Sunday

Senja merah jambu.

Senja hari ini merah jambu.

Matahari menggesel punggung langit. Kumpulan awan mula menjadi sebuah lukisan. Rasa hangat lalu menjauhi tubuh tubuh gelendangan dan dingin malam menyapa setiap yang bernyawa. Saat jendela ditutup dan pintu rumah dikatup kemas, ada seorang lelaki sedang berdiri di pinggir jalan. 

Dia belum pernah mengamati senja merah jambu. Dalam kepalanya, langit sentiasa biru dan malam harus kelam.  Senja dan mata lelaki ini mula intim. Ada burung melintas di hujung mata, perlahan lahan  menghilang. Mengingatkannya pada susuk susuk yang pernah hadir kemudian melakukan perkara yang serupa. Dalam fikirannya, harga sebuah pertemuan tidak pernah percuma. Perpisahan juga, tidak pernah terjual.

Lelaki ini terus berdiri. Dia seolah olah menunggu malam menghalaunya dari pinggir jalan. Mungkin juga mengharapkan bintang boleh melangkah masuk, menukarkan senja merah jambu menjadi sebuah pesta. Tapi dia tahu sendiri, dengung manusia mahupun cahaya keramaian semeriah mana pun tidak akan membantunya. 

Seekor anjing hitam merenung kotak berisi kain lusuh di seberang jalan. Entah kenapa, yang ditinggalkan untuknya adalah sisa pakaian yang tak akan membantu ia menjalani hari hari mendatang. Ia juga mendongak, melihat senja merah jambu. Seolah olah menunggu jawapan kepada semua persoalan yang menghurung kepala.
Tapi ia mengerti, langit cuma langit. Yang menggerakkan semua perkara ialah kudrat. Yang menimbulkan kudrat adalah fikiran yang kuat. Lalu sebagai anjing, bersendiri sepatutnya tidak menjadi masalah. Ia boleh saja memilih antara dua hal. Terus hidup dan hadapi esok sendiri sendiri. Atau langsung mati. Boleh juga ia memilih untuk tidak memilih. Takdir akan hadir membolot segala keputusan hidup (dan mati). 

Lelaki tadi terus berdiri. Anjing hitam masih merenung kotak. Tuhan memanggil sayup sayup. Lalu kedua duanya berlalu pergi, menggonggong sepi. 


1 comment:

NARDtheNERD said...

senja saya selalu kelabu... -_-