapi ini muzakarah yang sia-sia". Bergegar sedikit meja mesyuarat ditepuk tepuknya. Seingat saya beliau adalah ahli jawatankuasa kampung sebelah.

Sebelum saya sempat berkata apa apa, seorang lagi peserta bangun dan menyampuk. Beliau adalah seorang ustaz muda yang menjadi perintis imam di masjid berhampiran rumah saya. Katanya "Saya minta maaf pakcik, tetapi memegang anjing tidak haram, malah tidak berdosa. Yang haram adalah memakan anjing..."

Seorang lagi peserta bangun, kali ini seorang lelaki muda yang memakai baju biru "Makan ke pegang, haram juga. Kita melayu daripada dulu dah dididik pasal anjing dan babi ni haram. Buat apa nak bela anjing, bela la kucing, haiwan kesayangan Nabi. Nabi tak bela anjing tuan tuan dan puan puan sekalian!"

Seperti yang saya jangka, teman saya dari kumpulan yang menyelamatkan kucing dan anjing terbiar bingkas bangun dan bersuara dengan tenang "Tapi Nabi suruh layan haiwan dengan baik. Tak kira haiwan apa sekalipun. Al Quran sendiri tidak pernah mencerca atau menghina anjing. Malah kalau saudara baca, anjing anjing telah diceritakan secara positif dalam Al-Quran"

Kawan India saya bingkas bangun "Betul, anjing adalah haiwan yang cerdik dan setia. Siapa disini pernah tengok cerita Hachiko. Ya Tuhan, setianya anjing itu sampai kekal menunggu tuannya yang telah pun meninggal dunia. Lagipun, anjing mana makan worang!"

Ustaz muda tadi kembali menyambung "Benar, anjing atau haiwan apa sekalipun bukannya untuk kita cerca atau hina. Kena layan baik baik. Sedangkan nak menyembelih ternakan sekalipun ada adab dan dilarang untuk kita menyeksanya. Tuan pengerusi, saya cadangkan muzakarah kita hari ini membuat keputusan jelas yang memegang anjing tidak berdosa, malah tidak menyalahi hukum Islam. Malah budak sekolah sekalipun tahu yang jika memegang anjing, apa yang perlu mereka lakukan cuma sertu, bukannya taubat nasuha kerana pegang anjing sama sekali tidak berdosa. Selain dari membela sebagai hobi, adalah diharuskan untuk kita orang Islam membela anjing untuk tujuan berburu, menjaga rumah, menjaga tanaman, harta benda dan sebagainya. Malah binatang buruan yang digigit anjing pun halal untuk dimakan. Tapi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempelajari adab adab dalam melakukan semua perlakuan tadi. Saya yakin, menyelamatkan anjing jalanan yang tercedera dan mencari rumah yang baik untuknya juga adalah perlakuan yang mulia"

"Kau apa tahu, kau muda lagi. Kalau tak cukup makan garam jangan nak memandai hal agama. Ini negara islam, orang patut tahu sensitiviti umat Islam. Tak kira halal atau tidak, tradisinya anjing memang perkara yang tabu. Tuan pengerusi, batalkan saja muzakarah ini" sampuk AJK kampung.

"Maafkan saya, tapi saya ingin mencelah. Mengikut kajian saya, pada tahun 80-an dan sebelumnya terdapat ramai orang melayu yang membela anjing untuk menjaga kebun dan ladang di kampung kampung. Jadi tradisi sensitif anjing tidak benar. Mungkin kerana kini kita dah tak punya banyak kebun, nak beli sayur dan buah buahan pun di pasaraya sahaja, kita jadi tidak kenal akan fungsi anjing dalam kehidupan masyarakat melayu" tiba tiba seorang pensyarah yang dari tadi senyap mencelah.

"Saya bersetuju dengan saudara. Tapi umum sedia maklum yang masyarakat melayu Islam di Malaysia masih belum bersedia untuk menerima pandangan baru yang memecahkan mentaliti anjing itu kotor selama ini. Jadi rasanya tidak perlu la kita untuk membuat huru hara dengan mengeluarkan pendapat yang boleh mengakibatkan perbalahan" kali ini giliran seorang guru menyampaikan pendapatnya.

Saya mahu membuka mulut tetapi kemudian, saya tidak pasti siapa yang memulakan tapi masing masing mahu bercakap dan menyampaikan hujah sendiri. Ruang muzakarah jadi bingit. Tiba tiba wanita cina pemilik kedai haiwan peliharaan yang saya jemput menjerit - dua ekor anjing chihuahua miliknya melompat keluar dari beg. Suasana bertambah kecoh, ada yang mengejar anjing tersebut, ada yang melarikan diri dari digigit anjing dan ada yang masih terus menerus berbalah.

Kemudian saya ditarik oleh dua orang lelaki beruniform biru gelap tanpa sebarang amaran. Saya bergelut dan mempersoalkan tindakan mereka. Ketika dilokap tiada siapa memberi penjelasan mengapa saya ditahan. Saya juga tidak pasti samada ada rakan rakan yang bersolidariti dengan menyalakan lilin di luar lokap. Setelah beberapa jam, barulah saya tahu yang saya telah ditahan atas tuduhan menghina islam dengan menggabungkan perkataan arab dengan binatang yang kotor dalam nama diskusi saya, Muzakarah Anjing!