Tuesday

Jalan yang tenang, jangan disangka tiada bonggol.

Tinggal di rumah berseorangan ni buat aku rasa sunyi betul sampai kadang kadang terpaksa berbual dengan kucing dan arahkan mereka tukar channel TV, kadang kadang berborak dengan kacang rebus tentang direbus pun lupakan kulit juga, dan pagi ini entah macam mana boleh bersembang dengan makcik jual nasi lemak tentang bonggol jalan yang terlalu tinggi dalam kawasan perumahan.
"Makcik perasan tak bonggol jalan dalam taman kita ni tinggi betul." Aku memulakan perbualan sambil buku bekas berisi kuih muih.
"Betul juga. Makcik selalu naik kereta ramai ramai nak ke masjid, mesti sangkut. Padahal yang naik kereta semua BMI di tahap yang stabil," kata makcik tersebut.
"Eh saya naik kereta sorang sorang pun sangkut makcik. Padahal BMI saya pun berada di tahap yang memuaskan juga rasanya"
Untuk mengelakkan topik bonggol jalan bertukar menjadi topik berat badan ideal dan mengguris hati aku sendiri, maka aku pun menyambung, "Hal hal bonggol jalan terlalu tinggi ni bukan boleh dipandang mudah makcik. Silap silap sebab bonggol ni la nanti negara kita kembali dijajah Inggeris"
Makcik tersebut mengerutkan dahi sebagai respon. "Makcik rasa tak sampai ke situ. Paling teruk pun boleh eksiden. Kalau tak eksiden, mungkin akan ada barang dapur yang terkeluar dari raga motor tanpa dirancang"
"Betul juga kata makcik itu. Jadi takkan kita nak borak borak begini saja. Apa tindakan kita seterusnya?" kata aku sambil membungkus tiga biji karipap dengan harga seringgit. Ini kalau kita leka sikit, esok esok karipap jadi satu seringgit la ni.
"Entahlah. Rasanya lebih molek jika saudara sebagai anak muda yang menyelesaikan masalah ini. Muka pun nampak macam bijaksana." Balas makcik itu. Wajahnya bertukar serius.
"Betul tekaan makcik itu. Saya ini memang bijaksana. Dan untuk pengetahuan makcik juga, selain bijaksana, saya juga merendah diri orangnya" balas aku sambil tertunduk tunduk sedikit sebagai tanda merendah diri.
"Jadi anak muda yang bijaksana dan merendah diri, apakah solusi diskusi kita pagi ini mengenai bonggol jalan yang terlalu tinggi?" Tanya makcik tersebut.
Aku menggelengkan kepala perlahan lahan. "Makcik. Hal bonggol jalan terlalu tinggi ini bukan ke satu masalah rakyat. Umum sedia maklum masalah rakyat ini mana ada orang cari solusi. Habis habis kuat pun, orang bawa ke Parlimen, bahas sikit sikit, bergaduh, lepas itu lawan tuding jari."
Makcik itu pun mengangguk angguk kan kepala. Aku tersenyum puas. Lepas bayar 3 ringgit, aku terus melangkah pulang. Dalam perjalanan pulang itu tiba tiba aku dapat epifani, sekaligus menyelesaikan masalah bonggol jalan terlalu tinggi tadi.

"Jalan kaki je la senang, jumpa bonggol, langkah je la. Barang dapur tak jatuh, bontot tak sangkut. Kah kah kah" bisik hati kecil aku sambil aku tersengih sendirian. Kalau ditengokkan dari gaya aku menyelesaikan masalah rakyat ni, esok esok jadi menteri la aku.


Sunday

Senja merah jambu.

Senja hari ini merah jambu.

Matahari menggesel punggung langit. Kumpulan awan mula menjadi sebuah lukisan. Rasa hangat lalu menjauhi tubuh tubuh gelendangan dan dingin malam menyapa setiap yang bernyawa. Saat jendela ditutup dan pintu rumah dikatup kemas, ada seorang lelaki sedang berdiri di pinggir jalan. 

Dia belum pernah mengamati senja merah jambu. Dalam kepalanya, langit sentiasa biru dan malam harus kelam.  Senja dan mata lelaki ini mula intim. Ada burung melintas di hujung mata, perlahan lahan  menghilang. Mengingatkannya pada susuk susuk yang pernah hadir kemudian melakukan perkara yang serupa. Dalam fikirannya, harga sebuah pertemuan tidak pernah percuma. Perpisahan juga, tidak pernah terjual.

Lelaki ini terus berdiri. Dia seolah olah menunggu malam menghalaunya dari pinggir jalan. Mungkin juga mengharapkan bintang boleh melangkah masuk, menukarkan senja merah jambu menjadi sebuah pesta. Tapi dia tahu sendiri, dengung manusia mahupun cahaya keramaian semeriah mana pun tidak akan membantunya. 

Seekor anjing hitam merenung kotak berisi kain lusuh di seberang jalan. Entah kenapa, yang ditinggalkan untuknya adalah sisa pakaian yang tak akan membantu ia menjalani hari hari mendatang. Ia juga mendongak, melihat senja merah jambu. Seolah olah menunggu jawapan kepada semua persoalan yang menghurung kepala.
Tapi ia mengerti, langit cuma langit. Yang menggerakkan semua perkara ialah kudrat. Yang menimbulkan kudrat adalah fikiran yang kuat. Lalu sebagai anjing, bersendiri sepatutnya tidak menjadi masalah. Ia boleh saja memilih antara dua hal. Terus hidup dan hadapi esok sendiri sendiri. Atau langsung mati. Boleh juga ia memilih untuk tidak memilih. Takdir akan hadir membolot segala keputusan hidup (dan mati). 

Lelaki tadi terus berdiri. Anjing hitam masih merenung kotak. Tuhan memanggil sayup sayup. Lalu kedua duanya berlalu pergi, menggonggong sepi.