Tuesday

Pak Menteri, tolong jangan baca cerita ini!


Tadi petang saya bawa segerombolan menteri melawat masyarakat jagaannya. Ini kerana para menteri telah terlupa atau mungkin juga tidak pernah tahu jalan jalan menuju ke rumah rumah kecil, kedai runcit beratap nipah, warung warung daif serta reban keluarga keluarga fakir.

Pertama sekali saya bawa mereka ke satu kawasan semak dan kebetulan ada sebuah keluarga keluar dari celah semak, melintas jalan dan masuk ke dalam semak seberang. Seorang pak menteri yang melihat kejadian itu terperanjat besar sampai terloncat loncat ke belakang. Soalnya apa mereka buat dalam semak?

Saya tersenyum kecil dan berkata, semak itu adalah kediaman mereka. Malah hampir semua semak yang tuan dapat lihat dalam kawasan pentadbiran tuan ini didiami oleh keluarga keluarga seperti itu. Ini adalah kerana tuan sendiri yang menempatkan mereka di sana dengan menaikkan harga hampir semua benda dalam negara. Lalu tinggal cuma satu benda yang murah, malah percuma untuk dimiliki.

Apa? Tanya pak menteri tadi.

Kemiskinan, jawab saya.

Kami menyambung perjalanan, kali ini melintasi sekumpulan kanak kanak yang duduk dalam kelas memandang papan hitam, kosong. Kumpulan menteri tadi melambai, tapi tak ada seorang pun yang membalas. Kumpulan menteri tadi menjerit kecil hai anak anak! Tapi tak seorang pun menyahut. Sampai seorang menteri hilang sabar, meluru ke arah ketua kelas, merenggut kolar bajunya dan bertanya, kenapa enggan respon?

Ketua kelas jawab - tidak ada dalam silibus.

Melangkah ke depan, kami tiba ke destinasi yang terakhir kerana para menteri sudah mengadu penat walaupun hanya melawat tiga tempat dan tidak berbuat apa apa kecuali bersalam, senyum dan mengangguk angguk. 

Kita buat apa disini? Tanya seorang pak menteri bila kami sampai di sebuah klinik desa. Mungkin tak kenal bangunan apa atau mungkin juga tak pasti sama ada itu bangunan atau tidak kerana dindingnya kayu. Mungkin juga kerana seumur hidup terbiasa hanya ke hospital swasta. 

Saya jelaskan pada mereka, kita akan berhenti di sini dan para menteri akan berjumpa ibu masing masing. Ibu ibu menteri pun sampai dan beratur dalam satu garisan lurus dan mengangkangkan kaki luas luas.

Para menteri semua terloncat ke belakang serentak. Tanya mereka apa semua ini?

Saya bilang - para menteri terhomat. Jemput masuk kembali dan jangan keluar keluar!